Bismillah.
Ada sebuah kisah yang pendek tetapi mengandungi pengajaran yang besar.
Driwayatkan ada 3 ekor lembu di sebuah hutan. Lembu putih, merah dan hitam. Mereka kerap diperhatikan oleh seekor singa. Singa itu mahu menjadikan lembu-lembu itu sebagai makanannya. Akan tetapi hasratnya tidak akan tercapai selagi mana lembu-lembu itu berada dalam keadaan berkumpulan.
Singa itu kemudiannya berkata kepada lembu hitam dan lembu merah.
"Mari kita duduk bersama-sama kerana warna kita hampir-hampir sama. Tinggalkan lembu putih berseorangan kerana dia jauh berbeza daripada kita."
Apabila lembu putih berada dalam keadaan keseorangan, perlahan-lahan singa itu meninggalkan lembu merah dan hitam.
Hari berikutnya, singa berkata pula lembu merah.
"Mari kita duduk bersama kerana warna kita hampir-hampir sama, tinggalkan lembu hitam kerana dia jauh berbeza daripada warna kita."
Apabila ada kesempatan, singa itu pun meninggalkan lembu merah dan memakan lembu hitam.
Pada hari seterusnya, singa pun dengan mudah menjadikan lembu yang terakhir iaitu lembu merah sebagai mangsanya.
Singa berkata kepada lembu merah.
"Hari ini giliran kamu pula."
Sebelum mati dimakan, lembu merah pun berkata.
"Sesungguhnya pada hari ini aku dimakan seperti mana lembu putih dimakan."
Tamat cerita.
Berdasarkan cerita tersebut, kata-kata yang diucapkan oleh lembu merah itu kemudiannya dijadikan kata-kata misalan (masal arabi) yang selalu digunakan di dalam ucapan-ucapan di negara arab.
"Inni ukiltu yauma ukila ath-thaurul abyad"
Apa yang ingin disampaikan melalui kisah tersebut ialah kepentingan bersatu padu. Jika di negara Arab, ramai pemimpin masyarakat seperti para khatib dan imam selalu melaungkan perpaduan di kalangan pemimpin-pemimpin negara Arab sebagai menghadapi ancaman daripada Yahudi dan Amerika dalam isu umat Islam umumnya dan dalam isu Palestin khususnya.
Kekayaan dan kekuatan politik yang dimiliki negara Arab jika bersatu mampu mengalahkan musuh Islam seterusnya membela nasib umat Islam sedunia.
Namun apa yang dikesali pada ketika ini, negara-negara Arab terpecah-pecah. Sempadan geografi benar-benar telah memisahkan hubungan akidah sehinggakan pada satu ketika apabila Presiden Mesir ditanya tentang peranannya di Palestin, dengan mudah beliau menjawab Palestin ada pemimpinnya sendiri.
Kini, tiada satu negara Arab yang menonjol sebagai pemimpin negara-negara Arab yang lain. Jika dahulu, Salahudin Al-Ayubi bertindak menyatukan dahulu daerah-daerah Islam sebelum berjaya menawan Baitul Maqdis daripada tangan tentera salib.
Lihat sahaja apa yang berlaku di Sudan, Libya, Syria, Mesir dan negara-negara yang lain. Setiap negara mempunyai masalah dalaman yang akhirnya kesatuan di kalangan mereka sukar untuk dicapai.
Beralih kepada situasi di tanah air tercinta, Malaysia. Umat Islam yang majoritinya berbangsa Melayu terpecah kepada 2 kelompok utama jika dinilai dari sudut politik. Penyokong parti A menganggap penyokong parti B sebagai musuh yang wajib diperangi. Begitu juga sebaliknya.
Memang benar dalam politik perlu ada puak kerajaan dan puak pembangkang. Akan tetapi jika sikap negatif digunapakai dalam politik, orang yang berakal akan menilai politik tersebut sebagai politik yang tidak matang.
Semua tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dianggap semuanya negatif meskipun ia baik. Jika sikap seperti ini terus diwarisi turun-temurun, maka kerugian yang amat besar akan ditanggung oleh Islam dan umatnya.
Musuh sentiasa berfikir dan mencari ruang untuk mengambil peluang yang ada. Akibat jauhnya umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar, begitu mudah bagi musuh Islam masuk menyelinap dan mengembangkan perancangan mereka.
Jalan perundingan dan persepakatan di kalangan umat Islam menjadi satu kewajipan ketika ini. Usaha dakwah yang berterusan oleh segenap pihak perlu disokong bagi mendidik umat ini supaya lebih memahami isi kandungan al-Quran dan mempraktikkannya dalam kehidupan.
Janganlah pada satu hari nanti kita sendiri berkata "inni ukiltu yauma ukila ath-thaurul abyad!"
No comments:
Post a Comment