Thursday, April 23, 2015

Tadabbur Surah Syu'araa' - Kisah Ahli Sihir Firaun

"Musa melemparkan tongkatnya lalu tongkat itu menelan apa yang dilempar oleh ahli sihir Firaun itu. Maka ahli-ahli sihir itu sujud (kerana telah kalah dengan Musa). Mereka berkata Kami beriman dengan Tuhan sekalian alam."

Ayat 45, 46 dan 47.

Lintasan hati:

1. Allah dah janji Islam akan menang di akhir zaman.
2. Bagaimana? Dengan menuruti segala syarat-syarat kemenangan, dengan izin Allah Islam akan menang.
3. Nabi Musa dikurniakan mukjizat dalam dakwahnya menghadapi ahli-ahli sihir, bagi melawan sihir mereka.
4. Apakah 'mukjizat' atau kuasa yang umat Islam hari ini ada untuk menjalankan amal dakwah? Jawabnya ialah Al-Quran. Al-Quran adalah kunci kejayaan umat Islam.
5. Mukjizat tongkat Musa membuktikan kuasa Allah yang mengatasi kuasa sihir.
6. Mukjizat Al-Quran bagaimana pula? Jika diamalkan betul-betul apa yang diajar oleh Al-Quran, umat Islam akan menjadi umat hebat, dengan itu umat Islam boleh mencapai kejayaan.
7. Sebagai contoh, penguasaan ilmu. Al-Quran menyeru umat Islam membaca dan menulis (rujuk Surah Al-Alaq dan Surah Al-Qalam). Berapa ramai umat Islam yang membaca dan menulis, menguasai ilmu untuk membangunkan Islam?
8. Hati ahli-ahli sihir tunduk kepada mukjizat Musa.
9. Tak mustahil orang kafir pada hari ini akan tunduk dengan mukjizat Al-Quran, tunduk kepada kehebatan Islam yang diamalkan oleh umatnya.
10. Inilah sedikit lintasan hati dan akal apabila meneliti ayat Al-Quran di atas.

Sekian terima kasih.

Friday, February 13, 2015

Sofiyyah binti Mohd Firdaus


Bismillah wal Hamdulillah

1. Anak ketiga kami (anak perempuan) lahir pada 3.26 pagi, 7 Februari 2015 bersamaan 17 Rabiul Akhir 1436H di Hospital Ampang.


2. Bersempena hari ketujuh kelahirannya pada hari ini (13 Februari), kami menamakannya Sofiyyah binti Mohd Firdaus.

3. Nama ini dipilih sempena 3 wanita hebat dalam sejarah Islam iaitu Sofiyyah binti Abdul Muttalib RA, Sofiyyah binti Huyayy RA dan Sofiyyah binti Umar Al-Khattab RA.

4. Dari segi bahasa, Sofiyyah bermaksud kesucian. Adalah diharapkan anak Sofiyyah ini sentiasa memelihara kesucian diri, maruah keluarga, bangsa dan kedaulatan agama Islam.

5. Sofiyyah binti Abdul Muttalib RA, ibu saudara baginda Nabi SAW yang juga saudara kandung Hamzah bin Abdul Muttalib RA, memiliki jiwa kental dan kekuatan fizikal yang hebat. Diriwayatkan dalam kisah perang Khaibar, ketika kumpulan wanita dan kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah khemah dan tiada tentera lelaki yang menjaga khemah itu, tentera Yahudi cuba mengintai dan menyerang khemah tersebut.

Apabila seorang tentera musuh menghampiri, Sofiyyah RA berjaya menangkap dan membunuh tentera itu lalu memenggal kepalanya dan mencampakkan kepala itu ke kumpulan tentera musuh. Hasilnya tentera Yahudi menghentikan niat untuk menyerang khemah wanita itu kerana menyangka terdapat tentera Islam lelaki yang berkawal di situ sedangkan tidak ada. Demikianlah kehebatan Sofiyyah dalam mempertahankan kem Islam dalam situasi peperangan.

6. Sofiyyah binti Huyayy RA adalah wanita berbangsa Yahudi Bani Nadhir yang dikahwini oleh Rasulullah SAW. Sebelum dinikahi, baginda SAW memberinya peluang sama ada untuk kembali kepada kaumnya atau memeluk Islam. Sofiyyah kemudian memilih untuk bersama Islam. Sofiyyah juga dikenali sebagai wanita yang amat mencintai Rasulullah melebihi dirinya sendiri. Semoga rasa cinta dan sayang kepada agama dan Rasul turut dimiliki oleh anak kami, Sofiyyah.

7. Tidak banyak kisah Sofiyyah binti Umar Al-Khattab RA. Terdapat sebuah hadis yang meriwayatkan beliau bersama Rasulullah di dalam perang Khaibar. Kebersamaannya itu menunjukkan Sofiyyah terlibat dalam peperangan. Ini melambangkan kekuatan dirinya dalam segenap aspek, lebih-lebih lagi selaku anak kepada sahabat agung Umar Al-Khattab RA.

8. Terdapat banyak lagi kisah menarik yang menceritakan kehebatan insan bernama Sofiyyah meskipun hanya seorang wanita.

9. Semoga anak yang lahir ini menjadi Qurratu Ain (penyejuk mata) bagi kami berdua.

10. Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan para murabbi yang mendoakan kebaikan untuk kami sekeluarga.

"Ya Tuhan kami, jadikan kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami sebagai umat yang tunduk patuh kepada Engkau." (Al-Baqarah: 128)

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati dan jadikanlah kami imam bagi orang- orang yang bertaqwa." (Al- Furqan: 74)

“Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai, berikan kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Al-Ahqaf: 15)


Amin Ya Rabbal Alamin.
Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin & Dr Syarifah Aisyah Syed Abdul Halim

Wednesday, December 03, 2014

Menjadi pakar bidang pengkhususan

1. Saya suka bidang tafsir.
2. Saya perlu banyak menulis dalam bidang ini.
3. Banyak masalah atau silap faham yang berlaku di kalangan masyarakat dalam memahami sesuatu maksud sebenar ayat Al-Quran.
4. Ada juga pihak yang menafsir menggunakan logik sendiri tanpa mengikut metodologi yang betul semata-mata menegakkan hujah atau membenarkan sesuatu tindakan, biar ia nampak 'patuh syariah' di sisi masyarakat.
5. Jika saya tidak menjawab isu-isu ini, saya tidak berpeluang menambah pahala  dan menyumbang dalam bidang yang saya minat ini.
6. Azam dan semangat menolak saya untuk bertindak ke fasa berikutnya.

Saturday, November 15, 2014

Wartawan Berwibawa

1. Banyak membaca
2. Peka dengan apa yang berlaku

- Bengkel Asas Penulisan Buletin dan Laman Web
- 15 November 2014
- Anjong Riong, Balai Berita, NSTP Bangsar.

Friday, October 10, 2014

Impian buat master

Impian buat master

Apa yang menghalang?

Tidak cukup masa atau tidak cukup usaha?

Masih belum berubah?

Cara lama hanya menghasilkan keputusan yang sama seperti sebelum ini.

Saya perlukan cara yang baru. Cara belajar yang baru. Bagaimana?

1. Fokus
2. Peruntukkan masa lebih
3. Jika bertembung banyak perkara dalam satu masa, susun jadual mengikut prioriti.
4. Yang pasti, isi masa lapang dengan pelbagai perkara, jangan biarkan ia kosong atau diisi dengan perkara yang tidak penting.
5. Kekuatan mental - jangan fikir nak berehat panjang. Walaupun letih, saya tidak boleh tidur. Saya mempunyai kekuatan dalaman kerana saya masih muda. Saya perlu kurangkan makan, banyakkan bersenam. Fikirkan benda yang positif dan penuhkan masa dengan pelbagai wajibat itu.
6. Motivasikan diri, peringatkan diri dengan impian. Elakkan berputus asa. Letak pergantungan hanya kepada Allah. Elakkan dosa. Yakin diri.
7. Yakin bahawa engkau boleh melakukannya tatkala orang lain yang serba kekurangan juga mampu melakukannya. Banyakkan membaca, berfikir dan menulis. Inilah jihad kita. Jika saudara kita di Palestin berjihad dengan senjata, kita di sini perlu berjihad dengan buku dan mata pena.
8. Tiada yang mustahil.
9. Berjumpa dengan orang lama, dengar kisahnya, ambil pengajaran daripada pengalamannya. Baca kisah pejuang terdahulu.