Friday, December 24, 2010

Perkongsian Setahun Selepas Berkahwin



Perasaan Mereka yang Berperasaan

Celik pejam celik sudah setahun saya mendirikan rumah tangga. Bahagia rasanya. Alhamdulillah segalanya adalah nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Terdetik di hati untuk berkongsi dengan pembaca apa yang saya rasakan, moga-moga bermanfaat kepada yang sudah berkahwin atau belum berkahwin ataupun yang sedang berurusan untuk berkahwin.

Saya rasa antara perkara yang berubah selepas berkahwin ialah perasaan. Ya. Saya kini sudah semakin berperasaan. Jika dulu semasa bujang, tidak kisah sangat. Teringat pesanan seorang ustaz, dia bersyarah tentang anak. Katanya, anak itu meskipun menyebabkan kita tak tidur malam, sibuk memikirkan tentang anak itu, namun sebenarnya anak itu melahirkan rasa kasih dan sayang. Ia mewujudkan perasaan sebagai seorang ayah!

Tidak dinafikan, selepas berkahwin saya baru mengenal erti cinta dan sayang. Tanda sayang ialah teringat selalu. Tidak tenang apabila si kekasih tidak tenteram. Tercari-cari di mana bayangnya. Jika membuat sesuatu untuk yang tersayang, saya akan berusaha untuk lakukan yang terbaik. Itulah antara tanda cinta.

Ia membuat saya terfikir, bagaimana pula cinta saya dengan yang Maha Esa? Apakah usaha saya demi agama ini? Adakah saya benar-benar sayang kepada saudara seakidah sehingga saya sanggup berkorban untuknya?

Hadaf Kita Kahwin

Inilah yang terpenting dalam perkahwinan. Kenapa kita berkahwin? Soalan ini semestinya ada jawapan. Dengan mudah saya dan isteri menjawab, kerana dakwah kami berkahwin. Semestinya kerana dakwah. Dakwah yang menemukan kami. Dakwah yang memahamkan kami tentang agama ini. Dakwah yang menerangkan tugas dan peranan kami suami isteri. Dakwah yang mengekalkan cinta kami.

Sememangnya bahtera rumahtangga penuh dengan pelbagai ujian. Ombak besar wajib tiba. Cuma tunggu masanya. Kadang-kadang, angin ribut turut menyapa. Namun nakhoda kapal yang faham akan tabiat belayar, tenang hatinya dan sabar menempuh segala.

Manakan tidak, dua dunia berbeza hidup bersama. Seorang dari planet lain, seorang lagi dari dunia lain. Sudah pasti ada yang tak kena. Jika diikutkan emosi, semua serba tak kena. Sebagai lelaki ketua keluarga, berhati-hati, jangan membabi buta.

Tanyalah balik, kenapa kita kahwin ye? InsyaAllah semuanya menjadi reda sedia kala.

Petua Orang yang Baru Setahun Berkahwin

Jika bergaduh, bersabar.

Jika berulang lagi perkara yang sama yang menyebabkan gaduh, bila dah reda, bawa berbincang. Fikirkan bersama bagaimana nak elakkan kita bergaduh lagi.

Senyum jika pasangan membuat perkara yang kita tak suka. Sebelum tu, beritahu dia kita tak suka sekian-sekian perkara. Jika dia buat juga, lihat dalam-dalam matanya dan lemparkan senyum manis padanya. InsyaAllah itulah detik yang paling indah. Confirm si dia akan malu-malu lalu meminta maaf.

Jika kita yang bersalah, mengakulah bersalah. Tiada masalah pun kalau mengaku salah. Tiada siapa yang sempurna. Belajarlah dari kesilapan.

Jika anda harapkan sesuatu daripada teman anda, contohnya nakkan dia menjadi mujahidah agama ni, gunakan taktik doa. Selepas solat berjemaah atau selepas membaca al-Quran bersama, bacalah doa dalam bahasa Melayu. Katakan: Ya Allah, jadikan aku sebagai Mujahid agama ini, dan jadikan isteriku ini sebagai Mujahidah agama-Mu Ya Allah. Alhamdulillah, cara ini rasanya amat berkesan.

Penutup

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada semua yang membaca. Ingatlah, berkahwin itu sunnah Nabi. Membina daulah pula sunnah Nabi yang terbesar.
Tidak lengkap daulah tanpa wujudnya bait-bait muslim. Maka, “ma la yatimmu bihi wajib, fahuwa wajib”. Maksudnya, “Apa-apa yang wajib, yang tidak akan lengkap kerana sesuatu perkara, maka perkara itu pun wajib”.

Kepada pasangan-pasangan lain, marilah kita sama-sama berusaha menjadi bait muslim qudwah.
Kepada yang masih bujang dan tak berhasrat berkahwin, rancanglah perkahwinan anda. Jangan mengelak jika diajak berbincang bab kahwin.

Sekian, terima kasih.
Abu Rayyan.
Sayeda Zainab Cairo.

Thursday, December 16, 2010

makanan hati

manusia terdiri daripada 3 komponen.
hati, jasad dan akal.
akal makanannya ilmu.
jasad makanannya makanan yang biasa kita makan dan juga pergerakan badan.
manakala hati, makanannya hidayah, wahyu dan iman.

ramai orang kini sibuk mencari makanan.
puaskan nafsu dengan makanan.
tidak salah.
kerana itu fitrah.
namun, biarlah seimbang.

hati kita pun sebenarnya lapar.
dah lama kelaparan.
hampir-hampir mati dalam kegelapan.

bila tiada ketenangan, mengapa cari yg lain selain quran, zikir dan qiyam?
hati yg lapar, suapkanlah dgn makanannya yang sesuai.
carilah masa ber'uzlah, berseorangan mengingati Allah.

hiburan tidak mengenyangkan hati kita.
carilah kelas-kelas agama, kawan-kawan soleh, solatlah di masjid,
moga Allah beri hidayah buat kita.