Monday, December 12, 2011

Kepada apa kita menyeru manusia

Pada minggu lepas, rancangan Usrah membincangkan Risalah Al-Banna yang pertama. Risalah ila ayyi syai'in nad'u nas asalnya adalah beberapa artikel bersiri yang telah diterbitkan di dalam majalah/akhbar Ikhwan pada zaman itu.

Terdapat beberapa poin untuk perkongsian bersama:

1. Ust Lah membetulkan maksud (terjemahan) risalah. Bukan ke arah mana kita menyeru manusia, tetapi kepada apa kita menyeru manusia. Berdasarkan tajuk itu, jelas kepada kita bahawa kita membincangkan subjek 'apa' yang kita serukan kepadanya itu, bukannya arah.

2. Neraca (miqyas)
Setelah beberapa lama berdakwah kepada masyarakat, kita mendapati bahawa sebenarnya masyarakat tidak memahami apa sebenarnya yang kita dakwahkan. Mereka mendengar dan mengikuti segala program penerangan kita, namun tidak ramai yang memahami perkara sebenar.

Apakah puncanya?

Puncanya ialah neraca (alat penimbang) yang berbeza digunakan oleh pendakwah dan mad'u. Apabila neraca yang berbeza digunakan sudah pasti hasilnya juga berbeza. Dengan demikian, dakwah tidak akan berjaya apabila neracanya berbeza-beza.

3. Al-Quran sebagai neraca.
Bagi pendakwah (Ikhwan), neraca yang wajar diambil adalah Al-Quran. Maksudnya, kita menilai kejayaan dakwah kita adalah dengan mengukur jauh dekatnya masyarakat dengan ajaran Al-Quran.

Jika masyarakat makin dekat dengan Al-Quran dan ajarannya, maka itu adalah petanda kejayaan dakwah kita. Jika sebaliknya, maka usaha perlu dilipatgandakan supaya masyarakat kembali kepada Al-Quran dan ajarannya.

4. Perkara lain sebagai neraca
Apabila pendakwah Islam tidak meletakkan Al-Quran sebagai neraca, maka bagaimanakah kejayaannya dapat diukur? Pada hari ini, ramai orang menilai sesuatu kejayaan dengan penilaian material semata-mata ataupun lebih teruk daripada itu.

Mereka tidak kisah sekiranya masyarakat jauh daripada petunjuk Al-Quran, yang penting kehidupan mereka tidak terganggu, sedangkan pada hakikatnya Al-Quran adalah jawapan kepada permasalahan umat pada hari ini.

Musibah dan kelemahan yang membelenggu umat Islam adalah disebabkan jauhnya mereka daripada Al-Quran dan ajaran-ajarannya.

5. Matlamat hidup (ghayatul hayah)
Di antara salah satu penanda jauh atau dekatnya masyarakat pada hari ini ialah matlamat hidup. Al-Banna menyebut bahawa matlamat hidup orang kafir hanyalah matlamat yang sementara. Mereka inginkan kemewahan dunia, kesenangan dan hiburan. Makan dan minum seperti binatang. Orang beriman tidak sama dengan orang kafir.

Cita-cita yang besar harus dimiliki setiap muslim. Jika sebelum ini kita hanya dididik menjadi ikhlas dan menjadi hamba Allah yang terbaik, tetapi di dalam risalah ini, Al-Banna mengajar kita akan cita-cita lain yang tidak kurang pentingnya iaitu menjadi pemimpin.

6. Kepimpinan ke atas orang lain (wisoyah)
Matlamat hidup orang beriman adalah menjadi pemimpin kepada orang lain di dunia. Mereka mewarisi segala yang ada. Apabila mereka hebat di dunia, sudah tentu kedudukan mereka di akhirat juga hebat. Di sisi para anbiya' dan para solehin.

7. Pemimpin ertinya hebat
Orang Melayu terkenal dengan lemah lembut dan budi pekerti. Namun, ia tidak boleh berlebihan sehingga menyebabkan orang lain memijak kepala kita. Sifat positif ini perlu didorong oleh sifat kepimpinan.

Dunia hari ini dipimpin oleh tamadun barat yang sesat dan menyesatkan. Kita tidak redha dengan situasi ini, maka dengan itu kita perlu menyusun gerak kerja dan mengatur langkah sebaiknya untuk mengambil semula tampuk kepimpinan dunia ini.

Para pejuang Islam tidak boleh lagi bermatlamatkan perkara yang kecil-kecil mahupun perkara keduniaan, bahkan kita perlu bercita-cita besar untuk menjuarai kehidupan ini.

8. Perubahan bermula dari dalam diri
Inilah kefahaman daripada ayat 11 daripada Surah Ar-Ra'du. Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan merekalah yang mengubah diri mereka sendiri. Al-Banna tidak menyebut perkara lain untuk membangunkan semula umat ini. Beliau menyebut tentang matlamat. Kehendak. Visi dan misi. Kepimpinan.

Pembinaan matlamat dalam diri adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Inilah sunnatullah di dalam perubahan. Di zaman Nabi, para sahabat yang buta dan sakit bersegera ke masjid setiap kali waktu solat untuk berjemaah. Tiada perkara luaran yang dapat menghalang jika jiwa itu kuat mencapai matlamat dan tujuan.

Penutup

Banyak lagi perkara yang dibincangkan. Saya rasa cukup sekadar ini dahulu perkongsian hasil pembacaan dan perbincangan risalah tersebut.

1 comment:

Hazim Azhar said...

salam ustaz.. satu perkongsian yang sangat baik dan membina.

Ana tertarik dengan point neraca pertimbangan tu. Dan itulah seharusnya para dai'e harus gunakan; (mizan sama').

Kita menilai dakwah kita menggunakan mizan Allah.

jazakallah..