Monday, December 31, 2012

Ahli ISMA perlu manfaatkan kekuatan Media ISMA

Ini adalah sedikit khatirah (lintasan fikiran) yang saya coretkan semasa dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur (LCCT) selepas menyampaikan pengisian dalam kursus kewartawanan (Wartawan Ummah) di Pejabat ISMA Samarahan semalam (kelmarin, Sabtu).

Keperluan ISMA kepada media atau bidang kewartawanan dalam menyampaikan fikrah dan agendanya kepada masyarakat awam adalah umpama perlunya seseorang kepada majlis pertunangan sekiranya dia ingin mengahwini anak dara orang. Tidak berkahwin jika tiada sesi pertunangan. Begitu juga fikrah ISMA tidak sampai (lambat sampai mungkin lebih sesuai) kepada pemikiran masyarakat. Mungkin contoh ini kurang sesuai (sebab ada orang kahwin tanpa bertunang) tetapi begitulah gambarannya.

Sama juga seperti parti UMNO yang memerlukan akhbar Utusan dan saluran TV3 untuk terus menyampaikan propaganda politik mereka.

Meskipun laman media sosial seperti Facebook dan Twitter mampu menarik pengunjung muda yang ramai, namun media 'lama' tetap menjadi medium utama dalam penyebaran agenda mereka.

ISMA mempunyai agenda yang jelas dan tidak ada yang sembunyi-sembunyi. Zaman berahsia telah pun berlalu. Gerakan Ikhwan di Mesir juga telah melalui fasa yang baru, fasa langit terbuka.

Justeru melalui medium laman sesawang ismaweb.net, sesiapa pun yang ingin mengkaji fikrah dan ideologi yang dibawa oleh ISMA akan memperolehinya. Hanya klik ke laman tersebut, pembaca dapat mengenali ISMA dengan lebih rapat melalui berita, laporan aktiviti, tulisan kolumnis dan hebahan aktiviti yang disiarkan. Ruang 'arkib' juga ada disediakan, cuma laman web ini sering ditimpa masalah (bukan kerana hacked) menyebabkan ruang 'arkib' tidak dapat diakses oleh para pembaca.

Menuju fasa perubahan negara Malaysia menjelang PRU13 yang amat dinanti-nantikan, beberapa pimpinan ISMA menggambarkan bahawa cabaran yang bakal dihadapi akan bertambah sukar. Dengan permasalahan umat yang kian meruncing, ditambah dengan pelbagai unsur negatif yang merosakkan dan bebas bergerak secara terbuka, keadaan ini memaksa para pendakwah yang berlogo ISMA untuk bergerak lebih laju daripada sekarang.

Untuk itu, semua agensi termasuk NAZIM, KRIM, PEMBINA, Wanita, I-Medik, Kopress, SEKTAR, Yayasan Ikhlas, MUIS, Aman Palestin dan lain-lain sedang giat menyusun atur jadual aktiviti bagi mencapai sasaran masing-masing.

Umumnya, hasil penelitian saya, kehadiran peserta dalam program-program anjuran agensi di peringkat cawangan adalah lebih kecil berbanding program yang dianjurkan di peringkat pusat. Namun, agenda dan idea yang dibawa di dalam program-program ini adalah sama, iaitu agenda ISMA.

Apa yang ingin saya tekankan ialah, sekiranya program peringkat pusat mendapat perhatian media arus perdana yang dijemput secara rasmi oleh AJK media program untuk tatapan umum rakyat satu Malaysia, bagaimana pula dengan program berskala kecil yang hanya dihadiri oleh kurang daripada 20 orang? Mengapakah tidak ada liputan meluas oleh media arus perdana sedangkan agenda yang dibawa adalah besar meskipun program itu program NAZIM?

Jawapannya ialah media arus perdana seperti Utusan dan TV Al-Hijrah hanya membuat liputan bagi program yang high impact yang dihadiri oleh orang yang hebat. Program setempat di cawangan Port Dickson umpamanya yang hanya dihadiri oleh 50 orang masyarakat setempat dan ia dirasmikan oleh Yang Dipertua ISMA Port Dickson, maka siapa yang akan membuat liputan dan menyampaikan isi kandungan program itu?

Tidak lain tidak bukan ialah Media ISMA. Media ISMA mempunyai laman web ismaweb.net yang pengunjungnya lebih satu ribu dalam sehari. Media ISMA mempunyai TV ISMA yang ada beberapa orang staf fulltimer dan sebuah studio dan memiliki kelengkapan kamera video SONY HD dan komputer Apple MacPro yang menggunakan software suntingan video terkini, Final Cut Pro (FCP), yang mana jumlah penonton setiap videonya mencapai ratusan hit. Media ISMA juga mempunyai akaun youtube yang jumlah subscribernya hampir seribu. Media ISMA turut memiliki page Facebook yang jumlah likenya melebihi sepuluh ribu. Ini belum dikira puluhan laman web cawangan-cawangan ISMA di seluruh dunia.

Melalui kekuatan sedia ada yang dimiliki oleh Media ISMA, seharusnya ia dimanfaatkan oleh ahli ISMA sendiri setiap kali selesai menjalankan program.

Tidak lengkap perancangan teliti oleh pihak penganjur yang bermesyuarat setiap minggu, sebulan sebelum program berlangsung sekiranya tiada perancangan mengenai siapa yang akan menjadi wartawan yang akan membuat liputan dan menyediakan artikel berita untuk dimasukkan ke dalam ismaweb.net sekurang-kurangnya. Penyelarasan dengan pihak Media ISMA perlu dijalankan dengan terperinci.

Saya sedih membaca laporan terbaru portal Malaysiakini yang menyebut bahawa artikel berita perhimpunan kecil oleh golongan gay v-neck shirt di KLCC yang memperjuangkan hak LGBT menjadi antara berita yang panas sepanjang tahun 2012.

Mengapakah seruan perpaduan yang diucapkan oleh pentazkirah semasa riadah mingguan ISMA sesuatu cawangan tidak dijadikan berita (sebagai contoh)? Ia lebih mulia dan berhak dilaporkan berbanding kisah sekumpulan gay yang rasa dirinya ditindas. Laporan berita itu (jika ditulis) akan menegaskan lagi agenda perpaduan dan secara tidak langsung menunjukkan imej riadah ISMA yang lain daripada yang lain kerana ada slot tazkirah.

Tidak susah sebenarnya untuk membuat artikel berita. Latar belakang saya bukanlah daripada pengajian media dan komunikasi. Semasa di Mesir, langsung saya tidak pernah terlibat dengan Biro Media.

Namun, selepas lebih setahun bekerja sebagai Pengurus TV ISMA (tugas asal adalah untuk mengurus dan menyelia 3 orang staf untuk menjalankan TV ISMA, bukan membaca berita atau menjadi wartawan mahupun jurukamera video), saya dapati ia tidaklah sesusah mana.

Hanya pergi dan hadir awal ke tempat kejadian atau tempat program, kemudian mencatat semua info berkaitan, selepas itu info yang dikumpul sedia diproses menjadi sebuah artikel berita untuk bacaan umum.

Saya percaya, dalam mana-mana bidang yang kita ceburi, aspek praktikal amat diperlukan untuk menjadi benar-benar berjaya dan berhasil. Cukup dengan teori yang sedikit yang dikongsi semasa kursus Wartawan Ummah dan sedikit bacaan di google, kita mampu untuk menulis sekiranya kita mahu. Tidak semestinya ada diploma atau ijazah berkaitan baru layak menulis berita.

Persoalan di sini, adakah kita sedia memanfaatkan kekuatan Media ISMA dalam menyampaikan fikrah kita melalui medium sedia ada?

Jika tiada wartawan di cawangan, wujudkanlah. Moga tulisan ini mampu membuka mata semua akan kepentingan media dalam dakwah dan memberitahu semua tidak susah untuk menjadi wartawan.

Friday, December 14, 2012

Kahwin ikhwah akhwat pun jadi isu


Isu kahwin ikhwah akhwat menjadi kontroversi di kalangan yang bukan ikhwah dan bukan akhwat.


Ada juga yang masuk jadi akhwat sebab nak kahwin dengan ikhwah, dan sebaliknya. Ikut dakwah sebab nak kahwin dengan 'orang' itu.


Macam-macam.


Cubalah sangka baik dgn ikhwah akhwat. Bukan tak nak calon yang bukan ikhwah mahupun akhwat, tapi demi dakwah...


Ini lah namanya aku bernikah di jalan dakwah.


Yang bukan ikhwah akhwat pun boleh guna istilah yang sama 'aku bernikah di jalan dakwah' dgn berusaha menjadikan keluarga anda adalah keluarga qudwah dan dakwah dengan melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.


Syurga bukan untuk ikhwah akhwat sahaja...Tapi ikhwah akhwat yakin inilah jalan (jalan dakwah) yang memimpin mereka ke syurga.


Kepada yang masih belum ikhwah dan belum akhwat, anda masih belum terlambat. Pintu dakwah masih terbuka. Sertailah badan-badan dakwah dengan ikhlas. Korbankan masa lapang sebagai sumbangan untuk umat. Bukan hanya untuk bergelar sebagai ikhwah akhwat, tapi untuk menjadi batu bata agama ini.


Isu ini menjadi panas bila saya terbaca komen orang di FB tentang artikel yang ditulis oleh YDP ISMA Sarawak dalam link ini

Wednesday, December 12, 2012

3 tahun berlayar, pahit manis dikongsi bersama

Tarikh 12.12.2009 adalah tarikh akad nikah kami. Maka hari ini genap usia perkahwinan kami 3 tahun. Anak sudah ada dua orang. Nizar Rayyan dan Aaliyah. Bersempena dengan tarikh ini, saya suka untuk menulis sedikit perkara sebagai perkongsian dan peringatan kita bersama.

1. Kasih sayang perlu berpanjangan demi agama Islam. 

Jika tiada kasih dan tiada sayang, keluarga tidak lagi menjadi tempat yang melahirkan mujahid dan mujahidah untuk agama ini. Keutuhan dan kebahagiaan rumah tangga menjamin si suami untuk terus berkhidmat untuk agama, begitu juga isteri. Lihat sahaja suasana masyarakat hari ini yang tandus kasih dan sayang, atau kasih sayang yang berdasarkan dunia semata-mata. Habis madu sepah dibuang.

Untuk mengekalkan kasih sayang suami isteri, cinta Allah dan Rasul menjadi keutamaan. Solat berjemaah, zikir ma'thurat, tilawah Al-Quran menjadi wirid harian dalam pembentukan keluarga rabbani. Mustahil sesebuah keluarga akan bahagia jika Allah melaknat ahli-ahlinya kerana maksiat yang dilakukan.

2. Kesetiaan seorang isteri.

Saya tidak tahu nak mengungkapkan perihal ini bagaimana. Perasaan yang ada dalam hati begitu susah untuk diluahkan dengan kata-kata. Hanya Allah sahaja yang tahu.

3. Tanggungjawab suami terhadap keluarga.

Mungkin orang selalu terbayangkan gaji yang besar untuk menampung keperluan kehidupan yang tinggi. Namun, sebuah keluarga dakwah agenda besar yang difikirkan oleh ketuanya ialah bagaimana nak selamatkan diri dan keluarga daripada azab api neraka. Didikan agama, teguran membina dan membentuk suasana ibadah dalam keluarga adalah satu perkara yang mencabar dan wajib dilakukan. Dalam hadis disebut mafhumnya, "seorang suami akan ditanya tentang hal tanggungannya."

Dalam hal ini, sesi perkongsian dengan orang yang lebih senior amatlah diperlukan. Jangan malu bertanya sekiranya menghadapi masalah, kerana jika kita dapat mengorek rahsia orang-orang lama ini, kita dapat menjimatkan masa dan mampu mengelak daripada mengalami masalah yang sama.

4. Kasih ibu bapa kepada anak-anak.

Susah rupanya menjadi bapa. Akan tetapi, nikmatnya tidak terkata. Apabila anak menangis, gelabah kita menghubungi isteri bertanya bagaimana nak meredakan tangisan tersebut. Apabila anak gembira, gelak ketawa, aktif ke sana ke mari, hati rasa bangga dan berfikir, dia ini akan menjadi hero agama dan akulah orang yang mendidiknya.

Alhamdulillah sekarang saya sudah pandai handle pelbagai situasi yang menimpa anak-anak dengan tenang, hasil pembacaan di internet dan perkongsian bersama isteri. Anak-anak permata ayah bonda. Abi kena kuat untuk didik Rayyan. Abi kena sabar layan karenah Aaliyah. Kalau ummi boleh, takkan abi tak boleh?

5. Bagaimana akan datang?

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Kita disuruh berusaha, merancang dan laksanakan apa yang dirancang dengan bersungguh-sungguh. Hasilnya kita serahkan kepada Allah. Tidak perlu mencampuri urusan Allah, nanti Allah akan minta kita sendiri yang selesaikan. Bersabarlah.

Tiada siapa yang dapat merealisasikan impian melainkan diri kita sendiri. Teruskan bercita-cita tinggi dan buktikan bahawa anda boleh.

Moga Allah jayakan segala cita.