Wednesday, December 12, 2012

3 tahun berlayar, pahit manis dikongsi bersama

Tarikh 12.12.2009 adalah tarikh akad nikah kami. Maka hari ini genap usia perkahwinan kami 3 tahun. Anak sudah ada dua orang. Nizar Rayyan dan Aaliyah. Bersempena dengan tarikh ini, saya suka untuk menulis sedikit perkara sebagai perkongsian dan peringatan kita bersama.

1. Kasih sayang perlu berpanjangan demi agama Islam. 

Jika tiada kasih dan tiada sayang, keluarga tidak lagi menjadi tempat yang melahirkan mujahid dan mujahidah untuk agama ini. Keutuhan dan kebahagiaan rumah tangga menjamin si suami untuk terus berkhidmat untuk agama, begitu juga isteri. Lihat sahaja suasana masyarakat hari ini yang tandus kasih dan sayang, atau kasih sayang yang berdasarkan dunia semata-mata. Habis madu sepah dibuang.

Untuk mengekalkan kasih sayang suami isteri, cinta Allah dan Rasul menjadi keutamaan. Solat berjemaah, zikir ma'thurat, tilawah Al-Quran menjadi wirid harian dalam pembentukan keluarga rabbani. Mustahil sesebuah keluarga akan bahagia jika Allah melaknat ahli-ahlinya kerana maksiat yang dilakukan.

2. Kesetiaan seorang isteri.

Saya tidak tahu nak mengungkapkan perihal ini bagaimana. Perasaan yang ada dalam hati begitu susah untuk diluahkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang tahu.

3. Tanggungjawab suami terhadap keluarga.

Mungkin orang selalu terbayangkan gaji yang besar untuk menampung keperluan kehidupan yang tinggi. Namun, sebuah keluarga dakwah agenda besar yang difikirkan oleh ketuanya ialah bagaimana nak selamatkan diri dan keluarga daripada azab api neraka. Didikan agama, teguran membina dan membentuk suasana ibadah dalam keluarga adalah satu perkara yang mencabar dan wajib dilakukan. Dalam hadis disebut mafhumnya, "seorang suami akan ditanya tentang hal tanggungannya."

Dalam hal ini, sesi perkongsian dengan orang yang lebih senior amatlah diperlukan. Jangan malu bertanya sekiranya menghadapi masalah, kerana jika kita dapat mengorek rahsia orang-orang lama ini, kita dapat menjimatkan masa dan mampu mengelak daripada mengalami masalah yang sama.

4. Kasih ibu bapa kepada anak-anak.

Susah rupanya menjadi bapa. Akan tetapi, nikmatnya tidak terkata. Apabila anak menangis, gelabah kita menghubungi isteri bertanya bagaimana nak meredakan tangisan tersebut. Apabila anak gembira, gelak ketawa, aktif ke sana ke mari, hati rasa bangga dan berfikir, dia ini akan menjadi hero agama dan akulah orang yang mendidiknya.

Alhamdulillah sekarang saya sudah pandai handle pelbagai situasi yang menimpa anak-anak dengan tenang, hasil pembacaan di internet dan perkongsian bersama isteri. Anak-anak permata ayah bonda. Abi kena kuat untuk didik Rayyan. Abi kena sabar layan karenah Aaliyah. Kalau ummi boleh, takkan abi tak boleh?

5. Bagaimana akan datang?

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Kita disuruh berusaha, merancang dan laksanakan apa yang dirancang dengan bersungguh-sungguh. Hasilnya kita serahkan kepada Allah. Tidak perlu mencampuri urusan Allah, nanti Allah akan minta kita sendiri yang selesaikan. Bersabarlah.

Tiada siapa yang dapat merealisasikan impian melainkan diri kita sendiri. Teruskan bercita-cita tinggi dan buktikan bahawa anda boleh.

Moga Allah jayakan segala cita.

Sunday, August 26, 2012

Setuju tukar BN tapi bukan dengan PR

Tajuk di atas benar-benar menginsafkan saya selaku seorang anak muda yang baru terlibat dengan gerakan Islam.

Benar, murabbi dahulu pernah bercerita akan realiti umat yang perlu diubah. Tidak kira dalam apa jua sudut sama ada politik, remaja, pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Umat Islam lemah kerana jauh daripada Islam.

Apakah jalan penyelesaiannya?

Ya, kita berubah menjadi baik kemudian kita mengubah orang lain. Bermula dengan tarbiyah individu, akhirnya setelah ramai, ia membentuk kelompok masyarakat Islam dan seterusnya menjadi negara Islam. Ini manhaj yang ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW dan disimpulkan oleh Imam Hasan Al-Banna menerusi 'maratib amal'nya yang tujuh.

Adakah dengan hanya fokus tarbiyah, matlamat kita akan tercapai? Bagaimana dengan politik semasa, kerusi di parlimen dan kuasa pentadbiran negara?

Ya, hanya dengan fokus tarbiyah matlamat kita akan tercapai. Kefahaman tentang tarbiyah yang lebih luas menjadikan kita proaktif untuk memberi 'sentuhan' dalam isu-isu politik, kuasa dan kenegaraan. Tarbiyah menjadikan kita sensitif terhadap pelbagai isu umat Islam. Tarbiyah menjadikan kita bertanggungjawab memimpin umat ke arah Islam yang sebenar. Tarbiyah membuka mata kita mengenali gerak geri musuh yang terselindung.

Adakah dengan usaha tarbiyah selama ini, memungkinkan kita untuk mengubah kerajaan yang ada?

Untuk menjawab soalan itu, jawab dahulu soalan ini. Sudah terbentukkah individu-individu muslim yang hebat dengan 10 ciri yang ditetapkan oleh Imam Hasan Al-Banna? Sudah berjayakah pembinaan kelompok masyarakat yang Islamik dan menjadi qudwah kepada masyarakat lain?

Realiti ini sekali lagi menginsafkan saya. Kerdil sungguh usaha kita jika mahu dibandingkan dengan usaha baginda Nabi SAW.

Keadaan negara di bawah pentadbiran BN sejak 55 tahun dahulu belum cukup menjanjikan keadaan yang selamat untuk masa depan agama, negara dan anak cucu kita.

Arus globalisasi cukup kuat untuk dibendung dan ia sudah pun menghakis identiti Islam sebahagian bangsa Melayu.

Tawaran PR pula tidak cukup untuk membuktikan perubahan yang dibawa adalah 'lebih baik'. Konflik PAS-DAP dalam isu hudud sedikit sebanyak menjatuhkan maruah PAS yang sepatutnya menang dalam isu tersebut. DAP perlu tunduk. Jika tidak, apa gunanya bertahaluf?

Oleh itu, menjelang PRU 13 akan datang, saya tidak meletakkan sepenuhnya perubahan Islamik akan dilakukan oleh kedua-dua pihak, BN mahupun PR.

Manhaj perubahan baginda Nabi SAW dan yang diteruskan oleh Imam Hasan Al-Banna adalah teras dalam pandangan yang saya coretkan ini.

Ia berakar umbi, mendasar dan berterusan. Ia juga rabbani dan menyeluruh.

Selamat beramal.

"Kita tidak redha hud-hud menjadi lebih baik daripada kita"

Tuesday, June 26, 2012

Tugas pendakwah

Perubahan sesuatu negara ditentukan oleh rakyat. Rakyat berhak menentukan siapa yang akan dipilih menerajui kerajaan.

Yang dilantik menjadi kerajaan juga adalah di kalangan rakyat iaitu ahli politik.

Pemimpin bertanggungjawab melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat, mengubah negara menjadi lebih baik.

Di sinilah peranan para pendakwah iaitu mendidik masyarakat supaya lahir di kalangan rakyat itu pemimpin yang soleh dan muslih, juga menjadi peranan pendakwah untuk mendidik masyarakat supaya memilih pemimpin yang soleh dan muslih.

Kalau masih ada pemimpin yang tidak soleh dan tidak muslih, maka menjadi tugas kita untuk mewujudkannya.

Jika masih ada yang memilih pemimpin yang tidak soleh dan tidak muslih, maka menjadi tugas kita untuk mendidik masyarakat untuk menolak yang batil, memilih yang haq.

Jadilah pendakwah, di mana-mana, bila-bila masa.

Saturday, May 26, 2012

Sikit tapi konsisten

Dulu saya perhatikan. Sekarang pun masih saya perhatikan. Akan datang pun akan saya perhatikan.

Apakah yang saya perhatikan?

Dulu, saya perhatikan pekerja-pekerja Arab sedang bertungkus-lumus menyiapkan pembinaan baik pulih bangunan asrama anak-anak negeri Pahang di Hayyu Asyir.

Saban hari, binaan itu siap juga.

Sekarang, bangunan kedai/komersial sedang dibangunkan di hadapan pejabat ISMA di Bandar Baru Bangi. Seingat saya, sebelum ini pihak kontraktor baru sahaja memacak tiang. Sekarang, sudah nampak kerangka bangunan perniagaan itu yang agak besar.

Mungkin kompleks beli-belah yang sedang disiapkan. Bertambah sibuklah Bangi di masa akan datang.

Suatu hari nanti, mungkin tahun ini atau awal tahun depan ia akan dirasmikan.

Apa yang saya cuba ketengahkan di sini ialah satu sunnah alam iaitu sesuatu yang dibuat dengan penuh perancangan, dijalankan berterusan, akhirnya ia akan berjaya disiapkan.

Pepatah Melayu ada mengatakan sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Menyorot kembali perjalanan dakwah Ikhwan di Malaysia. Sudah pasti ia bermula dengan seorang, kemudian 2 orang dan akhirnya diterima ramai orang. Tidak mustahil suatu hari nanti, binaan Khilafah Islamiyah akan lengkap dan sempurna. Dengan syarat, semua yang terlibat memenuhi semua kriteria yang wajib ada.

Yang menjadi masalah ialah apabila ada yang bersikap tergesa-gesa (istikjal). Semua nak segera, hasil pun nak dilihat di depan mata.

Ingat, langkah seribu bermula dengan langkah pertama. Sebelum matahari naik tegak memacak di atas kepala, ia melalui fasa waktu subuh dan dhuha.

Ta'allam, fa laisal mar'u yuladu 'alima!
Ertinya: belajarlah, kerana tiada seseorang pun dilahirkan dalam keadaan terus menjadi bijak!

Anak kecil, sebelum dia pandai berlari, dia bermula dengan merangkak, berjalan, jatuh, dan akhirnya dia mampu berlari.

Pokok yang besar juga bermula dengan fasa menjadi anak pokok yang kecil.

Wahai manusia, teruskan membina akalmu, teruskan membina imanmu, teruskan membina kehidupanmu. Jangan berhenti di dunia ini, hanya di kubur nanti tempat berehatmu.

Ayuh!

Ayat-ayat Tarbiyah Jiwa

Berdasarkan tajuk di atas, penulis akan mendatangkan beberapa ayat Al-Quran yang menceritakan tentang tarbiyah dan akan menghuraikan ayat-ayat tersebut secara ringkas.

Umumnya di dalam Al-Quran, kesemua ayat merupakan ayat-ayat tarbiyah kerana tujuan Al-Quran diturunkan adalah untuk mengubah manusia daripada tidak mengenali Allah kepada mengenali Allah. Namun di dalam artikel ini, penulis hanya mendatangkan beberapa ayat yang dipilih secara sengaja sebagai rujukan dan pemudah cara jika ada yang mahu merujuk untuk dijadikan bahan tazkirah atau sebagainya.

Di dalam buku Wasail Tarbiyah Indal Ikhwan karangan Dr Ali Abdul Halim Mahmud, beliau mendefinisikan tarbiyah di sisi Ikhwan sebagai cara (uslub) yang terbaik dalam berinteraksi dengan fitrah manusia secara langsung (iaitu dengan perkataan) atau tidak langsung (iaitu dengan tingkah laku/qudwah) berdasarkan method (manhaj) yang tertentu, menggunakan medium (wasilah) tertentu demi mewujudkan perubahan dalam diri manusia menjadi lebih baik.

Berdasarkan definisi tersebut, tarbiyah yang dimaksudkan adalah perubahan pada individu dalam skop yang cukup luas. Boleh jadi dalam aspek fizikal, mental mahupun spiritual. Oleh yang demikian, penulis akan memilih tarbiyah jiwa sebagai topik utama di dalam artikel ini.

Tarbiyah jiwa (tarbiyah ruhiyah atau tazkiyyatun nafs) adalah satu perkara yang amat penting di dalam Islam. Menurut Imam Syahid Hasan Al-Banna, para pendakwah merupakan mereka yang paling berhajat kepada cahaya hidayah untuk meneruskan jalan dakwah ini. Dakwah memerlukan jiwa yang bersih, kerana dakwah ini suci dan bersih. Dakwah hanya berjaya jika hati pendakwah dekat dengan Allah.

Terdapat beberapa ayat Al-Quran yang boleh kita jadikan pedoman dan panduan dalam usaha kita mentarbiyah jiwa:

1. Wahai manusia, apakah yang telah menyebabkan engkau lalai dan leka daripada mengingati Tuhanmu yang mulia? Yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan anggota itu diciptakan), dalam apa jua bentuk dan rupa Allah menyusun kejadianmu seperti mana yang Dia kehendaki. (Al-Infithor : 6-8)

Allah mempersoalkan manusia yang leka dan lalai daripada mengingati-Nya, apakah sebab kelalaian tersebut sedangkan Allah telah menyempurnakan kejadian manusia dengan sebaik-baik kejadian? Hebat sangatkah kita ini sehingga tidak mahu melaksanakan apa yang disuruh dan melakukan apa yang dilarang?

Allah juga mengingatkan manusia bahawa Pencipta yang Maha Hebat hanyalah Allah. Dialah yang menghidupkan dan mematikan, memberi rezeki dan mengurniakan segala nikmat, yang menghilangkan lapar dan dahaga, yang memiliki dunia dan seisinya.

Adakah hati kita sudah keras dan penuh berkarat dengan dosa sehingga kita lupa asal-usul kita?

Kembalilah kepada Allah, tunaikanlah tanggungjawab dan amanah yang terpikul di bahu. Cukuplah ayat ini mampu menggetarkan jiwa dan menyebabkan kita menangis menginsafi segala kesalahan dan kekurangan.

2. Adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkannya semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat). (Al-An'am : 122)

Hati yang hidup dapat merasakan kelazatan ibadah dan menyedari dirinya sentiasa diperhatikan Allah. Dirinya tenang dalam apa jua keadaan. Kehidupannya lebih indah dan menarik berbanding orang yang memiliki hati yang sudah mati. Seolah-oleh tiada kehidupan baginya.

Pepatah Arab mengatakan: Jika jiwa itu besar, jasad akan berasa letih (kerana menuruti kehendak hati). Ertinya, jika kita memiliki hati yang hidup, kita menjadi kuat dan hebat! Bayangkan jika umat Islam seluruh dunia, bermula di negara China sehingga yang berada di hujung Amerika Syarikat, memiliki hati seperti ini, sudah pasti keadaannya tidak sama dengan realiti yang berlaku pada umat hari ini.

Oleh itu, berusahalah memiliki hati yang hidup dengan bacaan Al-Quran, zikrullah, solat jemaah dan puasa sunat.

3. Demi diri manusia dan yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya), serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih - bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). (As-Syams : 7-10)

Setiap manusia tidak akan terlepas dengan ujian. Dia di antara 2 tarikan, tarikan iman dan tarikan nafsu dan syaitan. Terbentang 2 pilihan di hadapannya, sama ada mahu yang bersih atau yang kotor. Tarikan kejahatan sentiasa mengintai-intai, mencari-cari peluang. Perkara haram dihias menjadi cantik, semua yang fana diubah kelihatan indah.

Maka tatkala diuji, wajiblah kita bermujahadah melawan kehendak nafsu dan pujukan syaitan. Gunakan benteng iman. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan penuh kesabaran.

Tiga ayat di atas perlu dihayati dan diamalkan. Diulang-ulang bacaan agar terlekat kuat dalam ingatan. Usah mengharap menawan gunung yang tinggi jika nafsu masih belum dapat dibendung. Inilah tarbiyah jiwa yang diajar oleh Al-Quran.

Imam Syahid Hasan Al-Banna berkata di dalam Risalah Muktamar Kelima: “Sesungguhnya proses pembinaan umat dan mendidik masyarakat, menggapai cita-cita dan memenangkan prinsip memerlukan ummah yang memiliki ‘kekuatan jiwa’ yang terungkap seperti berikut; keinginan yang padu yang tidak mampu dilemahkan, kesetiaan tanpa pengkhianatan, pengorbanan yang mulia yang membuang rasa bakhil dan mengetahui prinsip dan beriman dengan prinsip tersebut.

Di sinilah perjuangan umat ini bermula. Tarbiyah jiwa di permulaan dan di pengakhiran jalan.