1. Jika seks bebas berleluasa, maka akan lebih ramai anak luar nikah dilahirkan. Mereka akan hidup tanpa ibu bapa yang bertanggungjawab menjaga makan minum, tempat tinggal, masa depan mereka. Institusi keluarga akan runtuh.
2. Tidak boleh dibayang situasi rakan-rakan sebaya anak-anak kita tidak mempunyai ibu bapa. Siapa yang menjaga mereka? Jika kita lihat anak-anak yatim pun kita dah sedih dengan nasib mereka, apatah lagi jika mereka yang tidak tahu asal usul, tidak tahu keturunan.
3. Mereka yang berketurunan paling kurang tahu asal usul dan agama mereka. Tahu ke mana hala tuju. Berbeza dengan anak luar nikah, mereka akan membenci seluruh alam terutama golongan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Mereka akan persoalkan mengapa mereka lahir tanpa ibu bapa. Seterusnya, mereka akan bergerak ke mana yang mereka suka, tidak lagi kepada agama yang sepatutnya dididik oleh ibu bapa.
4. Jika semakin ramai yang tidak tahu hala tuju, masyarakat akan kucar kacir, susah untuk dikawal. Masing-masing bertindak mengikut hawa nafsu dan fikiran ceteknya. Apabila nafsu dan akal pendek menjadi pegangan, maka rosaklah sistem alam ini.
5. Oleh itu, dengan berlakunya seks bebas di dalam masyarakat, siapa yang akan rugi? Sudah tentu masyarakat. Jika kita mahu hidup aman dan tenteram, maka peliharalah masyarakat daripada hanyut dengan budaya barat yang merugikan dalam jangka masa panjang.
6. Kita bersyukur apabila mendengar berita ini. Masih ada ibu bapa yang berfikir panjang. Mereka mahu masa depan anak-anak mereka terjamin. Perkara yang salah perlu diakui sebagai perkara yang salah. Tidak perlu dipertahankan lagi seperti menegakkan benang yang basah.
7. Kita juga berasa sedih dengan kenyataan ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Mereka lupa masa depan anak-anak mereka. Mereka fikir kehidupan ini hanya pada zaman mereka sahaja. Betapa ceteknya pemikiran mereka yang kononnya berpelajaran tinggi.
8. Perkara seperti ini boleh dibendung jika semua memainkan peranan. Bermula di rumah, ibu bapa perlu mencari pendekatan terbaik mengawal anak-anak generasi x ketika ini. Pendekatan sudah tidak sama seperti dahulu. Janganlah pula memberi alasan mencari pendekatan baru dengan membenarkan anak dara bergaul dengan lelaki bujang.
9. Nabi Muhammad sudah memberi panduan lebih 1400 tahun lalu. Beri arahan untuk menunaikan solat apabila mereka berumur 7 tahun. Pukul anak-anak untuk solat apabila mereka berumur 10 tahun.
10. Ertinya, utamakan perkara yang wajib diutamakan. Solat tiang agama. Perkara pertama akan ditanya akhirat nanti. Selepas anak-anak taat menunaikan solat, barulah tenang hati ibu bapa di dalam kubur nanti.
11. Ibu bapa yang baik bermula daripada individu yang baik. Berkahwin pula dengan pasangan yang baik. Mustahil seorang lelaki menjadi baik jika berkahwin dengan perempuan tidak baik kecuali dengan izin Allah.
12. Sengaja saya tidak menghalakan perbincangan mengikut konsep hak asasi yang selalu digunakan sebagai hujah oleh pendukung Seksualiti Merdeka. Hujah itu dengan mudah akan tertolak jika kita berfikir dalam kerangka seorang ibu atau bapa yang inginkan masa depan anak-anak terpelihara. Mungkin juga mereka berfikir sebagai ibu bapa, tetapi mereka sama sekali tidak memikirkan nasib anak bangsa!
No comments:
Post a Comment