Thursday, September 29, 2011

Hudud: tanggungjawab bersama

Hudud merupakan sebahagian daripada hukum Allah yang terdapat di dalam Al-Quran yang perlu dipraktikkan di muka bumi ini khususnya Malaysia.

Sebagaimana kita selaku pengguna sesebuah komputer, kita perlu mengikuti manual yang telah disediakan oleh pencipta/pengilang komputer kerana si pencipta lebih tahu apa yang terbaik untuk prestasi maksimum komputer ciptaannya, maka seperti itu jugalah kita perlu mengikut manual yang Allah sediakan buat umat manusia seperti yang terkandung di dalam Al-Quran.

Sebagai muslim yang faham Islam, kita sedar dan akur dengan arahan Allah untuk melaksanakan hukum hudud dalam pemerintahan negara. Kewajiban yang Allah tetapkan tiada bezanya dengan kewajiban dalam menunaikan solat dan berpuasa.

Amat malang sekali bagi negara kita kerana rata-rata pemimpin yang dilantik melalui pilihanraya tidak tegas dalam isu ini. Mereka sanggup mengatakan hukum ini tidak boleh dilaksanakan dan bukan dasar perjuangannya.

Saya mengajak semua yang membaca artikel ini supaya faham bahawa hukum hudud merupakan hukum Allah dan ia wajib dilaksanakan. Jelas tanpa ragu-ragu lagi.

Perkara yang menjadi kekeliruan pada masa ini ialah isu pelaksanaannya. Adakah melalui pintu atas atau sebaliknya?

Pintu atas yang dimaksudkan adalah melalui kuasa. Kuasa politik. PAS mengatakan bahawa mereka tidak mendapat lampu merah daripada kerajaan pusat. Merujuk entry yang ditulis oleh YB Zul Noordin dalam blognya yang bertajuk 'Islam Boleh', beliau menyatakan bahawa PAS perlu duduk semeja dengan kerajaan pusat untuk meluluskan pindaan terhadap Jadual 9, Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan pelaksanaan hukum hudud.

Kesimpulannya Islam boleh jika bersatu dan bersepakat dalam isu yang disepakati walaupun berbeza logo.

Akan tetapi, sekalipun PAS mendapat persetujuan kerajaan pusat dalam hal ini, PAS tidak akan berjaya melaksanakannya kerana suara yang menentang amat kuat.

Suara penentang ini terdiri di kalangan DAP dan MCA dan orang-orang Cina. Mereka kuat dalam menyatakan bantahan dan sebaliknya UMNO dan PAS amat lemah dalam menyatakan pendirian menegakkan hukum hudud. UMNO dan PAS kedua-duanya tersepit demi menjaga kedudukan mereka di dalam pakatan masing-masing.

Inilah kenyataannya yang harus diterima. Umat Islam lemah kerana terpecah-pecah manakala kumpulan bukan Islam sebulat suara dalam isu ini.

Saya berpendapat bahawa pelaksanaan hukum Islam di sesebuah negeri atau negara memerlukan syaukah atau mandat daripada majoriti rakyatnya. Majoriti rakyat perlu faham dan menyokong seratus peratus tindakan kerajaan tanpa sebarang bantahan. Majoriti rakyat iaitu kaum Melayu Islam perlu disatukan di bawah satu agenda. Apatah lagi jika pimpinan Melayu Islam ini disatukan dan dengan ini suara Islam menjadi kuat dan digeruni.

Inilah yang saya maksudkan sebagai pintu bawah. Kuasa politik semata-mata belum tentu menjadi penentu sesuatu dasar atau undang-undang untuk dilaksanakan. Usaha berterusan dalam mendidik masyarakat ke arah agenda dan matlamat yang sama merupakan tugas kita semua kerana beban taklif itu jatuh di atas bahu setiap umat Islam.

Pendidikan masyarakat yang bermula di peringkat individu dan keluarga adalah cara terbaik dalam penegakan hukum Allah. Inilah wasilah yang Nabi Muhammad gunakan dalam rangka mewujudkan negara Islam Madinah.

Oleh itu, menilai isu dari sudut pandang yang lebih luas amat-amat dituntut supaya kita tidak terikut-ikut dengan arus yang dimulakan oleh orang lain.



Tuesday, September 20, 2011

Kenali ISMA

http://www.youtube.com/user/mediaisma?blend=7&ob=5

1. Kenapa slogan ISMA diubah daripada Membina Generasi Harapan kepada Membangun Umat beragenda?

2. Apakah perubahan ini menggambarkan bahawa ISMA bukan lagi menumpukan aspek tarbiyah?

3. Apakah hasrat pimpinan ISMA kepada ahlinya dan juga masyarakat umum dari perubahan ini?

Thursday, September 15, 2011

HRP demands 23 seats from Pakatan | Free Malaysia Today

HRP demands 23 seats from Pakatan | Free Malaysia Today:

'via Blog this'

Adakah mereka terpinggir?

Suara politik bangsa India kini menggunakan wadah HRP untuk mendapat hak mereka dalam aspek pembangunan dan pendidikan. Hindraf adalah sebahagian daripada mereka dan Hindraf yang masih lagi tidak diiktiraf dan belum berjaya dalam tuntutannya ke atas kerajaan British dan kerajaan Malaysia.

Mereka mendakwa kerajaan BN mahupun PR masih belum menunaikan hak mereka maka dengan itu mereka sendiri mahu PR memberikan kerusi kepada mereka untuk bertanding di kawasan-kawasan yang ramai bangsa India.

Saya tidak tahu apa pula perkembangan MIC dalam perjuangan mereka sebagai wakil bangsa India dalam kerajaan BN.

Di dalam Islam, hak orang bukan Islam akan diberikan sebaiknya dan sama rata dengan syarat mereka membayar jizyah. Perkara ini sudah dibuktikan oleh kerajaan Islam Madinah.

Namun kini apabila sistem Islam tidak dipraktikkan maka ia memberikan kesan negatif bukan sahaja kepada orang Islam bahkan kepada orang bukan Islam.

Lebih malang jika imej Islam terus dipandang serong dengan pelbagai tuduhan seperti Islam tidak mampu dan tidak layak memimpin alam ini.

Penyelesaiannya di tangan kita. Tugas membina semula ketamadunan Islam bermula dengan diri kita sendiri. Tunaikan kefarduan, hiasi diri dengan akhlak dan jagalah diri dengan menjauhkan maksiat.

Sunday, September 11, 2011

patah-patah kata menjadi kata pepatah

1. sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

2. alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai pecah tempayan.

3. dulu lain, sekarang lain, dulu bujang sekarang dah kahwin.

4. kalaulah iman itu berada di hujung langit, sampai ke sana akan ku kejar.

5. kita tuding jari kepada orang lain, sedangkan 4 jari lagi tertunjuk ke arah kita sendiri.

6. membina bukan meroboh, mengajak bukan memecah.

7. hidup umpama roda, kekadang di atas, kekadang di bawah.

8. ku sangka panas ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

9. kalau kail panjang sejengkal usahlah laut hendak diduga.

10. bila sakit baru cari emak, masa sihat cakap emak pun tak nak dengar.

uniknya kata-kata kerana ia mampu menggambarkan seribu makna dengan beberapa patah perkataan. lafaz yang diucapkan menunjukkan perasaan dan emosi dan nilai di sebalik kata-kata yang tersurat. namun, di dalam Al-Quran terkandung seribu satu makna yang hanya difahami oleh mereka yang memiliki hati. hati yang dekat dengan allah, dibuka untuk memahami apa yang tersirat, melihat segala rahsia alam yang menjadi bukti kekuasaan Allah.

tiada kata yang dapat menggambarkan bagaimana hebatnya syurga kerana syurga sendiri tiada makna yang menyamainya.

kata-kata mewakili makna, apalah gunanya kata-kata sekiranya tiada makna yang mampu mewakili apa itu syurga.

Thursday, September 08, 2011

Revolusi Melayu

Dilema Melayu dengan sendirinya juga merupakan dilema Malaysia. Negara Malaysia tidak dapat maju dan makmur jika terdapat barah yang memakan jantungnya. Oleh kerana orang-orang Melayu merupakan sebahagian besar dari penduduk negara ini, maka sebarang perkara yang terjadi ke atas mereka akan memberi kesan kepada negara.

Oleh itu, adalah amat perlu bahawa usaha-usaha yang dibuat untuk menyelesaikan dilema ini dengan bersungguh-sungguh. Keperluan yang pertama ialah satu revolusi. Revolusi adalah satu perkataan yang menimbulkan ketakutan yang tidak sewajarnya di Malaysia. Revolusi biasanya menggambarkan pembunuhan dan anarki, tetapi revolusi juga ada yang kreatif dan berperaturan jika sekiranya cara-caranya difahami oleh orang-orang yang paling layak untuk menjalankannya.

Kalau tidak revolusi, maka pilihan yang lain adalah evolusi. Evolusi tidak dapat dikawal dengan sempurna dari segi kecepatannya dan objektifnya. Ia terlalu banyak bergantung kepada keadaan dan berbagai faktor lain yang sukar untuk dikesan dan oleh itu ia susah untuk diguna dan dikawal.

Jika revolusi itu adalah satu penyelesaian bagi masalah orang Melayu di Malaysia maka ianya haruslah merupakan satu revolusi yang dirancangkan dengan teliti. Ia sepatutnya membawa kebaikan dan mengelakkan bahaya yang terdapat pada revolusi-revolusi lain. Inilah sebabnya analisa tentang sifat, kebudayaan dan kebolehan orang Melayu sangat berguna.

*Demikian tadi merupakan satu petikan dalam buku karangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertajuk Dilema Melayu yang diterjemah oleh Ibrahim bin Saad.

Ulasan ringkas daripada saya:

1. Kita mesti kenal kelebihan dan kekurangan diri, barulah kita boleh melangkah jauh ke hadapan.

2. Perubahan mestilah bermula daripada dalam diri, kemudian ianya akan dirasai oleh orang lain.

3. Kita mesti berani dalam menyatakan kebenaran sekalipun ianya amat pahit ditelan.

4. Bangsa Melayu berupaya menjadi bangsa hebat memperjuangkan Islam sekiranya memenuhi syarat-syarat kemenangan yang Allah telah gariskan dan ia telah terbukti dalam sejarah, mana-mana bangsa yang mengikut sunnah Allah, maka kejayaan adalah miliknya.

5. Kebenaran dan manfaat itu berada di mana-mana. Terpulang kepada kita untuk menilai sesuatu benda untuk manfaat dakwah.

6. Perjuangan Islam di Malaysia bermula dengan memajukan orang Melayu kerana Melayu adalah bangsa majoriti dengan tidak mengenepikan peranan bangsa-bangsa lain.

7. Perjuangan Islam bukan hanya di tikar sembahyang bahkan ia meliputi segenap aspek kehidupan dan ia bermula dengan membawa arus perubahan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

"Membina Umat Beragenda"