Saturday, August 29, 2009

ramadan di mesir...



Ramadan Kareem!

Selamat berpuasa diucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat seantero dunia. Walau kita berjauhan dipisahkan jarak antara benua, namun ikatan akidah tetap menyatukan kita. Arahan berpuasa di bulan Ramadan mengikat hati-hati kita. Sama-sama berusaha melaksanakan fardu puasa sebaik-baiknya sebagai tanda perhambaan yang total kepada Sang Pencipta.

Sedar tak sedar hari ini sudah hari ketujuh kita berpuasa. Lagi tiga hari cukup satu pertiga. Nabi kata padanya ada rahmat Allah Maha Esa. Satu persoalan untuk kita muhasabah bersama, sejauh mana kita telah berpenat lelah mencari redha Allah di bulan yang mulia ini. Bagaimana dengan solat kita, puasa kita, tarawih kita, ukhuwah kita, istighfar kita… Adakah kita benar-benar mendambakan rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada hujungnya?

Di sini, saya dan ‘teman-teman’ telah berbincang dan ingin kongsikan beberapa masalah yang sering dihadapi oleh mereka yang berpuasa khususnya di Mesir, realiti yang dihadapi oleh student-student kita di Bumi Anbiya’ ini. Saya sertakan bersama langkah-langkah praktikal sebagai jalan penyelesaiannya. Kami telah sama-sama bersepakat untuk melaksanakannya. Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna.


1. TAK BANGUN SAHUR SEKALIGUS TAK BANGUN QIYAM

Punca (P): Tak ada orang gerak, atau pun tak sedar bila orang lain gerak. Ataupun letih sangat kerana bertarawih. Kenyang sangat? Mungkin juga.

Jalan penyelesaian (JP) :

1. Tidur awal.

2. Kurangkan bersembang dengan ahli rumah sebelum tidur.

3. Pergi tidur di rumah lain yang ramai orang. (ketika berseorangan di rumah sendiri)

4. Saling ‘missed call’ satu sama lain, ia dijalankan sesama kawan terdekat.

5. Berpesan kepada ahli rumah yang bangun awal, ‘Kejutkan saya sahur!’

6. Sediakan makanan sahur sebelum tidur.

7. Memasang niat yang padu di dalam hati, ‘Aku nak bangun sahur!’. ‘Nak qiyam!’

8. Lazimi cara tidur mengikut sunnah Nabi. Berwuduk, berdoa, baca 3 Qul dan banyak lagi sunnah Nabi sebelum tidur.


2. MAKAN BANYAK SANGAT SEMASA IFTOR LALU MALAS NAK PERGI TARAWIH

P : Ikut nafsu makan, lapar sangat berpuasa, rezeki melimpah ruah, tak nak membazir dan macam-macam lagi alasan.

JP :

1. Banyakkan minum air, otomatik akan tak lalu makan banyak. (betul ke ikhwah medic?)

2. Jangan beli atau masak makanan banyak sangat.

3. Kawal nafsu makan?

4. Tidak mengisi makanan dalam talam banyak-banyak. Letak sikit dulu, tak cukup baru tambah.

5. Fikir sebelum makan, apa hadaf makan…makan untuk kuat ibadat. (makan=wasilah, solat=hadaf) Jangan jadi golongan yang fokus sangat pada wasilah sehingga lupa hadaf!

6. Berhenti sebelum kenyang.


3. BANYAK MASA TERBUANG BEGITU SAHAJA (BANYAK TIDUR DAN BERSEMBANG)

P : Tiada jadual harian, maka jadual berterabur, hidup tidak tersusun, malas nak laksanakan tugas, lalu masa yang ada diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti tidur berlebihan, bersembang dan bergurau tahap maksimum.

JP :

1. Buat jadual harian, susun mengikut waktu solat. Setiap perkara pada masa yang sesuai.

2. Bersegera melaksanakan tugas tanpa bertangguh.

3. Membaca kisah-kisah insan hebat dan menteladani mereka.

4. Banyakkan membaca al-Quran.

5. Bersembang di dalam bahasa Arab dan English, paling kurang dapat rapatkan ukhuwah dan dapat praktis bahasa Arab dan English.


4. MUKA TIDAK BERMAYA, KERANA LETIH BERPUASA

P : Tak pernah hidup susah, selalu kenyang. Tiba-tiba kena berlapar, terus masam muka. Teman rapat pun dilayan seperti musuh. Terasa azabnya berpuasa!

JP :

1. Ceriakan wajah. Kerana puasa itu ibadah! Kita berpuasa demi Allah. Pahala berlipat ganda.

2. Latihan berpuasa setiap Isnin Khamis.

3. Bersahur secukupnya.

4. Berwuduk selalu. Mandi pun boleh juga.

5. Berkawan dengan insan yang ‘tengok muka dia je rasa nak ketawa’. Sure hilang lapar! (syukur ada ahli rumah yang macam ni. Hehe!)


5. TAK RASA ZOUQ KETIKA BERTARAWIH

P : Imam baca al-Quran dengan sedap, sampai ke ayat azab, menangis teresak-esak. Para makmum yang lain pun turut menangis. Yang kita ni, nangis juga. Bukan kerana takut azab, tapi sakit kaki lenguh berdiri.

JP :

1. Al-Quran=kalam Allah. Bukan untuk telinga semata-mata, tetapi yang lebih penting ia adalah untuk hati. Bersihkanlah hati, kerana al-Quran susah nak masuk ke dalam hati yang gelap dengan maksiat. Pedih bukan? Tapi, inilah kebenaran!

2. Buat persediaan sebelum tarawih. Baca terjemahan ayat. Fahami apa yang Allah nak sampaikan dalam juzuk yang bakal dibacakan imam pada malam itu.

3. Kuatkan penguasaan bahasa Arab!

4. Pegang mushaf semasa solat. Teliti ayat-ayat yang dibaca imam. Pegang Quran semasa solat fardu mahupun sunat hukumnya harus. (rujuk kitab fatwa Dr. Ali Jumuah, Mufti Mesir)


Pembaca-pembaca yang budiman,

الإعتراف بالداء هو أول الدواء

‘Mengaku adanya penyakit ataupun kesalahan adalah ubat yang pertama’

Boleh jadi sepanjang 7 hari ini kita tidak sedar penyakit-penyakit di atas telah menyerang kita. Maka, marilah sama-sama kita sedar akan perihal ini dan bersegera mengambil ubat yang sepatutnya agar wabak yang lebih dahsyat daripada H1N1 ini tidak menular sehingga habis Ramadan 1430H dan akhirnya kita menyesal tak sudah.


خاب و خسر من أدرك رمضان ولم يغفر له

‘Teramat rugilah bagi mereka yang melalui Ramadan tetapi tidak mendapat keampunan Allah’


Sekian, terima kasih.

Os.

Bawba Tania.

2.23pm.

Petang Jumaat.

28 Ogos 2009.

Tuesday, August 18, 2009

projek ramadan!

ahlan bikum!
lama tak menulis.
susah juga nak istiqamah.
bersempena ramadan 1430 ni, saya nak kongsikan apa yang sepatutnya kita buat di bulan yang mulia ni.
maaf kalau tak dapat nak sertakan sumber rujukan al-quran dan hadis.
ha, ini kiranya perkongsian pengalaman 4 tahun ber'ramadan' di mesir.

1. pasang niat sungguh2 nak berpuasa sepanjang bulan.
2. nak sahur tiap2 hari.
3. gerak awal 5 minit ke masjid sebelum solat fardu yang 5.
4. membaca al-quran sejuzuk sehari.
5. membaca buku-buku (tajuknya masih dalam perancangan)
6. nak iftor di rumah-rumah kawan2 dan dan ajak kawan2 iftor di rumah.
7. nak solat tarawih di masjid-masjid yang berbeza sepanjang bulan.
8. nak berkenalan dengan syabab arab semasa solat tarawih.
9. hias bilik dan rumah lawa-lawa, wujudkan kelainan.
10. lebihkan masa belek tasbih, pakai kopiah, dan selalu rehat atas sejadah. (kena ada masa bersedirian dengan diri sendiri)
11. nak kurangkan cakap, ketawa, dan bersembang.
12. cuba hafal juz 1,2,3,4,28,29 dan juz 30.
13. dan banyak lagi...

ini sekadar perkongsian untuk manfaat bersama.
sama-sama kita tahdid kan semula hadaf yang ingin kita capai.
dan tetapkan apa wasilah yang terbaik untuk kita gunakan.
dan jangan lupa muhasabah selalu.
tengok apa perkembangan dan apa kelemahan.
bincang dengan ikhwah untuk capai hadaf.

'be objective-oriented'

...............
os buleh!

Tuesday, August 11, 2009

merdekakah kita

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيئات أعمالنا، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، خصنا بخير كتاب أنزل وخير رسول أرسل وجعلنا خير أمة أخرجت للناس، وأشهد أن محمداً عبد الله ورسوله، أدى الأمانة وبلغ الرسالة وجاهد في الله خير جهاده ما ترك أمراً يقربنا لله إلا قربنا منه، نزل الله عليه الكتاب بيناً وهدى وبشرى للمسلمين، اللهم صلي وسلم وبارك على هذا النبي الكريم وعلى آله وصحابته أما بعد

Siapa ISMA?

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ditubuhkan pada 7 Julai 1997. Ia merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang begiat cergas dalam usaha-usaha dakwah dan pendidikan dengan slogan “Membina Generasi Harapan”.

Melalui usaha-usaha tersebut, ISMA menuju ke arah membina semula generasi Islam yang melaksanakan dalam diri mereka nilai-nilai Islam dalam segenap lapangan hidup; atau dengan kata lain membina semula jatidiri dan keperibadian umat. Salah satu nilai yang menjadi landasan dalam perjuangan ISMA ialah nilai kesetiaan bangsa.

Konsep “bekerja untuk Allah”, telah menjadikan usaha memartabatkan maruah dan kemuliaan bangsa sebagai jihad yang tinggi dan mulia di sisi ISMA. Ahli ISMA mengabadikan kehidupan peribadi mereka demi mengembalikan kegemilangan silam.

Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke 52

Warga ISMA bersyukur kepada Allah s.w.t kerana pada tahun ini, tahun 2009, buat julung-julung kalinya ISMA dapat menganjurkan secara rasmi Sambutan Bulan Kemerdekaan Negara kali ke-52.

Sambutan yang diadakan dengan cara yang tersendiri ini dilancarkan sebagai kaedah untuk menyampaikan suara hati rakyat terhadap kekusutan yang sedang dihadapi oleh umat kini. Keserabutan itu berpunca daripada kelunturan yang menyeluruh dari aspek kesetiaan bangsa.

ISMA mahu mengajak umat Islam seluruhnya untuk memperbaharui keteguhan hati dalam mepertahankan identiti bangsa mereka. Justeru itu, ISMA memilih tema yang sangat menarik yang berbunyi;

“Memartabatkan Kesetiaan Bangsa, Mengimbau Sejarah Silam”.


Kesetiaan ialah keteguhan hati. Kesetiaan bangsa yang dimaksudkan di sini ialah keikhlasan, kejujuran dan keteguhan hati terhadap agenda bangsa yang merupakan misi perjuangan, sebab wujud dan alasan kelangsungannya.

Mari kita kembali kepada asal intima’ (penggabungan) kita sebagai Melayu Muslim. Sebuah bangsa berdaulat tegak berdiri semenjak ribuan tahun yang lalu; yang telah menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang dengan risalahnya.

Kenapa hari ini kita menjadi terumbang-ambing tanpa risalah dan tanpa haluan?

Ini kerana, kita telah lupa asal-usul diri kita, kita menjadi bangsa tanpa identiti, menjadi umat yang mengikut langkah umat yang lain. Kita hilang jati diri kita sendiri.

نحن على ملة غير الذى نتنحل
كلام النبيين كلامنا و أفعال اهل الجاهلية نفعل


Kita berada atas satu ajaran bukan dari sumber ambilan kita
kalam nabi-nabi adalah kalam kita, tetapi perbuatan ahli jahiliyyah yang kita lakukan
(Penyair Arab Syauqi)

Islam telah menjadikan kita bangsa yang mulia, mempunyai matlamat kewujudan dan memiliki risalah kepada manusia. Islam memberikan kita sebab kelangsungan dan tangga menuju kecemerlangan. Sejarah telah mensebatikan Islam dan Melayu dan ia tidak mungkin dapat dipisahkan.

Proses normalisasi dengan kehidupan liberal dan plural menjadikan kita lupa identiti, lupa risalah dan juga lupa misi kita sebagai khaira umah (umat terbaik); misi sebagai syuhada’ (saksi) ke atas manusia. Inilah punca segala penyakit dan permulaan kepada keruntuhan.

Justeru itu, ISMA menyeru: Ayuh kita kembali kepada diri kita, bertaubat dengan taubat nasuha.

نحن قوم أعزنا الله بالاسلام فمهما نبتغى العزة بغير ما أعزنا الله اذلنا الله

Kita adalah kaum yang diberikan kemuliaan dengan Islam, selama kita mencari kemuliaan dengan selain daripadanya kita [akan] dihina oleh Allah.

ISMA menyeru semua untuk kembali kepada kesetiaan, keteguhan hati, kesatuan dan kebenaran intima’.

Bahkan kehinaan bukan berhenti setakat itu, bahkan kita telah menjadi habuan kepada pemangsa sekitar kita.

يوشك الأمم أن تتداعى عليكم ، كما تتداعى الآكلة إلى قصعتها ، فقال قائل : ومن قلة بنا نحن يومئذ؟ ! قال : بل أنتم يومئذ كثير ، ولكنكم غثاء كغثاء السيل ، ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم ، وليقذفن في قلوبكم الوهن ، قال قائل : يا رسول الله ! وما الوهن ؟ ! قال : حب الدنيا ، وكراهية الموت
.


Kamu akan dikerumuni oleh umat manusia seperti anai-anai mengerumuni makanannya. Bertanya seseorang: Adakah ia disebabkan bilangan kami sedikit pada waktu itu? Rasulullah s.a.w. menjawab: Bahkan kamu ketika itu ramai, tetapi kamu seumpama buih di laut. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa takut terhadapmu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seseorang bertanya: Apakah itu ‘wahan’, wahai Rasulullah? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Cintakan dunia dan bencikan kematian.”
(Hadis Sahih: Misykah al-Masobih, Albani)

Demikianlah, kita hilang keperibadian dan jatidiri. Setiap kita berputar pada kehidupan sendiri, individualistik, berputar seperti debu-debu ditiup angin mengelilingi kepentingan individu, atau kumpulan; mengorbankan kepentingan umat dan agenda nasional. Bahkan agenda-agenda umat kita jadikan tukaran dalam dagangan perebutan kuasa politik.

Tiada lagi kepercayaan sesama sendiri. Kawan bertukar musuh dan musuh bertukar kawan, silih berganti setiap kali musim berputar.

Lebih teruk lagi apbila masing-masing mengambil orang kafir sebagai kawan yang setia untuk melawan muslim yang lain.

Allah berfirman:


“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.” (Aali Imran: 118)




“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah Dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyeksa kamu). dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Aali Imran: 28)


ISMA menyeru umat Islam khususnya umat Melayu untuk kembali kepada diri mereka dan memartabatkan kesetiaan bangsa yang telah terhakis.

Ambil pengajaran dari pengalaman lalu, setiap kali kesetiaan kita tinggi maka ketika itu kita cemerlang dan setiap kali kesetiaan bangsa ini lemah, maka ketika itu kita menjadi habuan musuh.

Fikir-fikir dan nilai-nilaikan.


Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman

Presiden,
IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)