Tuesday, May 04, 2010

artikel menarik

Seruan Kebaikan buat para Mahasiswa dan Mahasiswi di Perlembahan Nil Top of Form

Bottom of Form

Daripada: Sekreteriat Jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir

Pendahuluan

Alhamdullillah. Segala puja dan puji itu hanya layak ditujukan kepada Allah, s.w.t, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang padanya makrifat akan sesuatu yang berlaku, baik sekitar pengetahuan manusia dan juga sekitar yang tak tercapai pancaindera. Puji-pujian penuh tunduk dihanturkan kepada-Nya, membesarkan Tuhan yang Maha Memahami hamba-hamba-Nya. Diiringi salam dan selawat ke atas Nabi s.a.w, yang begitu tabah dalam melayani karenah hidup di dunia. Seterusnya, berjaya membawa risalah rahmat dan kasih sayang ke seluruh jiwa manusia.

Standard Pemuda

Mahasiswa dan mahasiswi yang berjiwa besar,

Sesungguhnya, beruntunglah kita apabila terus diberikan rezeki untuk mengecapi zaman kepemudaan ini. Sela masa yang begitu signifikan dengan pengalaman-pengalaman dalam mengajar kita mengenal erti kesungguhan, semangat dan desakan emosi perjuangan.

Jika deruan semangat pemuda sudah diletuskan, sudah pasti, manusia seluruhnya akan menyaksikan tenaga dan keseriusan mereka dalam menjayakan sesuatu. Ibnu Abbas R.A, mengkhabarkan kita seputar kisah di Hari Badar, ketika mana Ar-Rasul menawarkan habuan kepada para prajurit yang banyak berjasa.


(Ar-Rasul bersabda : “Siapa yang telah melakukan sekian usaha, dan dia telah bergerak ke posisi tertentu, maka, layaklah baginya sejumlah harta rampasan perang ini”. Maka, melurulah pemuda-pemuda kepada baginda, sambil warga-warga tua kekal tidak berganjak.)

Dek kerana komposisi semangat dan kesungguhan inilah, standard pemuda telah diangkat darjatnya kepada suatu penghormatan yang tinggi. Banyak sekali kisah pemuda yang berani dan bersemangat dapat dilihat, seperti mana, yang dipilih Ibnu Abbas ini untuk dihayati bersama para pemuda generasi harapan.

(Ibnu Abbas R.A berkata : “ Allah tidak mendatangkan kepada kita seorang hamba yang berilmu melainkan ia adalah pemuda. Dan sesungguhnya, terlalu banyak kebaikan dapat dilihat pada pemuda. Kemudian, beliau membaca Kalamullah yang berbunyi : “ Mereka berkata bahawa kami mendengar seorang pemuda sedang memberi peringatan kepada mereka, di mana beliau dipanggil Ibrahim”)


Sebuah aset yang mahal, sudah pasti akan disampingkan dengan pakej yang setimpal dengannya. Jika kesungguhannya yang dikira begitu berharga, maka, sudah pasti nilai cabarannya juga begitu menduga. Jika pemuda dianugerahkan dengan kehebatan sebegitu rupa, maka, bersedialah dengan rentetan rintangan yang bakal melanda. Semua ini menguji dan membuktikan standard pemuda yang kita laungkan. Dengan kekuatan jiwa yang besar, sudah pasti para pemuda mampu bertahammul dengan apa yang menerpa.

Sekitar Isu Mutakhir

Lewat ini, para mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Perlembahan Nil ini disibukkan dengan beberapa isu mendatang. Pelbagai aspek yang diliputinya seolah-olah memaksa para mahasiswa untuk kalut dan tenggelam dalam arus yang mendatang. Kedengaran hiruk-pikuk kerisauan dalam mendepani cabaran-cabaran sebegini.

Menginsafi tanggungjawab sebagai sebuah organisasi muslim, ISMA-Mesir bersetuju untuk tampil dan hadir bagi menawarkan sekilas perspektif untuk ditanggapi bersama. Agar kita boleh terus tega berdiri di tengah-tengah badai yang mengamuk. Sambil tenang bergaya seorang pemuda dengan standard pemudanya.

Perspektif ISMA-Mesir

Mahasiswa dan mahasiswi yang berjiwa besar,

1) Sesungguhnya, setiap yang berlaku itu pastinya telah ditakdirkan Allah. Plot-plot peristiwa yang mengisi jalan ceritanya tidak lain hanyalah susunan Tuhan Yang Maha Mengasihi hamba-Nya. Seorang mukmin yang begitu tulus beriman, pasti akan melihat segala yang berlaku adalah cerminan bagi syakhsiahnya sepanjang menyelusuri kehidupan di dunia.

Jika kebaikan yang diterima, ia dianggap ujian dalam bersyukur. Jika mudarat yang ditimpa, mudah sahaja dia bermuhasabah akan dosa dan kezaliman yang dilakukan. Pemuda dan mukmin sejati akan pantas menunding jari kepada dirinya sendiri atas pengabaian hak-hak penghambaannya, apabila diuji dengan musibah.

Dalam Surah Al-Hadid (ayat 22 dan 23), Allah SWT berfirman :

(Tidak ada suatu musibah yang ditimpakan di dunia ini juga ke atas diri kamu, melainkan, ia telah ditakdirkan sebelum Kami mengizinkan ia terjadi. Sesungguhnya ia amat mudah di sisi Allah)

(Kamu ditimpa bencana supaya kamu tidak terlalu kecewa dengan apa yang telah hilang, dan tidak terlalu gembira terhadap apa yang dikecapi. Sesungguhnya Allah tidak menggemari orang yang tertipu dengan dirinya sendiri dan orang yang sombong.)

Sedikit sebanyak dipelajari dari ayat tersebut bahawa seharusnya segala musibah itu adalah suratan takdir yang semata-mata menguji sejauh mana keteguhan kita dalam mempraktiskan iman di dada. Iman diikrarkan di hati, dituturkan lisan, dan terpancar melalui amalan seharian.

2) Perselisihan dan pergeseran yang berlaku seharusnya dilayani dengan begitu lembut. Konflik dalaman dan luaran yang tercetus haruslah ditampung dengan begitu cermat. Ibarat menatang minyak yang penuh. Seperti itulah, kita begitu berhati-hati dalam mengimbanginya, agar tidak ada yang tertumpah dan mengotori denai-denai persaudaraan.

Dengan berlapang dada dan saling memahami maksud hati nurani pelbagai pihak, sudah pasti ia akan membantu menjernihkan keladak yang terkocak. Sesungguhnya, di antara sifat Ahli-Jannah adalah mereka yang begitu rendah diri dalam berlapang dada. Tidak ada yang merugikan kita, jika kita sanggup mengalah dan meraikan pelbagai pihak.

Ar-Rasul pernah mengiktiraf seorang sahabatnya sebagai Ahli Jannah, sepertimana dalam pangkal riwayat Amru Al-Asr mengenai perihal ini :

Kemudian, Amru Al-Asr tergerak untuk mengetahui rahsia sahabat Nabi tersebut. Lalu, dia menziarahinya serta mengikuti gerak laku hariaannya. Namun, tiada apa yang terlalu istimewa di kaca mata Amru Al-Asr sehingga menyebabkan dia diiktiraf sebagai Ahli Jannah. Lalu, Amru bertanyakan secara jujur kepada sahabat Nabi tersebut. Beliau pun membalas :

(Maka beliau menjawab : Amalanku sebenarnya seperti apa yang kau lihat. Cuma, sebelum tidur aku akan berlapang dada.)

Jelaslah, betapa tinggi dan besarnya impak apabila kita sudi berlapang dada dalam sekalian perkara yang dialami dan dihadapi. Kisah kelebihan sahabat Nabi ini diharap mampu menyuntik dorongan agar para mahasiswa dan mahasiswi yang melazimi standard pemuda, tetap tenang dan berlapang dada ketika mendepani konflik.

3) Islam menganjurkan etika tabayyun dalam setiap sesuatu yang kurang pasti asal-usulnya. Etika sebegini seharusnya membantu dalam mendepani serangan-serangan khabar angin ketika beriteraksi dengan konflik.

Dalam surah an-Nisa’ ayat 94, Allah berfirman:

(Wahai orang yang beriman, apabila engkau berjuang di jalan Allah, maka, hendaklah kamu mencari tabbayyun. Dan janganlah kamu pantas mengatakan kepada mereka yang melaungkan As-Salam kepada kamu, sebagai bukan mukmin.)

Begitu juga dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang berbunyi:

(Wahai orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, hendaklah kamu mencari tabayyun. Sesungguhnya jika tidak melakukan itu, kamu akan memberi musibah kejahilan kepada kaummu sekaligus kamu pasti akan menyesali apa yang telah kamu lakukan)

Tabayyun menurut Al-Imam Asy-Syaukani adalah:

“Yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah dengan engkau mengetahui dengan jelas, tidak gopoh, dan engkau menilai apa yang berlaku dengan basiroh hingga jelas dan terang akan yang hak.”

Etika sebegini amat dituntut bagi mengelakkan anasir-anasir fitnah yang tidak diduga. Bahkan Allah menempelak golongan yang menyampaikan khabar berita dan kata-kata tanpa memeriksa akan kebenarannya sebagaimana firmanNya dalam surah an-Nisa’ ayat 83:

(Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan, mereka terus mewar-warkannya, tanpa menyerahkan perkara tersebut kepada Ar-Rasul S.A.W apatah lagi kepada pihak berwajib, dengan niat supaya orang-orang yang suka mendengar ulasannya akan tahu dari mereka.)

Ar-Rasul S.A.W juga turut mencela orang-orang yang mensensasi-sensasikan berita tanpa dipastikan status kebenaran berita atau kata-kata tersebut.

( Di dalam Syarah Al-Gharib : “ Dia memperkatakan sesuatu yang dia tidak pasti kebenarannya dan dia menyibukkan masa dan dirinya tanpa dia memastikan kebenaran apa yang dia perkatakan. ”)

4) Di musim peperiksaan ini, kesedaran akan peri-pentingnya kejayaan yang cemerlang perlu dipupuk dan saling diperkuatkan. Seharusnya, kesibukan dan isu mendatang tidak menjadi alasan untuk kita menyisihkan kecemerlangan akademik. Perjuangan kita dalam menegakkan kalimah Allah, adalah merupakan perjuangan yang holistik dan dinamik.

Ia holistik meliputi segenap aspek kehidupan termasuklah juga kecemerlangan akademik. Ia bersifat dinamik dan terus maju bergerak walau apa jua yang datang menerpa. Bukti keseriusan dalam memperjuangkan kalimah Allah seharusnya tergambar di setiap posisi. Ketika berbicara soal alam mahasiswa, sudah pasti kecemerlangan akademik bukanlah sesuatu yang dikesampingkan.

Isytiharkanlah perjuangan kita setinggi-tingginya. Buktikanlah ia di segenap perkara. Jadilah pemuda yang ikhlas berjuang di medan amal. Ayuh! Kerahkanlah jiwa kita, keringat kita dan ruh kita ke arah perjuangan. Manfaatkan kelebihan zaman pemuda ini, untuk memperjuangkan kalimah Allah. Dan sesungguhnya perjuangan meninggikan kalimah Allah itu tidaklah terlalu sempit dengan hanya tindakan radikal, malah, ia begitu cantik tariannya.

Semoga Allah memilih kita sebagai ummat yang mampu menyampaikan risalah kesejahteraan ke seluruh alam, walau hanya dengan dilihat sekecil sumbangan kecemerlangan akademik. Ketika kita mampu melakukannya, maka, ayuh lakukannya! Kita adalah pendakwah yang cemerlang.

Keanjalan dalam berpendapat

Perlu sentiasa dipersetujui bahawa, ini hanyalah sekadar perspektif yang ditawarkan ISMA-Mesir yang bertindak sebagai cadangan kepada para mahasiswa dan mahasiswi dalam mendepani isu-isu mutakhir di Perlembahan Nil ini.

Ia sama sekali tidak menolak pandangan dan telahan fikir pihak-pihak lain. ISMA-Mesir juga meraikan pendapat yang dicadangkan oleh pelbagai pihak. ISMA-Mesir turut berkongsi pendirian dengan pihak-pihak lain dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di jiwa manusia.

Pun begitu, tidak menjadi keberatan jika perspektif sebegini ditolak. Ia bergantung kepada sejauh mana kesudian mahasiswa dan mahasiswi untuk menerima. Semoga Allah menerima segala tindak-tanduk kita yang berpaksikan iman dan keikhlasan.

Dasar Keterbukaan

Mahasiswa dan mahasiswi berjiwa besar sekalian,

Ketika berinteraksi dengan segala yang berlaku, ISMA-Mesir masih lagi tetap dengan pendiriannya yang begitu menyokong gerak kerja dan amal soleh yang dianjurkan pihak lain. Sekaligus bertepatan dengan perintah Allah dalam Al-Quran yang mengajak kepada kolaborasi, sekitar medan amal soleh dan tidak pada kemaksiatan.

Kepada yang bersetuju dengan tanggapan kami, dipersilakan untuk terus beramal. Kepada yang tidak bersetuju juga, anda dipelawa terus untuk beramal. Tiada sekatan yang dibenteng bagi melemahkan usaha amal di mana-mana peringkat. Dasar keterbukaan kita seharusnya membebaskan mahasiswa dari belenggu blok-blok pemikiran, yang menjumudkan sifat dinamik serta holistik perjuangan meninggikan kalimah Allah ini.

Penutup

Marilah bersama-sama kita menyoroti keperkasaan pemuda yang mempunyai standard sebegitu agung. Marilah kita menilai kembali sejauh mana selarinya kata-kata, amal dan juga iman kita. Marilah bersama membina kekuatan secara maknawi yang dapat dirasakan gahnya, berbanding hanya mencari kelemahan yang merugikan.

Semoga kita tidak terlalu ghairah bersorak, sehingga kampung terbiar tergadai. Biarkan aur terus ikhlas memegang tebing, walau apa jua yang berlaku. Agar tidak runtuh tanah, lalu mengeruhkan sungai dan melanggar muara.

Inilah pandangan dan seruan kami, dan kami bertanggungjawab atas kata-kata ini. Allah dan Rasul-Nya menjadi saksi ke atas lafaz kami. Perkara paling penting, ialah kita semua akan mengemukakan hujah di hadapan Allah satu hari nanti. Inilah hujah dan pelepasan kami. Wahai Allah, kami telah sampaikan. Maka saksikanlah!

“Ya Allah, Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul di bawah lembayung kecintaan kerana kamu…”

Teks ini telah dikeluarkan oleh Sekreteriat Jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir untuk sebaran pada 1 Mei 2010.

untuk teks penuh sila lawat laman web rasmi isma mesir di www.ismamesir.com.

No comments: