Wednesday, May 27, 2015

Mengenali Sayyid Qutb

Sayyid Qutb merupakan seorang tokoh yang hebat. Banrangkali mereka yang mengutuk beliau adalah mereka yang tidak memahami apa yang ditulis oleh beliau, mungkin disebabkan oleh perasaan hasad dengki atau sebab-sebab lain yang tidak boleh diterima akal.

Jika kita membaca sedikit pengenalan tentang buku agung karangan beliau iaitu Fi Zilal Quran, ternyata ia bukanlah kitab tafsir seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Memang benar jika ada sebilangan ilmuan yang mengkategorikan buku tersebut dalam kategori buku tafsir moden/kontemporer yang menggunakan method tafsir bil ra'yi.

Namun hakikatnya Sayyid Qutb di dalam buku itu mengajak umat Islam untuk hidup di bawah naungan Al-Quran sebagimana yang dirasai oleh beliau.

Kehidupan indah di bawah naungan Al-Quran diungkapkan oleh beliau di dalam buku tersebut. Ayat-ayat Al-Quran digunakan sebagai dalil untuk menjelaskan bagaimanakah rasa kehidupan tersebut.

Kehidupan di bawah naungan Al-Quran dijelaskan dengan pelbagai isi kandungan Al-Quran yang berulang-ulang yang menceritakan perihal hakikat yang sama.

Ia menceritakan soal hakikat kejadian, soal Pencipta, tugasan manusia dicipta, kemuliaan manusia sebagai khalifah, ketundukan alam Allah, sunnah alam dan sebagainya.

Amat hebat tulisan beliau.

Saya pernah bertanya kepada seorang tokoh Ikhwan, mengapa ada pihak yang menulis pelbagai tohmahan kepada Sayyid Qutb dan menuduh dengan pelbagai dakwaan?

Jawabnya, Firdaus, tanyakan semula kepada orang itu, adakah dia mampu menulis seperti apa yang ditulis oleh Sayyid Qutb?

Terdapat banyak tulisan yang menceritakan kehebatan Sayyid Qutb.

Jika benar kita mahukan kebenaran, baca dan kaji sendiri latar belakang beliau dan nilailah buku karangan beliau.

Kempen Say No to 929 oleh DAP, tolak Negara Islam



SAYA tidak mahu masuk campur dalam perbalahan antara parti PAS dan parti cauvinis dan rasis DAP yang kian hangat menjelang muktamar dua minggu lagi.

Kekal atau keluar daripada pakatan pembangkang, terpulang kepada PAS.

Cuma, saya ingin ingatkan di sini beberapa perkara menarik berkaitan DAP. Mungkin ada yang terlupa siapa dan apa agenda DAP sebenar.

DAP, parti sosialis demokratik yang didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac 1966, merupakan serpihan parti PAP Singapura.

Semasa kongres nasional pertamanya di Setapak, Kuala Lumpur pada 29 Julai 1967, DAP mengisytiharkan ia komited mempromosi idea kebebasan, demokratik dan sosialisme, berdasarkan prinsip kesamarataan bangsa dan agama, sosial dan keadilan ekonomi.

Pada Oktober 1967, DAP menyertai 55 parti sosialis yang lain bergabung di bawah gerakan sosialis antarabangsa (SI) semasa Persidangan Antarabangsa Sosialis di Zurich, Switzerland.

Pada 1989, DAP meluluskan 12 resolusi semasa konvensyen tahunannya. Antaranya ialah parti itu tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam atau menjayakan apa-apa usaha Islamisasi di Malaysia, dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Dalam perhimpunan DAP Selangor pada 20 Ogos 1989, DAP meluluskan 30 resolusi antaranya menolak sebarang bentuk ektremisme agama dan menolak penubuhan negara Islam Malaysia.

DAP juga membantah penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran.

DAP juga telah melancarkan kempen “No to 929″ sebagai menolak pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir membuat pengisytiharan itu semasa persidangan kebangsaan ke-39 parti Gerakan pada 29 September 2001.

Sebaliknya, DAP mendakwa Malaysia sebagai negara sekular.

Inilah serba sedikit fakta berkaitan DAP yang mungkin dipejamkan oleh sesetengah pihak dalam PAS.

KATA PEDANG: DAP semakin selesa semenjak ada PASMA. Sebab itu isu PAS keluar pakatan bukan lagi satu kerisauan.

ISMA asyik sebut pasal ancaman, suka bermusuh betul!



PADA 16 November 2013, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan Islam sederhana, telah melancarkan Kempen Selamatkan Ummah.

Ia bertujuan memberikan kesedaran berterusan kepada umat Islam mengenai bahaya serangan pemikiran dan budaya yang mengancam jati diri dan survival mereka di bumi bertuah ini.

Antara ancaman yang diangkat pada sidang media pelancaran kempen itu ialah tuntutan Comango.

Kempen Selamatkan Ummah dijalankan di seluruh negara melalui aktiviti seperti ceramah, forum, pameran dan karnival, edaran risalah dan buku, penulisan rencana akhbar, majalah dan laman web, penerangan ringkas video dan audio di pelbagai media massa dan maya, serta penganjuran pelbagai acara menarik, informatif dan menginsafkan.

Mengapakah ISMA bersungguh-sungguh melancarkan kempen ini? Bukankah Islam itu agama rahmah, menyebarkan kebaikan kepada semua?

Mengapakah perlu disebarkan kebencian terhadap pihak lain seperti Comango melalui siri-siri ceramah di seluruh negara? Mengapa perlu bermusuh?

Soalan-soalan ini muncul sebagai tindak balas segelintir pihak yang cemburu,terutamanya puak kafir dalam parti DAP, dengan apa yang diusahakan oleh ISMA selaku gerakan dakwah Islam yang telah disambut baik oleh masyarakat.

Sebenarnya, tiada apa yang baharu pun dibuat oleh ISMA, sekadar memberi nafas baru kepada kempen ini supaya lebih mudah difahami dan mendapat perhatian kumpulan sasaran.

Allah telah menjelaskan secara umum akan bahaya kelompok Yahudi dan Nasrani yang sentiasa mahu menghancurkan umat Islam seperti yang disebut di dalam Surat Al-Baqarah, ayat ke-120.

Ulama dan tokoh Islam sentiasa mengingatkan umat berkenaan ancaman yang sebenarnya ini. Selagi mana ada umat Islam yang berpegang kuat dengan ajarannya, selagi itulah puak kafir akan mengugut dan mengancam kita sehingga kita mengikut mereka meskipun ke lubang biawak.

Akan tetapi, berdasarkan kefahaman yang ada, ISMA menterjemahkan ancaman ‘Yahudi dan Nasrani’ ini tidaklah dalam bentuk yang jelas-jelas dicipta oleh Yahudi dan Nasrani seperti yang berlaku di Palestin.

Jika di Gaza, umat Islam yang dipimpin oleh Hamas berdepan secara langsung dengan ancaman Yahudi Laknatullah Alaihim, di Malaysia pula, ancaman ini datang dalam pelbagai bentuk.

Pemimpin ISMA menggunakan ungkapan pemikiran liberalisme, sekularisme, feminisme, ideologi diceduk dari Barat, Syiah, hak asasi manusia celupan Barat dan sebagainya, untuk mengingatkan bentuk ancaman ‘Yahudi dan Nasrani’ ini.

Namun, tidak dinafikan ada fakta yang membuktikan Yahudi dan Nasrani jugalah yang menjadi tulang belakang kepada ancaman ini.

Seorang sahabat, Huzaifah RA berkata:

“Ramai manusia bertanya kepada Rasulullah berkenaan perkara baik-baik, manakala aku pula bertanya berkenaan perkara-perkara kejahatan, kerana aku takut aku akan melakukan kejahatan itu.”

Seorang penyair Arab pula berkata:

“Aku belajar mengenali kejahatan bukan untuk melakukannya, tetapi untuk mengelakkan diriku daripadanya. Sesiapa yang tidak mengenali kejahatan di celah-celah kebaikan, dia akan terjatuh ke dalamnya (kejahatan itu).”

Tokoh Islam Hasan Al-Basri pula berkata,

“Apabila fitnah (kejahatan) itu datang, ia disedari oleh ulama. Apabila fitnah itu telah berlalu, barulah ia disedari oleh masyarakat awam.”

Oleh itu, saya ingin bertanya pula, butakah mata kepala dan mati hati anda, terutamanya puak-puak yang pro parti kafir DAP, apabila melihat ancaman-ancaman ini berlaku jelas dalam kehidupan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia hari ini?

Kata Pedang: Bacalah mengenai ISMA melalui sumber yang betul. ISMA anjur Kempen Pembangunan Jati Diri, begitu juga Kempen Selamatkan Ummah. Jati diri umat Islam mesti diangkat dan dipupuk dengan nilai-nilai positif dan Islamik, begitu juga umat Islam wajib disedarkan akan bahaya di sekeliling mereka agar tidak terjatuh ke dalamnya.

Thursday, May 21, 2015

Empat takbir untuk demokrasi di Mesir

LEBIH 13 juta rakyat Mesir telah memilih Muhammad Morsi dalam pusingan kedua pilihan raya presiden negara itu pada Jun 2012.
Angka itu bersamaan 51.73% daripada 26 juta rakyat yang keluar mengundi dalam pilihan raya itu.
Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) itu berjaya mengalahkan calon bebas Ahmed Shafik yang mendapat 48.27% undi.
Inilah demokrasi. Seseorang itu naik dan turun melalui peti undi hasil pilihan majoriti.
Pada 3 Julai 2013, beberapa hari selepas genap setahun bergelar Presiden di negara ‘abang’ di rantau Arab, Morsi digulingkan oleh tentera.
Sejak itu, beliau dikurung dan dibicarakan dengan pelbagai pertuduhan palsu.
Terkini, Morsi dan lebih 100 penyokong Ikhwan Muslimin dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan terlibat dalam rusuhan di Penjara Natroun dan jenayah risikan untuk Hamas.
Apa yang berlaku di Mesir adalah satu hakikat yang telah pun berlaku di Gaza apabila Hamas memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan pada tahun 2006.
Kerajaan Hamas tidak digulingkan namun rakyat Gaza keseluruhannya dihukum dengan sekatan ekonomi antarabangsa dan kehidupan mereka diseksa dengan pembinaan dinding ‘penjara terbesar’ di dunia.
Hanya kerana Ikhwan Muslimin dan Hamas mengisytiharkan dasar perjuangan mereka adalah Islam, tiada demokrasi bagi mereka.
Hanya kerana Ikhwan Muslimin dan Hamas menentang kewujudan (negara) Israel dan dilihat berpotensi mengancam kedudukan Israel, tiada demokrasi bagi mereka.
Hanya kerana Ikhwan Muslimin dan Hamas meletakkan syariat Islam sebagai dasar negara, tiada demokrasi bagi mereka.
Oleh itu, demokrasi di dua negara ini layak dihadiahkan empat kali takbir (solat jenazah).
Demokrasi telah mati untuk pejuang Islam.
Demokrasi hanya alat untuk menaikkan pejuang selain Islam. Jika ada pejuang Islam yang naik melalui demokrasi secara sah, nasib mereka tidak akan bertahan lama.
Inilah satu pengajaran berharga untuk pejuang Islam di negara lain khususnya Malaysia.
Demokrasi hanyalah alat ciptaan kafir yang digunapakai ketika ini bagi memenuhi aspirasi mereka. Apabila alat itu memakan tuan, ia dengan mudah dimatikan.
Usah tertipu dengan slogan demokrasi yang dilaungkan. Cukuplah kisah Morsi dan Hamas menjadi pengajaran.

Ambil pedoman derita umat Islam di Myanmar, China dan Palestin

UMAT Islam di Malaysia boleh dikatakan beruntung jika dibandingkan dengan umat Islam di negara lain seperti Myanmar, China dan Palestin.

Keperluan hidup yang asasi adalah lebih daripada mencukupi bagi sesetengah keluarga.

Walaupun begitu, tidak dinafikan masih ada lagi segelintir saudara seakidah kita yang tidak bernasib baik.

Jika dibandingkan dalam sudut kebebasan beragama, kita boleh menunaikan ibadah dengan sempurna. Termasuk juga penganut agama lain, keamanan dan keadilan yang ada menjamin hak semua dalam beragama.

Lain pula kisahnya bagi bangsa Uighur yang beragama Islam di China.

Tidak dapat dibayangkan betapa teruk penindasan yang mereka hadapi. Bertudung pun tidak boleh.

Begitu juga bagi saudara seakidah kita Rohingya. Sudahlah tidak diiktiraf sebagai warganegara, mereka terpaksa menggadai nyawa merantau ke negara lain bagi meneruskan kehidupan.

Rakyat Palestin pula, yang merupakan contoh hidup perjuangan umat Islam hari ini, hidup mereka semakin ditekan. Pada bila-bila masa Israel boleh menyerang. Kehidupan di kem pelarian, tidak ubah seperti penjara yang serba kekurangan.

Orang Melayu di Malaysia perlu mengambil iktibar di atas apa yang menimpa saudara seakidah kita di negara lain.

Selain berusaha membantu mereka melalui kutipan tabung kecemasan dan ceramah-ceramah kesedaran, kita perlu sedar bahawa tanah ini perlu dikekalkan di bawah hak milik umat Islam.

Jangan sesekali membiarkan pihak lain menguasai setiap inci tanah kita.

Biarlah masa depan kita dicorak oleh kita sendiri dengan acuan Melayu Islam. Bukannya dengan acuan pemikiran jahiliyah yang diimport dari Barat.

Jika kita terlepas tanah ini, tiada lagi tanah untuk kita berdaulat. Saat itu, barulah kita sedar betapa peritnya penderitaan yang dilalui oleh saudara seakidah kita di Myanmar, China dan Palestin.

Saat itu, tangisan darah pun sudah tidak berguna lagi!

Masa depan kita bagaimana?

SAMBIL saya duduk di tangga surau, saya ditegur oleh seorang pakcik yang sedang melangkah keluar sejurus selesai menunaikan solat Maghrib.

“Macam mana awak rasa, masa depan kita? Banyak isu sekarang ni. 1MDB, Tabung Haji…” sapa beliau.

Perkenalan saya dengan pakcik ini sudah agak lama. Sebelum ini kami pernah bertegur sapa ketika saya sedang khusyuk menulis sesuatu menggunakan laptop di surau yang sama.

Jawapan saya mudah.

“Selagi umat Islam jelas apa yang dia mahukan, ke arah mana yang dia ingin tuju, bolehlah kita kata masa depan kita akan baik.

“Dalam berpolitik, dia tahu apa yang dia hendak. Dalam berekonomi, dia tahu kedai mana dia nak singgah, barang apa dia nak beli. Tengok anak muda buang masa tepi jalan petang-petang, dia tahu macam mana nak salurkan tenaga anak muda tu…” jawab saya sambil tersenyum.

Pakcik terdiam seketika. Kemudian dia mengangguk seraya berkata,

“Awak sebut pasal anak muda. Mereka ni yang bakal memimpin negara. Pakcik tengok anak muda sekarang ni, risau pakcik.

“Risaulah. Dia nak bawa negara ni ke mana? Kalau ramai faham Islam, amal Islam dan berjuang untuk Islam, untunglah. Kalau sebaliknya?” syarah pakcik.

Saya hanya menyambut kata-kata pakcik itu dengan senyuman.

Tidak lama kemudian, pakcik meminta izin untuk beredar.

Saya turut melangkah keluar menuju kereta. Saya mengulangi kata-kata pakcik tadi.

“Orang Islam yang faham Islam, mengamalkan Islam dan berjuang untuk Islam.”

Buku bertajuk ‘Masa depan untuk Islam’ telah ditulis oleh tokoh ilmuan Islam antaranya Sayyid Qutb dan Dr Yusuf Al-Qardawi.

Antara isi utama yang disebut dalam buku itu adalah keperluan bagi seorang muslim untuk memahami Islam sebagai manhaj kehidupan. Islam adalah jalan keluar kepada permasalahan dunia hari ini.

Disebabkan rosaknya kehidupan yang bersistemkan hawa nafsu dan ideologi jahiliyah Barat, dunia hari ini memerlukan solusi. Tidak lain dan tidak bukan ia adalah Islam.

Dalam erti kata lain, ruang vakum yang ada pada masa akan datang (telah pun wujud hari ini), bakal diisi oleh Islam.

Sistem rekaan manusia tidak mampu menandingi manhaj kehidupan yang ditunjukkan oleh Islam.

Tinggal lagi, berapa ramaikah umat Islam hari ini yang memahami, mengamalkan dan menjadikan hidup dan matinya hanya untuk Islam?