Wednesday, July 01, 2009

Getaran Jiwa



Bismillah. Tajuknya macam tajuk lagu P. Ramlee. Sekadar tajuk pilihan. Tapi sebenarnya nak ceritakan tentang serangkap bait syair Arab. Tentang cinta, 'Al-Hubb'. Syair yang sangat menarik. Sekali baca terus boleh dihafal. Terjumpa di dalam sebuah buku kecil karangan seorang Akh. Al-Akh minal Ikhwan.

Tajuk buku: Al-Hubbu Fillah Risalatun. Maksudnya, antara risalah yang perlu kita bawa di dunia ini selain Risalah Islam ialah 'berkasih sayang kerana Allah'. Pengarangnya, Al-Ustaz Abbas As-Sisi. Mula menyertai Ikhwan Muslimin tahun 1936 di Madinah Rasyid ketika umurnya belasan tahun. Di dalam kutaib ini, beliau meluahkan perasaan sayangnya kepada Akh-akh seperjuangan. Perasaan 'Hubb' yang tiada tolok gandingnya. Di sini saya tuliskan beberapa perkara untuk perkongsian bersama.

Pertama:

العين توحى فلا تبوحى فأنت قلبي وأنت روحي
الحب عندي يكون أحلى بلا كلام ولا شروح

Saya cuba menterjemah syair ini 'maknawiyan', iaitu berdasarkan makna bukan terjemahan harfan bi harfin, kalimah demi kalimah.
"Mata mengutuskan sesuatu makna, maka janganlah dikau tercari-cari apakah makna tersebut;
Bagiku kasih sayang itu menjadi lebih bermakna, tanpa kata-kata tanpa syarahan panjang lebar"

Cinta adalah lumrah hidup manusia. Letaknya di hati. Dapat dirasai melalui lirikan mata. Akhirnya disedari dengan kelakuan gerak geri. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh P. Ramlee. Getaran jiwa. Menyentak sanubari. Mengheret diri untuk membuktikan sesuatu. Cinta di hati. Tanpa kalam. Tanpa cakap panjang.

Beginilah cinta yang perlu kita sampaikan ke seluruh alam. Kita kata kita sayang Islam, Allah, Nabi, itu dan ini, maka buktikanlah.

Kedua:

سنقاتل أعداءنا بالحب

Ini kata-kata Imam As-Syahid Hasan Al-Banna. "Kita akan memerangi musuh dengan kasih sayang". Percaya? Sudah terbukti di dalam catatan sejarah. Islam tak tersebar melalui mata pedang. Bahkan melalui kasih sayang. Qudwah. Akhlak. Beginilah caranya Islam masuk ke Tanah Melayu. Ada yang kata di Melaka. Ada yang kata Kedah Tua. Tak mengapa, yang penting Islam sampai di negara kita.
Al-Ustaz Abbas As-Sisi mengaitkan kata-kata ini dengan kisah bagaimana ramai pemuda Mesir yang terpengaruh lalu menyertai Ikhwan. Beliau bertanya kepada seorang pemuda. "Mengapa anda suka dan kasih kepada Ikhwan?" Maka pemuda itu menjawab dengan spontan, "kerana Ikhwan suka dan kasih kepadaku".

Ketiga:

Menjadi peranan kita bersama menyampaikan Islam ke seluruh umat manusia. Sampaikan Islam tidak hanya menyampaikan ilmu untuk santapan minda, tetapi juga menyampaikan cinta yang ikhlas dan suci kerana Allah untuk mengisi keperluan hati. Dari hati akan turun ke hati. Nabi bersabda:

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

"Tidak beriman iman seseorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi sahabatnya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri"

Akhir kata, semoga Islam kembali bersinar dengan tersebarnya ikatan 'Ukhuwah Islamiyah' di antara umatnya.

3 comments:

muhammad_alfateh said...

Rupanya mata memainkan peranan... patutlah...

syukran dan JZKK ust Os. Dah tengok result 'control'?

Mukmin bin Mohd Khairi said...

wah, ni ka syair yg tak sempat dipersembahkan masa PMPI..

Anonymous said...

salam, boleh minta copy bukunya dalam pdf kepada alamat email ini? nhiaz90@gmail.com