Dakwah umum yang laju di zaman Al-Banna
Apabila kita meneliti aktiviti dakwah yang dilakukan oleh Al-Banna di zamannya, kita mendapati aktiviti yang beliau lakukan lebih berbentuk dakwah umum yang dijalankan dengan laju sekali.
Bermula dengan pertemuan-pertemuan para pembesar negara, pemimpin masyarakat setempat dan para ulamak Al-Azhar, Al-Banna berani mengemukakan agenda yang perlu diperjuangkan ketika itu iaitu membangkitkan umat yang sedang lena.
Kesedaran-kesedaran ini juga turut dilakukan beliau dengan mengadakan ceramah-ceramah ringkas di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat strategik yang menjadi tumpuan ramai.
Kita juga membaca kisah bagaimana beliau bergerak dalam tempoh yang singkat membuat lawatan ke beberapa puluh buah kampung di kawasan Soiedi, selatan Mesir.
Turut tercatat di dalam buku Muzakirat Dakwah wa Daieyah tentang pertambahan drastik ahli Ikhwan ketika itu. Di dalam tempoh 2 tahun sahaja, beliau berjaya mengumpulkan 70-80 orang pemuda yang aktif dan mereka dikumpulkan di dalam perkhemahan-perkhemahan untuk memantapkan peribadi mereka.
Terdapat pelbagai kisah yang memceritakan perkembangan Ikhwan laju menembusi bandar-bandar dan kampung-kampung sehingga tiada seorang pun ketika itu tidak pernah mendengar nama Ikhwan.
Pengkaderan yang ketat di zaman pasca Sayyid Qutb
Syeikh Sayyid Qutb (Ikhwan Arab selalu sebut Syeikh Sayyid sahaja) dibunuh di tali gantung pada 1966 bersama beberapa orang Ikhwan yang lain seperti Mohamad Yusuf Hawwash dan Abd Fatah Ismail. Beliau dituduh sebagai orang yang mahu menggulingkan kerajaan revolusi di bawah pimpinan Jamal Abd Naser (Arab Mesir baca: Gamal).
Sebenarnya sebelum itu lagi ramai Ikhwan ditangkap oleh pihak kerajaan kerana dianggap boleh menggugat puak pemerintah kerana Ikhwan sudah berakar umbi di dalam masyarakat.
Ramai ditangkap dan dibunuh. Tidak kurang juga terdapat sebilangan Ikhwan yang melarikan diri ke luar negara. Hasilnya, tertubuhlah Ikhwan di luar negara seperti di eropah dan di negara-negara Arab lain.
Pernah satu ketika Syeikh Mustafa Masyhur, Mursyidul Am Ikhwan ke-5 (1996-2002) - sebahagian pimpinan ISMA hari ini sempat bertemu beliau - ketika beliau ditanya berkenaan siapakah yang mula-mula menubuhkan Ikhwan di luar negara? Syeikh Mustafa menjawab: Gamal Abd Naser. Beliaulah yang bertanggungjawab menubuhkan Ikhwan di luar negara kerana di zaman beliau ramai Ikhwan ditangkap lalu menyebabkan sebilangan Ikhwan lari ke luar negara.
Di dalam situasi tersebut, akhirnya Ikhwan mengambil keputusan untuk bergerak secara underground. Masakan tidak, Ikhwan sudah diharamkan oleh kerajaan, rakyat pun semakin takut untuk bersama Ikhwan sekalipun sebenarnya mereka tahu Ikhwan ikhlas dalam perjuangan mereka.
Sebagai bukti, benih-benih dakwah yang masih ada ketika itu dibaja dan disemai secara sembunyi-sembunyi. Syeikh Mustafa masyhur sendiri telah menulis sebuah buku bertajuk Dakwah Fardiyah. Buku ini menjelaskan 7 tahap yang perlu dilalui oleh seseorang itu sebelum bergelar seorang Ikhwan.
Lihatlah, susahnya ketika itu untuk mengajak orang bersama Ikhwan. Dari sudut yang lain, mereka yang melepasi 7 tahap tersebut dan berjaya bergelar seorang Ikhwan adalah insan yang benar-benar mantap dan teruji.
Implimentasinya pada hari ini oleh ISMA
ISMA mula ditubuhkan secara rasmi pada 7 Julai 1997. Pada 2011, ISMA mula dikenali masyarakat dengan penglibatannya yang aktif di dalam beberapa bidang.
Seperti biasa, di awal penubuhan ISMA melalui fasa membina organisasi. Fasa mengumpulkan insan-insan yang bersedia berjuang untuk mencapai segala visi dan misinya. Rijal yang hebat, ikhlas dan beriman dengan inti perjuangan ini.
Proses itu berlalu dengan perlahan-lahan kerana bukan senang mengumpul manusia dan memprosesnya menjadi kader dakwah yang memiliki ciri-ciri yang ideal.
Akhirnya ISMA berjaya mengumpul sejumlah kader dakwah dan tenaga mereka dijana sehinggalah hasilnya dapat kita lihat pada hari ini.
Merenung ke hadapan, banyak lagi perkara yang perlu dilakukan supaya perjuangan ini terus menjurus kepada apa yang dicita-citakan. Ahli ISMA tidak boleh berpuas hati setakat ini.
Selari dengan itu, ISMA memerlukan barisan pelapis para kader yang lebih mantap dan pada masa yang sama, ISMA memerlukan sokongan dan dukungan masyarakat di dalam setiap seruannya.
Tanpa kader dakwah, dakwah tidak ke mana-mana. Tanpa masyarakat, kepada siapa lagi dakwah ini harus disampaikan.
Oleh itu, ISMA kini perlu memanfaatkan segala kebaikan di zaman pasca Sayyid Qutb demi membina generasi harapan.
Pada masa yang sama, ISMA juga perlu menjalankan dakwah seperti di zaman Al-Banna yang mana tiada sebuah rumah pun tidak sampai kepadanya idea dan agenda Ikhwan.
Kepada para daie berlogo ISMA
Seruan ini ditujukan kepada mereka yang sedang bersama ISMA selaku ahli atau pimpinan ISMA di merata tempat.
Kekuatan iman dan ukhuwah perlu dibina dan dijaga agar kita benar-benar menjadi Akh minal Ikhwan. Asas iman dan ukhuwah menjadi penentu kejayaan dakwah sekalipun dakwah ditolak dan diancam seperti di zaman pasca Syeikh Sayyid.
Pelbagai kemahiran dan ilmu perlu dikuasai agar dapat diterima oleh kelompok masyarakat kita pada hari ini. Terjun ke medan adalah satu keperluan, sama seperti yang dilakukan oleh al-Banna. Jika masyarakat mahukan pemimpin yang berkarisma, pandai berpidato, pandai berhujah, luas pengetahuan, pakar dalam sesuatu bidang, maka itulah yang perlu kita jadi.
Mungkin kerana sebelum ini kita selesa dengan program dalaman, kini dakwah umum menjadi satu tuntutan.
Benarlah kata Tuan Presiden ISMA, kita garap kebaikan di zaman Al-Banna dan kita garap juga kebaikan di zaman pasca Al-Qutb demi kelangsungan dakwah ISMA.
Saya sendiri sedang berlari ke arah itu.
1 comment:
syukran ustz os.. satu penulisan yang bermakna.
Post a Comment