Friday, February 13, 2015

Sofiyyah binti Mohd Firdaus


Bismillah wal Hamdulillah

1. Anak ketiga kami (anak perempuan) lahir pada 3.26 pagi, 7 Februari 2015 bersamaan 17 Rabiul Akhir 1436H di Hospital Ampang.


2. Bersempena hari ketujuh kelahirannya pada hari ini (13 Februari), kami menamakannya Sofiyyah binti Mohd Firdaus.

3. Nama ini dipilih sempena 3 wanita hebat dalam sejarah Islam iaitu Sofiyyah binti Abdul Muttalib RA, Sofiyyah binti Huyayy RA dan Sofiyyah binti Umar Al-Khattab RA.

4. Dari segi bahasa, Sofiyyah bermaksud kesucian. Adalah diharapkan anak Sofiyyah ini sentiasa memelihara kesucian diri, maruah keluarga, bangsa dan kedaulatan agama Islam.

5. Sofiyyah binti Abdul Muttalib RA, ibu saudara baginda Nabi SAW yang juga saudara kandung Hamzah bin Abdul Muttalib RA, memiliki jiwa kental dan kekuatan fizikal yang hebat. Diriwayatkan dalam kisah perang Khaibar, ketika kumpulan wanita dan kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah khemah dan tiada tentera lelaki yang menjaga khemah itu, tentera Yahudi cuba mengintai dan menyerang khemah tersebut.

Apabila seorang tentera musuh menghampiri, Sofiyyah RA berjaya menangkap dan membunuh tentera itu lalu memenggal kepalanya dan mencampakkan kepala itu ke kumpulan tentera musuh. Hasilnya tentera Yahudi menghentikan niat untuk menyerang khemah wanita itu kerana menyangka terdapat tentera Islam lelaki yang berkawal di situ sedangkan tidak ada. Demikianlah kehebatan Sofiyyah dalam mempertahankan kem Islam dalam situasi peperangan.

6. Sofiyyah binti Huyayy RA adalah wanita berbangsa Yahudi Bani Nadhir yang dikahwini oleh Rasulullah SAW. Sebelum dinikahi, baginda SAW memberinya peluang sama ada untuk kembali kepada kaumnya atau memeluk Islam. Sofiyyah kemudian memilih untuk bersama Islam. Sofiyyah juga dikenali sebagai wanita yang amat mencintai Rasulullah melebihi dirinya sendiri. Semoga rasa cinta dan sayang kepada agama dan Rasul turut dimiliki oleh anak kami, Sofiyyah.

7. Tidak banyak kisah Sofiyyah binti Umar Al-Khattab RA. Terdapat sebuah hadis yang meriwayatkan beliau bersama Rasulullah di dalam perang Khaibar. Kebersamaannya itu menunjukkan Sofiyyah terlibat dalam peperangan. Ini melambangkan kekuatan dirinya dalam segenap aspek, lebih-lebih lagi selaku anak kepada sahabat agung Umar Al-Khattab RA.

8. Terdapat banyak lagi kisah menarik yang menceritakan kehebatan insan bernama Sofiyyah meskipun hanya seorang wanita.

9. Semoga anak yang lahir ini menjadi Qurratu Ain (penyejuk mata) bagi kami berdua.

10. Kami juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan para murabbi yang mendoakan kebaikan untuk kami sekeluarga.

"Ya Tuhan kami, jadikan kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami sebagai umat yang tunduk patuh kepada Engkau." (Al-Baqarah: 128)

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati dan jadikanlah kami imam bagi orang- orang yang bertaqwa." (Al- Furqan: 74)

“Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redhai, berikan kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Al-Ahqaf: 15)


Amin Ya Rabbal Alamin.
Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin & Dr Syarifah Aisyah Syed Abdul Halim