Showing posts with label dunia Islam. Show all posts
Showing posts with label dunia Islam. Show all posts

Thursday, May 21, 2015

Empat takbir untuk demokrasi di Mesir

LEBIH 13 juta rakyat Mesir telah memilih Muhammad Morsi dalam pusingan kedua pilihan raya presiden negara itu pada Jun 2012.
Angka itu bersamaan 51.73% daripada 26 juta rakyat yang keluar mengundi dalam pilihan raya itu.
Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) itu berjaya mengalahkan calon bebas Ahmed Shafik yang mendapat 48.27% undi.
Inilah demokrasi. Seseorang itu naik dan turun melalui peti undi hasil pilihan majoriti.
Pada 3 Julai 2013, beberapa hari selepas genap setahun bergelar Presiden di negara ‘abang’ di rantau Arab, Morsi digulingkan oleh tentera.
Sejak itu, beliau dikurung dan dibicarakan dengan pelbagai pertuduhan palsu.
Terkini, Morsi dan lebih 100 penyokong Ikhwan Muslimin dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan terlibat dalam rusuhan di Penjara Natroun dan jenayah risikan untuk Hamas.
Apa yang berlaku di Mesir adalah satu hakikat yang telah pun berlaku di Gaza apabila Hamas memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan pada tahun 2006.
Kerajaan Hamas tidak digulingkan namun rakyat Gaza keseluruhannya dihukum dengan sekatan ekonomi antarabangsa dan kehidupan mereka diseksa dengan pembinaan dinding ‘penjara terbesar’ di dunia.
Hanya kerana Ikhwan Muslimin dan Hamas mengisytiharkan dasar perjuangan mereka adalah Islam, tiada demokrasi bagi mereka.
Hanya kerana Ikhwan Muslimin dan Hamas menentang kewujudan (negara) Israel dan dilihat berpotensi mengancam kedudukan Israel, tiada demokrasi bagi mereka.
Hanya kerana Ikhwan Muslimin dan Hamas meletakkan syariat Islam sebagai dasar negara, tiada demokrasi bagi mereka.
Oleh itu, demokrasi di dua negara ini layak dihadiahkan empat kali takbir (solat jenazah).
Demokrasi telah mati untuk pejuang Islam.
Demokrasi hanya alat untuk menaikkan pejuang selain Islam. Jika ada pejuang Islam yang naik melalui demokrasi secara sah, nasib mereka tidak akan bertahan lama.
Inilah satu pengajaran berharga untuk pejuang Islam di negara lain khususnya Malaysia.
Demokrasi hanyalah alat ciptaan kafir yang digunapakai ketika ini bagi memenuhi aspirasi mereka. Apabila alat itu memakan tuan, ia dengan mudah dimatikan.
Usah tertipu dengan slogan demokrasi yang dilaungkan. Cukuplah kisah Morsi dan Hamas menjadi pengajaran.

Ambil pedoman derita umat Islam di Myanmar, China dan Palestin

UMAT Islam di Malaysia boleh dikatakan beruntung jika dibandingkan dengan umat Islam di negara lain seperti Myanmar, China dan Palestin.

Keperluan hidup yang asasi adalah lebih daripada mencukupi bagi sesetengah keluarga.

Walaupun begitu, tidak dinafikan masih ada lagi segelintir saudara seakidah kita yang tidak bernasib baik.

Jika dibandingkan dalam sudut kebebasan beragama, kita boleh menunaikan ibadah dengan sempurna. Termasuk juga penganut agama lain, keamanan dan keadilan yang ada menjamin hak semua dalam beragama.

Lain pula kisahnya bagi bangsa Uighur yang beragama Islam di China.

Tidak dapat dibayangkan betapa teruk penindasan yang mereka hadapi. Bertudung pun tidak boleh.

Begitu juga bagi saudara seakidah kita Rohingya. Sudahlah tidak diiktiraf sebagai warganegara, mereka terpaksa menggadai nyawa merantau ke negara lain bagi meneruskan kehidupan.

Rakyat Palestin pula, yang merupakan contoh hidup perjuangan umat Islam hari ini, hidup mereka semakin ditekan. Pada bila-bila masa Israel boleh menyerang. Kehidupan di kem pelarian, tidak ubah seperti penjara yang serba kekurangan.

Orang Melayu di Malaysia perlu mengambil iktibar di atas apa yang menimpa saudara seakidah kita di negara lain.

Selain berusaha membantu mereka melalui kutipan tabung kecemasan dan ceramah-ceramah kesedaran, kita perlu sedar bahawa tanah ini perlu dikekalkan di bawah hak milik umat Islam.

Jangan sesekali membiarkan pihak lain menguasai setiap inci tanah kita.

Biarlah masa depan kita dicorak oleh kita sendiri dengan acuan Melayu Islam. Bukannya dengan acuan pemikiran jahiliyah yang diimport dari Barat.

Jika kita terlepas tanah ini, tiada lagi tanah untuk kita berdaulat. Saat itu, barulah kita sedar betapa peritnya penderitaan yang dilalui oleh saudara seakidah kita di Myanmar, China dan Palestin.

Saat itu, tangisan darah pun sudah tidak berguna lagi!