Kertas ini dibentangkan di Berlin, Jerman pada tahun lepas.
Saya bersetuju dengan penulis bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan daripada pengaruh militan IS.
Buktinya, ramai yang memasang niat dan telah pun bertindak untuk ke Syria menyertai gerakan jihad IS yang telah difatwakan sebagai jihad yang terpesong daripada ajaran Islam sebenar.
Golongan ini ada yang telah ditangkap dan dipercayai masih ramai yang masih bergerak bebas dalam negara.
Apa yang ingin saya angkat di sini adalah berkenaan kesimpulan yang dikemukakan oleh penulis kertas kerja tersebut. Antaranya ialah:
1. Perlu dilakukan satu penilaian semula terhadap agenda, polisi dan strategi Islamisasi kerajaan, yang mana ia boleh menjadi faktor kemunculan kumpulan kanan bersentimen etno-nasionalis dan pelampau agama yang boleh menjadi radikal.
2. Mempolitikkan agama sehingga ia menjadi ‘public domain‘, akan menambahkan masalah hubungan antara orang Islam dan bukan Islam.
3. Penyebaran doktrin inklusif dan pertengahan perlu dilakukan bagi mengangkat kedaulatan Islam di Malaysia di samping menjaga keharmonian antara kaum.
Ini pula respon balas saya:
1. Agenda, polisi dan strategi islamisasi kerajaan memang wajar dinilai semula. Terlalu banyak kekurangan daripada banyak aspek.
Penilaian semula ini bukan untuk mengurangkan atau melonggarkan, bahkan untuk menguatkan lagi kedudukan dan kedaulatan Islam, menambahkan kefahaman masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.
Sudah pasti, jika Islam yang sebenar yang diperkenalkan dan diangkat, ideologi militan dan pelampau agama dapat diatasi.
2. Usaha memartabatkan Islam oleh PAS tidak termasuk dalam usaha mempolitikkan agama, kerana PAS bertanding dalam pilihan raya adalah semata-mata mengangkat martabat Islam.
Cadangan pindaan Akta 355 adalah satu contoh.
Ia tidak boleh dianggap sebagai punca perbalahan antara umat Islam yang menyokong cadangan pindaan ini dengan golongan anti-Islam yang jumlah mereka hanya sedikit dan tidak mewakili 100 peratus golongan bukan Islam.
Punca perbalahan sebenar adalah penentangan golongan anti-Islam. Mereka sudah tinggal di Malaysia sekian lama, mengapa masih menolak Islam?
UMNO juga perlu berusaha bersungguh-sungguh mewujudkan pelbagai inisiatif bagi memartabatkan Islam kerana itu adalah tugas mereka sebagai parti yang memerintah selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan yang menyatakan Islam adalah agama negara.
3. Penyebaran doktrin inklusif dan pertengahan yang dimaksudkan adalah Islam itu sendiri. Islam adalah agama pertengahan.
Islam menentang fahaman liberalisme, cauvinisme, hak asasi Barat, Syiah dan ancaman-ancaman lain adalah disebabkan Islam agama pertengahan.
Bukanlah dimaksudkan pertengahan itu apabila semua kehendak nafsu seperti LGBT dibiarkan menular di negara ini.
4. Hakikatnya, tidak dinafikan golongan ekstremis muncul adalah disebabkan rasa marah terhadap maruah agama yang dipijak dan dihina oleh golongan anti-Islam seperti yang dilakukan oleh pelukis karikatur Charlie Hebdo di Perancis.
Mereka mahu membela agama tetapi cara mereka tidak betul. Jika mereka diberi kaunseling dan penerangan mengenai cara yang betul, nescaya mereka akan berubah.
Apa yang lebih penting ialah kita harus menentang golongan anti-Islam daripada terus bersuara memburuk-burukkan hukum Islam, institusi Islam, cara hidup Islam dan segalanya yang berkaitan dengan agenda Islam di negara ini.
Amaran sepatutnya diberikan oleh pemimpin Islam dalam UMNO kepada mereka yang mencabar cadangan pindaan Akta 355 dengan alasan tidak mahu hudud sedangkan hudud itu hukum Allah yang terdiri daripada rakan pakatan mereka sendiri iaitu MCA dan Gerakan. Begitu juga di kalangan pembangkang, iaitu parti rasis dan cauvinis DAP.
Jika mereka tidak mahu Akta 355, mengapa dikaitkan dengan hudud? Bukankah itu menghina agama Allah? Bukankah itu bukti mereka anti-Islam dan ini boleh membangkitkan sentimen golongan ekstremis agama yang tidak reda Islam dihina?
Artikel ini telah disiarkan di Ismaweb.net: http://www.ismaweb.net/2016/09/gencarkan-gerakan-pertengahan-islam-melawan-arus-ekstrem-anti-islam/