Tidak lama lagi, cuti sekolah akan bermula. Di dalam tempoh sebulan lebih, anak-anak kita tidak lagi perlu ke sekolah dan berpeluang melakukan apa sahaja aktiviti yang tidak boleh mereka lakukan sebelum ini.
Apakah aktiviti yang akan mereka lakukan? Siapakah yang bertanggungjawab mengaturnya?
Meneliti situasi pada hari ini, para ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan kerjaya sehinggakan anak-anak tidak mendapat perhatian sebaiknya. Hasilnya, cuti anak-anak tidak pernah terisi dengan perkara yang berfaedah.
Anak-anak di bandar umumnya terdedah kepada pelbagai pengaruh antaranya ialah pengaruh televisyen yang mengandungi 1001 saluran, internet yang melekakan, games, filem-filem tempatan dan antarabangsa yang boleh ditonton dengan membeli CD atau mendownloadnya sahaja. Selain itu, mereka juga terdedah dengan pengaruh rakan-rakan yang mengajak mereka melakukan perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan seperti merokok, merayau di tengah malam dan sebagainya.
Persoalan
Adakah para ibu bapa sanggup melihat anak-anak mereka membuang masa di hadapan tv atau laptop selama berjam-jam lamanya? Adakah mereka sanggup membiarkan anak-anak mereka bangun daripada tidur hanya selepas matahari naik mencacak di atas kepala?
Di manakah sensitiviti seorang ayah dan ibu yang mahukan anak-anaknya menjadi penyejuk mata hati seperti yang difirmankan Allah di dalam Surah Al-Furqan, ayat ke-74? Menurut Imam Al-Bughawi di dalam tafsirnya, Qurratu A’yun bererti anak-anak yang baik, bertaqwa yang mampu menyejukkan hati dan pandangan mereka. Inilah yang kita doakan setiap waktu.
Mainkan peranan sebagai ibu bapa
Sebelum kita menyalahkan orang lain, para ibu bapa wajib dipersalahkan terlebih dahulu. Apakah perancangan mereka untuk anak-anak mereka jika mereka mampu menyiapkan perancangan tahunan jabatan dan organisasi mereka bekerja?
Janganlah dianggap makan minum, pakaian dan tempat tinggal yang disediakan sudah cukup untuk membuktikan tanggungjawab sebagai ibu bapa sudah ditunaikan. Tidak! Peranan ibu bapa terhadap anak-anak lebih lagi daripada itu.
Anak-anak perlukan perhatian, belaian dan kasih sayang. Setiap apa yang mereka lakukan, mereka memerlukan sokongan dan dukungan. Paling kurang mereka memerlukan respon sama ada setuju atau tidak.
Sesungguhnya tiadalah sesebuah negara itu melainkan terdiri daripada kelompok masyarakat di dalamnya. Begitu juga masyarakat, tiada lain yang mengisi kelompok masyarakat itu melainkan keluarga-keluarga yang berada di dalamnya. Demikian juga keluarga, anak-anak sebenarnya yang menjadi komponen negara seterusnya menjadi tunjang di dalam kebangkitan sesebuah tamadun atau keruntuhannya.
Jika baik anak-anak, bererti baiklah keluarga. Jika baik keluarga, maka baiklah masyarakat. Dan jika baik masyarakat, maka cita-cita dan impian mewujudkan negara Islam yang rakyatnya benar-benar melaksanakan segala ajarannya akan terlaksana.
Contoh pengisian cuti sekolah
Luangkanlah sedikit masa merancang pengisian anak-anak walaupun hakikatnya bukan sahaja untuk musim cuti sekolah, bahkan setiap masa. Kita boleh menjadikan solat berjemaah di rumah sebagai budaya, dengan itu kita boleh melatih anak-anak lelaki menjadi imam seterusnya ia mampu melatih sifat berani dan kepimpinan di dalam diri selain dapat menghafal beberapa ayat sebagai bacaan di dalam solat.
Budaya makan bersama juga boleh diamalkan. Dengan makan bersama, kasih sayang akan terjalin dan hubungan akan lebih erat. Ibu bapa berpeluang mengambil tahu perkembangan anak-anak ketika itu. Hasan Al-Banna sendiri tidak akan makan sehinggalah kesemua ahli keluarganya ada bersama-sama.
Aktiviti gotong-royong membersihkan rumah akan mendidik anak-anak tentang kebersihan. Jika perkara ini menjadi kebiasaan, akan lahir sifat pembersih di dalam diri mereka. Selain itu, aktiviti ini akan melatih mereka menjadi anak yang taat kepada setiap arahan ibu bapa.
Kem-kem motivasi dan kem ibadah semakin banyak diadakan sempena cuti sekolah. Memang benar yuran yang dikenakan agak mahal walaupun program tersebut hanya berjalan selama beberapa hari, namun anggaplah yuran tersebut sebagai pelaburan jangka masa panjang. Agak pelik juga apabila terdapat ibu bapa yang sanggup membayar harga yang mahal untuk membeli kereta dan perabot rumah tetapi tidak sanggup membayar untuk kebaikan anak-anak mereka.
Jika di negara Mesir, cuti sekolah anak-anak diisi dengan program hafazan Al-Quran di masjid-masjid. Perkara ini amat positif kerana ia memupuk kecintaan kepada Al-Quran di dalam hati anak-anak. Menariknya, program ini dijalankan secara percuma dan turut dianjurkan pertandingan hafazan sebelum cuti berakhir.
Kesimpulannya, ibu bapa perlu menyedari kepentingan mengisi masa lapang anak-anak. Jika kita tidak menyusun percutian mereka, secara automatik anak-anak ini akan mengisi masa mereka mengikut selera sendiri, pengaruh kawan-kawan dan persekitaran.
Artikel ini telah disiarkan di dalam ismaweb.net.
http://www.ismaweb.net/v4/2011/11/cuti-sekolah-rancanglah-percutian-anak-anak/
No comments:
Post a Comment