http://mhasna.wordpress.com/2011/09/06/692011/
Diriwayatkan ada seorang raja yang meletakkan sebuah batu besar di tengah-tengah sebuah jalan utama di bandar. Kemudian raja itu menyuruh orang bawahannya untuk memerhatikan gelagat setiap orang yang melalui jalan tersebut.
Orang pertama yang melalui jalan tersebut adalah seorang pembesar negeri. Akan tetapi keluar daripada mulutnya kata-kata kotor mengutuk tindakan orang yang meletakkan batu besar itu di tengah jalan.
Datang orang kedua pula. Dia merupakan seorang rakyat biasa. Namun, terpacul daripada mulutnya juga kata-kata nista yang tidak kurang dengan cacian dan makian. Agak baik sedikit kerana suaranya tidaklah setinggi pembesar tadi.
Datang pula seorang pemuda bandar itu lalu terus mengutuk dan memperlekehkan keadaan negerinya yang kucar-kacir, tidak bersistem dan pemuda itu menyifatkan pelakunya adalah seorang yang jahil dan ketinggalan zaman.
Akhir sekali datanglah seorang petani biasa. Dia kemudian menyinsing lengan bajunya lalu cuba mengangkat batu itu. Disebabkan batu itu berat, maka dia memanggil pejalan kaki yang lain untuk menolongnya mengalih batu tersebut ke tepi jalan.
Sedang mereka mengangkat batu tersebut, mereka menemui ketulan emas yang terdapat sebuah nota di sebelahnya.
"Daripada raja kepada orang mengalihkan batu ini, inilah emas sebagai ganjaran bagi manusia yang positif yang bersegera membuang masalah yang dihadapi tanpa sebarang aduan dan keluhan."
Ramai daripada kita melihat keadaan yang menyedihkan yang berlaku di Genting Ghaza khususnya dan Palestin umumnya. Akan tetapi sikap kita tidak jauh daripada sikap tiga orang yang pertama yang tidak langsung membantu menyelesaikan masalah, sekurang-kurangnya tampil memberi idea dan cadangan, nasihat dan berbincang.
Dengan mengambil sikap bersegera bertindak dalam memberi penyelesaian maka saya pun mahu menjalankan tugas seperti seorang Perdana Menteri Palestin, yang menjadi ketua di Genting Ghaza yang dikepung, terdedah kepada ancaman bunuh, kekurangan sumber bahan, banyak tanggungjawab, menghadapi banyak cabaran dan kekurangan, kemiskinan, kefakiran dan pengangguran, namun Perdana Menteri tetap Somid (berdiri tegak), tanpa hilang rasa kekuatan, keluar berjuang berhadapan musuh yang tidak kenal bahasa melainkan bahasa perang, melawan orang yang zalim, membantu orang yang dizalimi, mahu mendatangkan manfaat dan menjauhkan mudarat.
Sekalipun tugas itu nampak mustahil dilaksanakan, namun saya tetap mahu memikul amanah ini, amanah seorang Perdana Menteri Palestin.
Bersambung di siri kedua...panjang lagi ceritanya. Tunggu.
No comments:
Post a Comment