Thursday, January 21, 2010

Di sini bermula…(KOBANNA Siri 1)



Dalam Surah An-Nur ayat ke-55, Allah telah berjanji kepada orang beriman dan orang yang beramal soleh bahawa Allah akan:
1. Menjadikan mereka Khalifah di muka bumi sepertimana umat-umat terdahulu, mewarisi segala apa yang ada di dunia ini;
2. Menjadikan mereka golongan yang punyai ketuanan dan kekuasaan, menguasai segenap pelusuk dunia dan segala isinya;
3. Mengurniakan nikmat keamanan sebagai ganti kepada ketakutan.

3 janji Allah ini memerlukan 2 syarat utama iaitu iman yang kental dan amal yang soleh.
Bila mana syarat yang ‘simple’ ini dipenuhi, maka mudah sekali bagi Allah meletakkan umat itu di tempat yang sangat mulia. Punyai ketuanan dan kelebihan. Amat menyedihkan apabila kita melihat keadaan umat sekarang, jauh daripada apa yang sepatutnya dan selayaknya. Puncanya mudah sahaja, tidak cukup 2 syarat tadi.

Pentingnya Iman, Amal Soleh dan Tarbiyah

Pembinaan insan menjadi insan beriman dan beramal soleh diistilahkan sebagai proses pentarbiyahan. Tarbiyah bermanhaj dan bersistem. Ada hadaf. Ada wasilah. Ada ciri-ciri yang hebat seperti rabbani, berakar umbi, berperingkat dan menyeluruh. Nah, beginilah peri pentingnya tarbiyah. Melahirkan umat beriman dan beramal soleh. Bila ada iman dan amal soleh, barulah Islam kembali ke tempat asalnya.

Malaysia Tanahairku

Malaysia, bumi Melayu yang kini menghadapi pelbagai krisis. Bermula daripada masalah gejala sosial di kalangan remaja, ketidaktelusan pentadbiran, kepincangan institusi rumah tangga, ketidakstabilan ekonomi, kehakiman sehinggalah ke masalah politik, semuanya menjadi bukti bahawa Islam masih belum bertapak dengan teguh di hati masyarakat apatah lagi tinggi angkat dijulang. Lihatlah, masih jauh lagi perjalanan yang perlu ditempuh.

Dengan berlatar belakangkan masyarakat berbilang bangsa dan berbeza agama, para peneraju kepimpinan negara menghadapi pelbagai kesulitan bagi menjamin kestabilan keamanan dan perpaduan di kalangan rakyat. Dengan kesibukan dan kekalutan ini, di mana pula letaknya usaha bagi memartabatkan agama Islam di bumi bertuah ini? Bagaimanakah formulanya?

Melayu

Bangsa Melayu beragama Islam sejak turun temurun. Agama nenek moyang. Zaman-berzaman. Sepatutnya dapat bersatu tanpa sebarang masalah. Namun, realitinya kini Melayu kita secara umumnya sudah terpecah kepada 2 blok pemikiran hasil penilaian yang kurang baik tentang politik pentadbiran negara. UMNO dan PAS. Perjuangan kebangsaan dan perjuangan keIslaman. Rata-rata masyarakat kita sekarang sudah bosan dengan politik yang kurang matang daripada kedua-dua pihak. Dengan itu, wujud blok Melayu ketiga, yang menolak sebarang penglibatan politik dan sebarang perjuangan kenegaraan. Akhirnya wujud lagi blok keempat, kelima dan seterusnya yang terus semakin jauh daripada hadaf asal penciptaan manusia; beribadah kepada Allah dengan memperjuangkan agama-Nya.

Imam Syahid Hasan Al-Banna

Beliau merupakan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Dalam risalah-risalahnya, beliau menjelaskan kepada kita bahawa segala masalah ada jawapan. Termasuklah apa yang sedang berlaku di negara kita yang tercinta. Ayuh bersama kita selusuri bagaimana semua itu akan berlaku.

Teruskan bersama saya di dalam siri-siri KOBANNA di blog ini.
Di sini kita bermula…