Thursday, May 27, 2010

Peristiwa Subuh

Berikut adalah petikan cerita di dalam buku Memori Dakwah dan Daie.
Imam Al-Banna bercerita:

Ketika di Mahmudiyah, sepanjang cuti musim panas terutamanya pada pagi Subuh Jumaat kami mengumpulkan teman-teman sekampung dan kami berpecah kepada beberapa kumpulan. Kadang-kadang kami bertiga atau lebih, aku bersama-sama Akh Muhammad Afandi Ad-Dumyati dan Akh Abdul Muta'al bergegas mengejutkan orang kampung untuk menunaikan solat subuh.

Ketika itu aku amat gembira dan dapat merasai keseronokan yang amat sangat. Aku berjaya mengejutkan para Muazzin untuk melaungkan azan subuh. Dicelah-celah itu, aku sempat berhenti sejenak menikmati waktu sahur yang membeningkan hati di tebing Sungai Nil. Kemudian lantas aku bersegera menuju ke masjid dan melaungkan azan subuh serentak dengan suara-suara azan dari masjid yang lain. Jarak antara masjid-masjid terlalu dekat.

Terlintas di benak fikiranku, aku menjadi sebab hadirnya sejumlah muslimin di masjid untuk solat subuh berjemaah. Maka berhaklah bagiku pahala yang besar sepertimana sabda Rasulullah:

من دعا إلى هدى كان له من الأجر مثل أجور من تبعه لا ينقص ذلك من أجورهم شيئا

'Barangsiapa mengajak kepada hidayah, maka dia akan peroleh pahala seperti pahala mereka yang melakukannya, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala mereka'

Maka berganda-gandalah kegembiraan di hati ini setelah meneliti ganjaran yang Allah sediakan bagi mereka yang menjadi pintu hidayah kepada orang lain. Ketika di masjid aku dapati bahawa aku adalah di antara ahli jemaah masjid yang paling muda.

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah, semoga Allah mengurniakan taufiq selamanya...

PENGAJARANNYA:
1. kepentingan solat subuh berjemaah di masjid.
2. kepentingan merancang cuti musim panas dengan baik.
3. melaksanakan amal kebaikan mestilah secara berkumpulan.
4. waktu sahur (sebelum subuh) adalah nikmat yang paling berharga.
5. mendidik masyarakat menunaikan solat subuh berjemaah di masjid adalah asas kebangkitan ummat.
6. Allah menyediakan ganjaran pahala yang sangat besar bagi mereka yang mengajak kepada kebaikan.
7. jangan tunggu tua untuk melakukan kebaikan kerana maut itu tiada baunya.
8. kita perlu usaha menyampaikan Islam sekalipun Allah yang mengurniakan hidayah.
9. kepentingan menulis dalam kehidupan daie sebagai pedoman generasi akan datang.
10. susah dah zaman sekarang ni nak jumpa orang yang jaga solat subuh berjemaah, apatah lagi yang usaha kejut orang kampung untuk bangun solat.
11. pemuda zaman ini sibuk dengan world cup, facebook, game, makwe dan sebagainya tetapi Al-Banna dan kawan-kawan sibuk kejutkan orang kampung pergi ke masjid.
12. peranan masjid dalam menyatukan orang kampung dan masyarakat.

sekian sahaja.
jumpa lagi.

'teringat pesan seorang teman ketika di asrama maktab mahmud...katanya, nak dapat kawan baik, tengok kat subuhnya. kalau ok, oklah. kalau tak ok, tak yah kawan dengan dia'

Thursday, May 13, 2010

zikrul maut = ingat mati

salam ukhuwwah.entry kali ini berkenaan zikrul maut atau pun mengingati kematian. mengapa perlu ingat mati?

hati ini dirasakan cukup keras apabila datangnya ujian atau pun musibah, hati ini masih dan kekal cenderung kepada maksiat. leka dan lalai dengan maksiat hiasan syaitan. perkara-perkara keduniaan yang kian bersarang di hati sehinggakan hati ini sudah lupa akan akhirat.

buktinya, lihatlah prestasi amal seharian yang selama ini dijaga bak menatang minyak yang penuh. qiyamullail, subuh, al-quran dan zikir ma'thurat. seolah-olah tidak memberi kesan kepada diri kerana hati ini telah dipenuhi panahan-panahan syaitan dan akhirnya pintu hidayah tertutup. sekalipun amalan harian ini diteruskan, namun dirasakan tiada ertinya. di manakah silapnya?

persoalan hati. hati ini semakin lalai dan leka. lupa Allah. lupa apakah matlamat dia dicipta Allah. apa yang berlaku di sekeliling, tidak memberi kesan apa-apa. umat semakin jauh dari islam, penindasan di palestin, keruntuhan akhlak di kalangan remaja dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang sepatutnya menjadi iktibar dan pengajaran bagi mereka yang menggelar diri sebagai daie. daie hanya sekadar pada nama. tidak bergerak. tidak membuat persiapan. amanah dilakukan sekadarnya. tidak memberi kesan. semuanya kerana hati. kotor bergelumang dengan dunia dan maksiat. makin lemah dan jika tidak dirawat segera ia akan mati. jadilah tubuh badan yang bergerak. tetapi tiada makna. seperti mayat. kata-kata dituturkan hilang dihembus angin. tidak masuk ke dalam hati pendengarnya. hati oh hati.

bagaimana nak menghidupkan hati yang mati?

lihatlah bagaimana qudwah terbaik kita mendidik umat akhir zaman dengan wasiat-wasiatnya yang amat berharga.

kisah satu:

telah meninggal seorang sahabat Nabi dan sahabat-sahabat lain memuji-muji apa yang telah dilakukan sahabat tadi semasa hayatnya. sahabat itu terkenal dengan ibadahnya yang banyak. kemudian nabi bertanya: adakah dia banyak MENGINGATI MATI? sahabat menjawab: tidak. nabi bertanya lagi: adakah dia meninggalkan syahwatnya? sahabat menjawab: tidak. kemudian Nabi bersabda: sesungguhnya sahabat kamu itu tidak mencapai pun darjat seperti yang kamu sebutkan tadi.
hadis riwayat tabrani oleh sahal bin saad as-saidi.

Nabi tidak bertanya banyak mana solat, sedeqah dan puasanya. tetapi Nabi bertanya akan perkara yang lebih penting daripada segala yang penting, iaitu MENGINGATI MATI.

kisah kedua:

telah bertanya seorang sahabat di kalangan ansar kepada Rasulullah: wahai Nabi Allah, siapakah orang yang paling bijak? jawab Nabi: orang yang paling banyak mengingati mati dan paling banyak membuat persediaan untuk mati, merekalah orang yang paling bijak. pergi dengan kemuliaan dunia dan akhirat.
hadis riwayat tabrani.

kisah ketiga:

di kalangan mereka yang bijak ini ialah hamba wanita (jariyah) kepada khalifah umawiyah sulaiman bin abdul malik. suatu hari sulaiman (ketika itu masih muda) melihat wajahnya di cermin dan timbul rasa riyak dan bongkak dalam hatinya, dan hatinya sangat cenderung kepada pangkat khalifah. lalu dilihat oleh wanita tersebut lalu wanita itu menasihatnya dalam rangkap-rangkap syair yang bermaksud:
engkau sebaik-baik harta jika engkau kekal di dunia namun sekali-kali tiada kekal bagi seorang insan, bukanlah aib apa yang ada pada diri kerana hakikat manusia itu akan fana (mati)

dengan ini, kita takkan risau dengan apa yang akan berlaku kerana penghujung hidup kita ialah mati. segala kekurangan tidak menjadi masalah. hasilnya, kita akan tenang jika selalu mengingati mati.

kisah keempat:

satu lagi qudwah yang ditunjukkan oleh rabie' bin khusaim sebagai pedoman kita bersama. beliau sentiasa mengingati mati sehinggakan beliau berkata: kalaulah hatiku ini berpisah dengan mengingati mati, maka hatiku ini akan hancur walau berpisah hanya sesaat.

kisah terakhir:

syaitan sentiasa menunggu masa hati itu leka mengingati mati. lalu abdullah bin mas'ud menasihati kita dengan kata-katanya: engkau berjalan siang dan malam dalam keadaan ajal yang hampir. amalan hanya sedikit. mati itu datang tiba-tiba. sesiapa yang menanam kebaikan, dia akan menuai kebaikan. sesiapa yang menanam kejahatan, dia akan menuai penyesalan. setiap penanam akan menuai apa yang ditanam.

kesimpulan, hati ini perlu ingat mati selalu. ikatan nafsu dan syahwat perlu dileraikan. bila ingat mati, kita akan mudah baca quran. kerana kita tahu, amalan kita amat sedikit. semoga artikel ini dapat menghidupkan hati ini dan hati-hati lain yang semakin lalai.

sekian, terima kasih.

Saturday, May 08, 2010

jom ke mesir!



ahlan2. ikhwah mesir sentiasa menerima kunjungan ikhwah isma eropah.
jangan lupa bawa buah tangan!

tahniah isma eropah kerana terlibat dalam projek kaki palsu rakyat palestin bersama aman palestin berhad.

rujuk laman web isma eropah : http://www.ismaeropah.com/

Tuesday, May 04, 2010

artikel menarik

Seruan Kebaikan buat para Mahasiswa dan Mahasiswi di Perlembahan Nil Top of Form

Bottom of Form

Daripada: Sekreteriat Jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir

Pendahuluan

Alhamdullillah. Segala puja dan puji itu hanya layak ditujukan kepada Allah, s.w.t, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang padanya makrifat akan sesuatu yang berlaku, baik sekitar pengetahuan manusia dan juga sekitar yang tak tercapai pancaindera. Puji-pujian penuh tunduk dihanturkan kepada-Nya, membesarkan Tuhan yang Maha Memahami hamba-hamba-Nya. Diiringi salam dan selawat ke atas Nabi s.a.w, yang begitu tabah dalam melayani karenah hidup di dunia. Seterusnya, berjaya membawa risalah rahmat dan kasih sayang ke seluruh jiwa manusia.

Standard Pemuda

Mahasiswa dan mahasiswi yang berjiwa besar,

Sesungguhnya, beruntunglah kita apabila terus diberikan rezeki untuk mengecapi zaman kepemudaan ini. Sela masa yang begitu signifikan dengan pengalaman-pengalaman dalam mengajar kita mengenal erti kesungguhan, semangat dan desakan emosi perjuangan.

Jika deruan semangat pemuda sudah diletuskan, sudah pasti, manusia seluruhnya akan menyaksikan tenaga dan keseriusan mereka dalam menjayakan sesuatu. Ibnu Abbas R.A, mengkhabarkan kita seputar kisah di Hari Badar, ketika mana Ar-Rasul menawarkan habuan kepada para prajurit yang banyak berjasa.


(Ar-Rasul bersabda : “Siapa yang telah melakukan sekian usaha, dan dia telah bergerak ke posisi tertentu, maka, layaklah baginya sejumlah harta rampasan perang ini”. Maka, melurulah pemuda-pemuda kepada baginda, sambil warga-warga tua kekal tidak berganjak.)

Dek kerana komposisi semangat dan kesungguhan inilah, standard pemuda telah diangkat darjatnya kepada suatu penghormatan yang tinggi. Banyak sekali kisah pemuda yang berani dan bersemangat dapat dilihat, seperti mana, yang dipilih Ibnu Abbas ini untuk dihayati bersama para pemuda generasi harapan.

(Ibnu Abbas R.A berkata : “ Allah tidak mendatangkan kepada kita seorang hamba yang berilmu melainkan ia adalah pemuda. Dan sesungguhnya, terlalu banyak kebaikan dapat dilihat pada pemuda. Kemudian, beliau membaca Kalamullah yang berbunyi : “ Mereka berkata bahawa kami mendengar seorang pemuda sedang memberi peringatan kepada mereka, di mana beliau dipanggil Ibrahim”)


Sebuah aset yang mahal, sudah pasti akan disampingkan dengan pakej yang setimpal dengannya. Jika kesungguhannya yang dikira begitu berharga, maka, sudah pasti nilai cabarannya juga begitu menduga. Jika pemuda dianugerahkan dengan kehebatan sebegitu rupa, maka, bersedialah dengan rentetan rintangan yang bakal melanda. Semua ini menguji dan membuktikan standard pemuda yang kita laungkan. Dengan kekuatan jiwa yang besar, sudah pasti para pemuda mampu bertahammul dengan apa yang menerpa.

Sekitar Isu Mutakhir

Lewat ini, para mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Perlembahan Nil ini disibukkan dengan beberapa isu mendatang. Pelbagai aspek yang diliputinya seolah-olah memaksa para mahasiswa untuk kalut dan tenggelam dalam arus yang mendatang. Kedengaran hiruk-pikuk kerisauan dalam mendepani cabaran-cabaran sebegini.

Menginsafi tanggungjawab sebagai sebuah organisasi muslim, ISMA-Mesir bersetuju untuk tampil dan hadir bagi menawarkan sekilas perspektif untuk ditanggapi bersama. Agar kita boleh terus tega berdiri di tengah-tengah badai yang mengamuk. Sambil tenang bergaya seorang pemuda dengan standard pemudanya.

Perspektif ISMA-Mesir

Mahasiswa dan mahasiswi yang berjiwa besar,

1) Sesungguhnya, setiap yang berlaku itu pastinya telah ditakdirkan Allah. Plot-plot peristiwa yang mengisi jalan ceritanya tidak lain hanyalah susunan Tuhan Yang Maha Mengasihi hamba-Nya. Seorang mukmin yang begitu tulus beriman, pasti akan melihat segala yang berlaku adalah cerminan bagi syakhsiahnya sepanjang menyelusuri kehidupan di dunia.

Jika kebaikan yang diterima, ia dianggap ujian dalam bersyukur. Jika mudarat yang ditimpa, mudah sahaja dia bermuhasabah akan dosa dan kezaliman yang dilakukan. Pemuda dan mukmin sejati akan pantas menunding jari kepada dirinya sendiri atas pengabaian hak-hak penghambaannya, apabila diuji dengan musibah.

Dalam Surah Al-Hadid (ayat 22 dan 23), Allah SWT berfirman :

(Tidak ada suatu musibah yang ditimpakan di dunia ini juga ke atas diri kamu, melainkan, ia telah ditakdirkan sebelum Kami mengizinkan ia terjadi. Sesungguhnya ia amat mudah di sisi Allah)

(Kamu ditimpa bencana supaya kamu tidak terlalu kecewa dengan apa yang telah hilang, dan tidak terlalu gembira terhadap apa yang dikecapi. Sesungguhnya Allah tidak menggemari orang yang tertipu dengan dirinya sendiri dan orang yang sombong.)

Sedikit sebanyak dipelajari dari ayat tersebut bahawa seharusnya segala musibah itu adalah suratan takdir yang semata-mata menguji sejauh mana keteguhan kita dalam mempraktiskan iman di dada. Iman diikrarkan di hati, dituturkan lisan, dan terpancar melalui amalan seharian.

2) Perselisihan dan pergeseran yang berlaku seharusnya dilayani dengan begitu lembut. Konflik dalaman dan luaran yang tercetus haruslah ditampung dengan begitu cermat. Ibarat menatang minyak yang penuh. Seperti itulah, kita begitu berhati-hati dalam mengimbanginya, agar tidak ada yang tertumpah dan mengotori denai-denai persaudaraan.

Dengan berlapang dada dan saling memahami maksud hati nurani pelbagai pihak, sudah pasti ia akan membantu menjernihkan keladak yang terkocak. Sesungguhnya, di antara sifat Ahli-Jannah adalah mereka yang begitu rendah diri dalam berlapang dada. Tidak ada yang merugikan kita, jika kita sanggup mengalah dan meraikan pelbagai pihak.

Ar-Rasul pernah mengiktiraf seorang sahabatnya sebagai Ahli Jannah, sepertimana dalam pangkal riwayat Amru Al-Asr mengenai perihal ini :

Kemudian, Amru Al-Asr tergerak untuk mengetahui rahsia sahabat Nabi tersebut. Lalu, dia menziarahinya serta mengikuti gerak laku hariaannya. Namun, tiada apa yang terlalu istimewa di kaca mata Amru Al-Asr sehingga menyebabkan dia diiktiraf sebagai Ahli Jannah. Lalu, Amru bertanyakan secara jujur kepada sahabat Nabi tersebut. Beliau pun membalas :

(Maka beliau menjawab : Amalanku sebenarnya seperti apa yang kau lihat. Cuma, sebelum tidur aku akan berlapang dada.)

Jelaslah, betapa tinggi dan besarnya impak apabila kita sudi berlapang dada dalam sekalian perkara yang dialami dan dihadapi. Kisah kelebihan sahabat Nabi ini diharap mampu menyuntik dorongan agar para mahasiswa dan mahasiswi yang melazimi standard pemuda, tetap tenang dan berlapang dada ketika mendepani konflik.

3) Islam menganjurkan etika tabayyun dalam setiap sesuatu yang kurang pasti asal-usulnya. Etika sebegini seharusnya membantu dalam mendepani serangan-serangan khabar angin ketika beriteraksi dengan konflik.

Dalam surah an-Nisa’ ayat 94, Allah berfirman:

(Wahai orang yang beriman, apabila engkau berjuang di jalan Allah, maka, hendaklah kamu mencari tabbayyun. Dan janganlah kamu pantas mengatakan kepada mereka yang melaungkan As-Salam kepada kamu, sebagai bukan mukmin.)

Begitu juga dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang berbunyi:

(Wahai orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, hendaklah kamu mencari tabayyun. Sesungguhnya jika tidak melakukan itu, kamu akan memberi musibah kejahilan kepada kaummu sekaligus kamu pasti akan menyesali apa yang telah kamu lakukan)

Tabayyun menurut Al-Imam Asy-Syaukani adalah:

“Yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah dengan engkau mengetahui dengan jelas, tidak gopoh, dan engkau menilai apa yang berlaku dengan basiroh hingga jelas dan terang akan yang hak.”

Etika sebegini amat dituntut bagi mengelakkan anasir-anasir fitnah yang tidak diduga. Bahkan Allah menempelak golongan yang menyampaikan khabar berita dan kata-kata tanpa memeriksa akan kebenarannya sebagaimana firmanNya dalam surah an-Nisa’ ayat 83:

(Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan, mereka terus mewar-warkannya, tanpa menyerahkan perkara tersebut kepada Ar-Rasul S.A.W apatah lagi kepada pihak berwajib, dengan niat supaya orang-orang yang suka mendengar ulasannya akan tahu dari mereka.)

Ar-Rasul S.A.W juga turut mencela orang-orang yang mensensasi-sensasikan berita tanpa dipastikan status kebenaran berita atau kata-kata tersebut.

( Di dalam Syarah Al-Gharib : “ Dia memperkatakan sesuatu yang dia tidak pasti kebenarannya dan dia menyibukkan masa dan dirinya tanpa dia memastikan kebenaran apa yang dia perkatakan. ”)

4) Di musim peperiksaan ini, kesedaran akan peri-pentingnya kejayaan yang cemerlang perlu dipupuk dan saling diperkuatkan. Seharusnya, kesibukan dan isu mendatang tidak menjadi alasan untuk kita menyisihkan kecemerlangan akademik. Perjuangan kita dalam menegakkan kalimah Allah, adalah merupakan perjuangan yang holistik dan dinamik.

Ia holistik meliputi segenap aspek kehidupan termasuklah juga kecemerlangan akademik. Ia bersifat dinamik dan terus maju bergerak walau apa jua yang datang menerpa. Bukti keseriusan dalam memperjuangkan kalimah Allah seharusnya tergambar di setiap posisi. Ketika berbicara soal alam mahasiswa, sudah pasti kecemerlangan akademik bukanlah sesuatu yang dikesampingkan.

Isytiharkanlah perjuangan kita setinggi-tingginya. Buktikanlah ia di segenap perkara. Jadilah pemuda yang ikhlas berjuang di medan amal. Ayuh! Kerahkanlah jiwa kita, keringat kita dan ruh kita ke arah perjuangan. Manfaatkan kelebihan zaman pemuda ini, untuk memperjuangkan kalimah Allah. Dan sesungguhnya perjuangan meninggikan kalimah Allah itu tidaklah terlalu sempit dengan hanya tindakan radikal, malah, ia begitu cantik tariannya.

Semoga Allah memilih kita sebagai ummat yang mampu menyampaikan risalah kesejahteraan ke seluruh alam, walau hanya dengan dilihat sekecil sumbangan kecemerlangan akademik. Ketika kita mampu melakukannya, maka, ayuh lakukannya! Kita adalah pendakwah yang cemerlang.

Keanjalan dalam berpendapat

Perlu sentiasa dipersetujui bahawa, ini hanyalah sekadar perspektif yang ditawarkan ISMA-Mesir yang bertindak sebagai cadangan kepada para mahasiswa dan mahasiswi dalam mendepani isu-isu mutakhir di Perlembahan Nil ini.

Ia sama sekali tidak menolak pandangan dan telahan fikir pihak-pihak lain. ISMA-Mesir juga meraikan pendapat yang dicadangkan oleh pelbagai pihak. ISMA-Mesir turut berkongsi pendirian dengan pihak-pihak lain dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di jiwa manusia.

Pun begitu, tidak menjadi keberatan jika perspektif sebegini ditolak. Ia bergantung kepada sejauh mana kesudian mahasiswa dan mahasiswi untuk menerima. Semoga Allah menerima segala tindak-tanduk kita yang berpaksikan iman dan keikhlasan.

Dasar Keterbukaan

Mahasiswa dan mahasiswi berjiwa besar sekalian,

Ketika berinteraksi dengan segala yang berlaku, ISMA-Mesir masih lagi tetap dengan pendiriannya yang begitu menyokong gerak kerja dan amal soleh yang dianjurkan pihak lain. Sekaligus bertepatan dengan perintah Allah dalam Al-Quran yang mengajak kepada kolaborasi, sekitar medan amal soleh dan tidak pada kemaksiatan.

Kepada yang bersetuju dengan tanggapan kami, dipersilakan untuk terus beramal. Kepada yang tidak bersetuju juga, anda dipelawa terus untuk beramal. Tiada sekatan yang dibenteng bagi melemahkan usaha amal di mana-mana peringkat. Dasar keterbukaan kita seharusnya membebaskan mahasiswa dari belenggu blok-blok pemikiran, yang menjumudkan sifat dinamik serta holistik perjuangan meninggikan kalimah Allah ini.

Penutup

Marilah bersama-sama kita menyoroti keperkasaan pemuda yang mempunyai standard sebegitu agung. Marilah kita menilai kembali sejauh mana selarinya kata-kata, amal dan juga iman kita. Marilah bersama membina kekuatan secara maknawi yang dapat dirasakan gahnya, berbanding hanya mencari kelemahan yang merugikan.

Semoga kita tidak terlalu ghairah bersorak, sehingga kampung terbiar tergadai. Biarkan aur terus ikhlas memegang tebing, walau apa jua yang berlaku. Agar tidak runtuh tanah, lalu mengeruhkan sungai dan melanggar muara.

Inilah pandangan dan seruan kami, dan kami bertanggungjawab atas kata-kata ini. Allah dan Rasul-Nya menjadi saksi ke atas lafaz kami. Perkara paling penting, ialah kita semua akan mengemukakan hujah di hadapan Allah satu hari nanti. Inilah hujah dan pelepasan kami. Wahai Allah, kami telah sampaikan. Maka saksikanlah!

“Ya Allah, Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul di bawah lembayung kecintaan kerana kamu…”

Teks ini telah dikeluarkan oleh Sekreteriat Jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir untuk sebaran pada 1 Mei 2010.

untuk teks penuh sila lawat laman web rasmi isma mesir di www.ismamesir.com.