Friday, August 19, 2011

Kenapa ISMA sibuk dengan isu politik?

Semasa kunjungan Dr Hisham ke Malaysia baru-baru ini, saya sempat mengambil beberapa masa beliau untuk saling bertanya khabar dan mengambil manfaat sebaiknya daripada ilmu dan pengalaman beliau yang luas dalam dakwah.

Perbincangan bermula dengan isu keluarga, kerjaya, dakwah dan tarbiyah sehinggalah kepada isu politik di tanah air.

Menurut beliau, kita mesti tahu siapa diri kita dan apa yang kita mahukan dan tahu bagaimana kita akan mencapai apa yang kita mahukan.

Man nahnu, wa maza nurid, wa kaifa nasil ilaih?

Dr Hisham menegaskan kepentingan tarbiyah dalam pembinaan jemaah, masyarakat dan negara. Bagaimana kita akan mampu terlibat dengan serius dalam perkara-perkara lain sedangkan sistem tarbiyah tidak dapat berjalan dengan baik?

Mungkin beliau dapat menyedari jika tarbiyah berjalan dengan baik sudah pasti akan lahir ramai rijal berkualiti di Malaysia meskipun mereka tidak mendapat tarbiyah di Mesir.

Mungkin juga sebelum ini beliau mendengar rintihan beberapa orang ikhwah bahawa masalah yang dihadapi adalah kekurangan rijal dakwah yang berkualiti.

Jawapan kepada rintihan tersebut ialah menguatkan sistem tarbiyah.

Oleh yang demikian, timbul pula persoalan, jika tarbiyah tidak dapat berjalan dengan baik, mengapa kita sibuk-sibuk dengan perkara-perkara lain?

Sebagai contoh, beliau mempersoalkan mengapa ISMA terlibat dengan serius dalam isu politik?

Beliau tahu ISMA sudah semakin kerap dan tegas dalam memberikan pandangan berkaitan isu politik tanah air.

Apakah manfaat yang ISMA dapat jika menyokong satu pihak dan menolak pihak yang lain? Apa yang ISMA dapat jika ISMA membuat pendirian menolak semua pihak yang ada dan kemukakan idea tersendiri? Apa ISMA dapat dengan penglibatan seperti ini? Pada pilihanraya nanti, mereka yang akan dapat kerusi, ISMA tidak.

Saya duduk termenung memikirkan persoalan tersebut.

Selama ini, ISMA mementingkan tarbiyah dan masih lagi mementingkan tarbiyah. Oleh kerana itulah Dr Hisham dijemput untuk memberi penerangan tentang tarbiyah.

Sejak akhir-akhir ini, suara ISMA semakin didengari dan saya kira ini merupakan satu perkara positif bagi ISMA.

Beberapa artikel ISMA sudah valid dalam Harakahdaily.net dan Malaysiakini.com. Bahkan dalam akhbar Sinar pun sudah banyak kali diterbitkan artikel ISMA tentang isu-isu politik semasa.

Persoalan ini kemudiannya saya panjangkan kepada Presiden ISMA sendiri, Ust Abdullah Zaik. Mendengar persoalan yang dilontarkan, beliau kemudian menjelaskan bahawa:

1. Kenyataan bahawa ISMA terlibat dengan politik yang dimaksudkan oleh Dr Hisham adalah penglibatan secara fizikal manakala ISMA tidak terlibat dengan politik secara fizikal. ISMA hanya memberi pendirian berdasarkan fikrah ISMA terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam dan umatnya.

2. Kenyataan-kenyataan ISMA bertujuan memberi penjelasan kepada ahli dan kepada masyarakat tentang isu yang berlaku. Dengan penjelasan tersebut, ia memberi manfaat kepada ahli dengan memberikan gambaran fikrah syumul yang didokong oleh ISMA. Ahli akan menilai bahawa ISMA bukan sekadar mengajak kepada ibadah dan tarbiyah, bahkan ISMA juga prihatin dengan urusan umat Islam dan masa depannya.

Persoalan-persoalan di kalangan ahli berkaitan isu-isu politik yang membingungkan pada hari ini perlu dijawab oleh pimpinan ISMA. Dengan itu, ahli akan yakin dan berasa lega dengan jawapan yang diberikan.

3. Dengan penglibatan ini juga, ISMA dapat mendorong ahli dan masyarakat kepada persoalan sebenar apa yang berlaku di sebalik berita-berita yang ada. Ramai pada hari ini melihat politik dalam kerangka yang sempit. ISMA mahu mengajak ahli dan masyarakat menilai isu berdasarkan kerangka politik Islam (siasah syar'iyyah) yang lebih luas.

Seharusnya ahli dan masyarakat keluar daripada pemikiran 2 blok politik, biru atau hijau. Kerajaan atau pembangkang. Tiada yang ketiga. Sebenarnya, untuk mengembalikan negara Islam, tidak semestinya melalui politik kepartian.

Sebenarnya jawapan Ust Lah ringkas sahaja, akan tetapi sengaja saya panjangkan untuk mudah difahami.

Kesimpulannya, memang benar ISMA sibuk dengan politik tanah air. Sibuk dengan meng'update' isu terkini setiap hari dan memberikan pandangan jika perlu dan juga menghadiri event-event yang dirasakan sesuai. Itu sahaja.

Adapun aktiviti-aktiviti yang lain seperti remaja, belia, wanita, usahawan, i-medik, majlis ulama, media dan lain-lain, itu semua adalah gerak kerja dalam menyempurnakan maqasid politik Islam yang jauh daripada politik kepartian.

Wednesday, August 03, 2011

25 ditangkap di Sarawak tidak berpuasa

Baru 2 hari bulan Ramadan, sudah 25 orang ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Sarawak.
http://www.malaysiakini.com/news/171874

Keadaan ini telah memberikan gambaran yang sangat jelas kepada kita bahawa masih ramai umat Islam yang tidak memahami dan mangamalkan cara hidup Islam.

Ibadah puasa di bulan Ramadan bukanlah satu perkara yang asing bagi umat Islam di Malaysia. Semua orang tahu, apabila datang bulan Ramadan, kita diwajibkan berpuasa.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Saya tidak boleh membayangkan saat mereka ditangkap oleh pihak berkuasa. Mereka ditangkap di atas kesalahan tidak berpuasa. Pihak berkuasa tidak akan tahu mereka tidak berpuasa melainkan apabila melihat mereka makan secara terang-terangan di tempat terbuka.

Keadaan ini menunjukkan bahawa tugas berdakwah tidak akan pernah berhenti. Banyak tugas yang perlu dilaksanakan oleh para pendakwah.

Dakwah perlu sampai dengan membawa mesej Islam yang sebenar ke segenap pelusuk dunia. Ia tidak terhad kepada mana-mana kawasan atau mana-mana kelompok manusia.

Selain itu, arus barat yang kuat melanda umat Islam kini boleh dijadikan faktor tidak langsung jauhnya umat Islam daripada ajarannya yang mulia.

Oleh itu, setiap individu muslim perlu memainkan peranan supaya sebarang bentuk pelanggaran hukum Allah tidak lagi berlaku supaya negara Malaysia menjadi negara umat Islam yang dirahmati oleh Allah.

Saya amat takut dan risau jika perkara seperti ini berlaku kepada kaum keluarga kita yang terdekat jika kita masih 'sekadar' dalam berdakwah.