Wednesday, March 28, 2012

Pertembungan merebut kuasa

Politik melibatkan perebutan kuasa.
Masing-masing mahu jadi pemerintah.

Pihak A mahu memerintah kerana ideologi yang dianutinya.
Begitu pula halnya dengan pihak B.
Pihak C pun turut mengambil peluang untuk bertanding merebut kuasa.
Maka, perebutan kuasa lebih tertumpu kepada pertembungan ideologi.

Isu-isu semasa tanah air pasti dipolitikkan. Pemenang isu akan berpeluang mendapat lebih undi. Memperoleh kepercayaan kerana dia di pihak yang benar berdasarkan hujah dan dalil yang dibentangkan.

Dalam isu murtad misalnya, semua pihak sepakat bahawa murtad itu haram menurut agama dan ia adalah satu kesalahan menurut perlembagaan negara.

Akan tetapi, pihak A menyalahkan pihak B kerana disebabkan kelemahan dan kelembapan pihak B, maka murtad kian berleluasa. Dari situ, kepercayaan rakyat kepada pihak B akan berkurangan. Pihak B pula menyalahkan pihak A kerana telah memecat seorang ahlinya yang tegas memerangi murtad. Pihak B kata, pihak A sudah cair pegangan agamanya.

Begitulah contoh isu dimainkan untuk kepentingan politik demi merebut kuasa.

Siapa yang benar dan siapa yang bersalah menjadi perbahasan utama. Bagaimana dengan usaha memulihkan? Usaha merawat? Usaha mencegah?

Ini pula peranan yang dimainkan oleh jabatan-jabatan yang ditubuhkan oleh kerajaan, NGO-NGO yang ditubuhkan atas dasar kesedaran orang awam dan usaha-usaha individu yang prihatin terhadap masalah umatnya.

Mereka tetap bergerak, merawat, mencegah, memulihkan walaupun kuasa berubah tangan. Bezanya, jika pihak yang menang serius membanteras murtad, maka pihak-pihak ini akan lebih laju bertindak merawat, mencegah dan memulihkan. Jika pihak yang mendapat kuasa tidak memandang kes murtad sebagai satu kesalahan lagi, kerana ideologi yang mereka pegang mengatakan setiap orang bebas beragama (ertinya bebas untuk murtad), maka sukarlah bagi pihak-pihak berwajib ini untuk merawat, mencegah dan memulihkan.

Itu salah satu contoh kesan jika kita ada kuasa.

Bagi orang Melayu, mereka ada tuntutan-tuntutan yang perlu dipenuhi oleh kerajaan yang bakal memerintah. Begitu juga bangsa-bangsa lain, mereka pasti mahu kerajaan akan datang melaksanakan tuntutan mereka. Dengan ideologi pluralisme, ada pihak berani menjamin tuntutan bangsa-bangsa lain akan dipenuhi kerana menurut ideologinya, semua bangsa dan semua agama adalah sama.

Pihak mana yang boleh memenuhi tuntutan dengan janji-janji manis mereka yang meyakinkan, sudah pasti pihak itu yang akan diundi.

Inilah politik, merebut kuasa. Menabur janji. Memainkan isu.

Kita cuma harapkan, dalam keghairahan pihak A, pihak B mahupun pihak C dalam merebut kuasa, biarlah persaingan ini memberikan kesan terbaik bagi Islam dan umatnya.