Sunday, September 04, 2011

Berfikir untuk Ummah

Di antara ciri-ciri orang beriman ialah berfikir. Selalu memikirkan kejadian Allah, memikirkan peranan dan tugas yang diamanahkan, dan berfikir untuk menghasilkan sesuatu.

Orang yang malas berfikir adalah orang yang malas bertindak.

Setiap apa yang berlaku di sekeliling kita perlu diambil pengajaran.

Bagaimana?

Dengan berfikir.

Saya meneliti isu kenyataan Mat Sabu berkenaan pejuang sebenar negara. Respon pelbagai pihak menunjukkan suara Islam yang mementingkan maslahat agama dan umatnya masih belum menjadi arus perdana. Bahkan yang lebih disuarakan adalah hentaman antara satu pihak kepada pihak yang lain. Begitulah sebaliknya.

Bukankah isu sejarah adalah isu subjektif? Bahan dan rujukan teramat luas. Tafsiran juga berbeza-beza menurut sudut pandang tertentu. Jika isu ini dipandang menurut sisi memenangkan satu pihak dan menjatuhkan pihak yang lain, apa lagi yang tinggal untuk Islam?

Perbezaan pendapat tidak semestinya membuktikan adanya perpecahan tetapi dalam situasi ketika ini, orang Melayu Islam memang dilihat terpecah-pecah. Masing-masing memperjuangkan pihaknya sendiri sedangkan kita diajar untuk mencari kebenaran walaupun di pihak lawan.

Akhirnya kelompok yang masih terbiar dan dibiarkan begitu sahaja tanpa disentuh dan ditegur (muda mudi moden yang liberal tanpa ikatan syarak), terus terbiar dan dibiarkan.

Golongan miskin terus miskin tanpa pembelaan.

Kesempatan beraya di kampung halaman di kawasan Felda di Johor dan di Selangor memberikan gambaran bahawa masih ramai insan yang berada dalam kelompok 'terbiar dan dibiarkan'.

Pihak atasan sibuk dengan isu jatuh-menjatuhkan, pihak rakyat bawahan sibuk dengan isu keduniaan. Kalau adapun yang sibuk dengan amal ibadat, tetapi hanya sekadar di tikar sejadah.

Dengan berfikir, kita menyedari bahawa dunia ini penuh dengan masalah dan amat sedikit pihak yang serius menyelesaikannya.

Lalu kita akan sedar semula bahawa kepada siapa lagi tugas dan peranan ini perlu dibebankan jika bukan di atas pundak kita sendiri wahai para pendakwah.

Persiapkan diri dan berusaha bersungguh-sungguh demi agama tercinta. Sekali kita berlengah, berkali-kali masalah akan berganda.

Ayuh, gerakkan minda, banyakkan usaha!

No comments: