Monday, January 23, 2012

Pakcik, ingatlah Allah ketika sakit

Semalam adalah hari pertama saya bertugas di Wad Denggi. Wad Denggi sebenarnya bukan sahaja didiami oleh pesakit denggi tetapi juga diduduki oleh pesakit lain yang stabil.

2 minggu sebelum ini saya bertugas di Jabatan Kecemasan (Emergency Department), bahagian perubatan. Sejak saya mula bertugas di Hospital Ampang ini, saya disusun untuk bertugas di Jabatan Perubatan (Medical Department). Berdasarkan sistem hospital, doktor houseman hanya akan bertugas di Jabatan Kecemasan pada jabatan yang kelima. Jadi walaupun saya berada di Jabatan Perubatan, saya berpeluang menghandle kes-kes yang diserahkan oleh doktor-doktor di Jabatan Kecemasan kepada Jabatan Perubatan.

***

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 9.20 malam. Keletihan bekerja semalam masih belum hilang. Saya perlu sampai di hospital sebelum pukul 10 malam. Tapi saya takut memandu di waktu malam.

“Abang, boleh hantar Aisyah malam ni, Aisyah tak berani sangat. Dah malam dah.”

“Hai, sebelum-sebelum ni kan dah berani drive malam. Kenapa malam ni abang kena hantar pula?”

“Sebenarnya Aisyah tak habis letih lagi. Penat sangat. Malam ni dah kena masuk Wad Denggi pula. Kena ambik darah selalu. Boleh ya abang hantarkan Aisyah.”

“Habis Rayyan, siapa nak jaga? Dia tengah nangis-nangis tu. Takkan nak tinggalkan dengan mak?”

“Kita ajak mak ikut sekali. Terima kasih abang…”

***

Alhamdulillah, sekarang saya sudah mahir mengambil darah pesakit. Dulu masa mula-mula masuk kerja, saya hampir-hampir fed up kerana setiap kali saya cuba mengambil darah pesakit saya tidak akan berjaya. Doktor-doktor MO saya tengok mereka senang sahaja ambil darah.

Saya bergerak dari satu katil ke katil yang lain. Semua pesakit tidak pernah saya temui sebelum ini. Rasa insaf dan bersyukur dengan nikmat sihat yang Allah berikan. Selesai mengambil darah, saya melabelkan sampel kemudian saya membuat sedikit catatan di dalam buku rekod pesakit yang ada di hujung katil.

Ada seorang pakcik berusia 50an di hujung wad. Mukanya berkerut tetapi badannya nampak masih kuat. Gayanya seperti seorang businessman. Telefon bimbit tidak pernah lekang daripada tangannya yang mempunyai branula untuk memudahkan memasukkan ubat ke dalam salur venanya.

***

Tepat jam 4 pagi saya kembali ke katil pertama. Saya mengejutkan pesakit yang merupakan seorang lelaki muda yang dihidapi penyakit denggi. Menurut buku laporan baru 2 hari dia dimasukkan ke wad ini dan perkembangannya positif.

Tidak lama selepas itu, saya berpindah ke katil pakcik yang berusia 50an tadi. Telefon bimbit masih kemas di dalam genggamannya. Melalui siasatan yang dibuat dan simptom yang dialami, pakcik ini didiagnose sebagai NSTEMI ataupun serangan jantung. Tiba-tiba pakcik itu mengadu sakit dada. Saya dengan segera meminta staff nurse untuk membuat ECG stat dan memberi sejenis ubat di bawah lidah.

Setelah menyudahkan pengambilan darah beberapa pesakit lain, saya kembali kepada pakcik tersebut sambil meneliti ECG yang telah dibuat oleh staff nurse tadi.

“Pakcik sakit dada lagi ke?"

“Sakit lagi. Tapi dah kurang sikit. Terima kasih doktor. Sebenarnya pakcik tengah runsing la doktor.”

“Apa yang pakcik sedang fikirkan?”

“Entahlah saya sedang risaukan keputusan menteri berkenaan permohonan projek saya sebelum ini. Katanya dia akan tolong. Tapi sekarang saya dah masuk wad, jadi saya takut projek tu terlepas. Besar nilainya.”

“Pakcik, tak mengapa. Pakcik kan sedang sakit. Pakcik berehatlah. Tak payah fikir perkara tu sangat.”

“Doktor, doktor tak faham. Projek tu bernilai berjuta-juta ringgit. Kalau saya melepas kali ini habislah. Rugi besar tu. Peluang ni bukan selalu datang. Lagipun, saya dah kenal sangat dengan menteri tu. Dia dah janji sebelum ni. Tapi kalau saya masih macam ni, takut-takut dia bagi projek tu kepada orang lain.”

“Pakcik, insyaAllah adalah rezeki tu.”

“Doktor, saya dah melabur banyak untuk dapatkan projek ni. Pengalaman saya membuktikan saya layak dapat projek tu. Cuma masalahnya sekarang saya kena jumpa menteri tu untuk membawa kertas sampel testimoni projek-projek saya sebelum ini. Kalau saya berjaya dapat projek tu doktor, banyak benda saya boleh buat. Mungkin projek yang lagi besar saya boleh buat.”

“Pakcik, pakcik ada masalah jantung. Tak boleh la runsing-runsing macam ni. Tengok tekanan darah pakcik pun dah naik."

"Pakcik tak boleh berenti fikir pasal benda nilah doktor. Nak lelap mata pun tak boleh. Macam mana ye doktor?"

"Takpe lah pakcik, pakcik berzikir lah sekejap, ingat Allah. Moga pakcik cepat sembuh."

“…………..”

***

Itulah kali pertama saya menegur pesakit. Bukan kerana saya rasa saya banyak ilmu, tetapi sikap pakcik itu perlu ditegur. Saya rasa sudah cukup setakat ini saya berdiam diri dengan karenah pesakit-pesakit. Sebelum ini saya dapati majoriti pesakit yang saya rawat tidak menunaikan solat Subuh. Mereka seolah-olah rasa tidak berdosa meninggalkan solat. Setiap kali saya mengambil darah di waktu Subuh, saya terkilan di dalam hati, mengapa mereka tidak mahu bangun solat Subuh? Tidak ada uzur syar’ie pun yang menghalang mereka daripada menunaikannya.

Ada juga pesakit yang menyalahkan takdir kerana ditimpa penyakit. Bukankah segala yang baik dan buruk itu datangnya dari Allah? Bukankah apabila kita diuji dengan kesusahan ertinya Allah masih menyayangi kita dan Allah mahu kita kembali kepadaNya?

Saya juga menemui ramai pesakit yang mementingkan diri sendiri. Tergamak mereka memarahi jururawat yang membantu mereka tanpa sebab yang masuk akal. Tidak kurang juga ada pesakit yang marah kepada doktor. Ada juga pesakit yang memandang rendah kepada doktor houseman. Saya sendiri pernah ditegur oleh seorang pesakit, katanya dia tidak mahu doktor student handle kes dia. Nasib baik ada doktor lain yang back up. Dia ni bukan student, dia doktor HO. Hmm, mungkin tubuh badan saya agak kecil dan gaya saya tidak meyakinkan, barangkali.

***

Tugas seorang doktor tidak terhad kepada merawat fizikal yang sakit. Doktor mesti berperanan merawat hati yang sakit kerana jauh dari Allah. Kering daripada zikrullah. Moga-moga kalam sepatah dua yang kita ucapkan kepada pesakit-pesakit ini membekas di hati mereka.

Saya tidak pasti apa respon pakcik tadi apabila saya menegurnya supaya berzikir mengingati Allah. Diharap agar Allah membuka hatinya untuk mengutamakan perkara yang wajib diutamakan iaitu memikirkan persoalan akhirat.

Ditulis oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin, hasil pengalaman peribadi Dr Syarifah Aisyah Syed Abd Halim. Pegawai Perubatan (Latihan Siswazah UD41), Hospital Ampang, Selangor.

Disember 2011

No comments: