Sunday, November 22, 2015

Isu Surah Yasin Malam Jumaat

SOALAN
Assalamualaikum ustaz, saya ada kemusykilan mengenai fadhilat Surah Yassin. Ada yang mengatakan setengahnya adalah daripada dalil yang lemah malah ada yang palsu. Contohnya, Surah Yassin adalah hati bagi Al-Quran. Ada yang kata sahih, ada yang kata palsu.
Satu lagi mengenai pengamalannya. Masa kini Yasin diamalkan setiap malam Jumaat, ketika kematian dan ketika menghadapi peperiksaan. Adakah nas-nas yang membenarkannya? Hanya inginkan kepastian dan diharapkan dapat penjelasan daripada Ustaz. Wallahuaalam.
Assalamualaikum.

JAWAPAN

PERTAMA
Surah Yasin adalah antara surah Makkiyyah (yang diturunkan di Mekah), mengandungi 83 ayat.
Surah ini membincangkan isu-isu ayat Makkiyyah seperti soal ketuhanan, balasan ke atas orang yang mendustakan agama dan soal hari Kiamat.

KEDUA
Terdapat banyak hadis yang menjelaskan kelebihan (fadilat) surah ini, kebanyakannya hadis palsu yang direkacipta. Ada juga sebahagian hadis yang bertaraf hadis dhaif. Untuk tujuan pengamalan, kita dididik agar tidak terhad berpandukan kepada hadis sohih semata-mata, malah kita dibenarkan merujuk hadis dhaif.
Berikut adalah sebahagian hadis yang sering disampaikan namun ia merupakan hadis dhaif:
1. "Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, hati bagi Al-Quran adalah Surah Yasin, barang siapa yang membacanya seolah-olah membaca Al-Quran sebanyak 10 kali."
2. "Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada waktu malam, dia akan bangun pagi dalam keadaan diampunkan dosa."
3. "Sesiapa yang selalu membaca Surah Yasin pada setiap malam lalu dia meninggal dunia, maka dia dikira mati syahid."
4. "Sesiapa yang memasuki ruang perkuburan lalu membaca Surah Yasin, diringankan (azab) bagi mereka (yang berada di dalam kubur), dan baginya (pembaca) pahala kebaikan sebanyak mana orang (mayat) yang berada di perkuburan itu."
Silakan membuat rujukan dalam kitab 'Al-Maudhuaat' karangan Imam Ibnu Al-Jauzi, kitab 'Al-Fawaid Al-Majmuah' karangan Imam As-Syaukani dan risalah yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Amru Abdul Latif (hafizahullah) bertajuk "Hadis Qalbul Quran Yasin, wa Jumlah mimma wuriya di fadhailiha" (Hadis hati Al-Quran Yasin dalam pertimbangan, dan hadis-hadis kelebihannya).

KETIGA
Tidak ada dalil yang menyebut waktu-waktu khusus untuk membaca Surah Yasin seperti malam Jumaat, ketika kematian mahupun ketika musim menghadapi peperiksaan. Begitu juga tidak ada dalil yang melarang ia dibaca pada waktu-waktu tersebut.
Walaupun demikian, amalan tersebut sudah sinonim dengan masyarakat Melayu di negara ini, ia tidak menjadi masalah besar selagi ia tidak melanggar apa-apa hukum.
Wallahu a'lam bis sowab.
Rujukan:
http://islamqa.info/ar/75894


Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin
Usuluddin (Tafsir) Universiti Al-Azhar