Sunday, November 08, 2009

ISLAM YANG KITA ANUTI



Dalam suasana akhir zaman ini, hanya mereka yang jelas matlamat akan berjaya. Tahu mana hala tuju kehidupan. Setiap insan tidak terlepas daripada tarikan keduniaan. Dunia ini tidak pernah habis jika kita mengejarnya. Amat beruntunglah bagi mereka yang faham bahawa dunia ini hanya tempat persinggahan dan ada alam lain selepas ini yang lebih kekal abadi. Untuk mengejar kejayaan di akhirat, kita perlu menggunakan kesempatan hidup di dunia dengan sebaiknya. Beramallah! Berusahalah mencari keredhaan Allah.

Adalah mustahil untuk mendapat keredhaan Allah, kita berada jauh daripada agama-Nya. Kita boleh mengaku bahawa kitalah yang membawa Islam. Namun adakah kehidupan kita telah cukup mencerminkan imej Islam yang kita bawa?

حي نعمل للإسلام بالإسلام
“Marilah beramal untuk Islam (memperjuangkan Islam) dengan mengamalkan Islam (sebagai cara hidup)”
‘KOMPREHENSIF’NYA ISLAM
Islam yang kita anuti ialah agama yang komprehensif. Syumul dalam erti kata yang lain. Islam ialah agama (ataupun sistem) yang merangkumi segenap aspek kehidupan. Tidak terjuzuk kepada mana-mana bahagian. Kebanyakan muslimin, bila menyebut tentang Islam, tergambar di mindanya Islam hanyalah ibadah-ibadah yang khusus seperti solat dan puasa, dan syiar-syiar Islam seperti jubah, kopiah, tasbih dan serban semata-mata.

Sebenarnya Islam adalah lebih daripada itu!
• Ia adalah masyarakat (yang tunduk kepada kuasa Islam) dan negara (tempat yang dikuasai Islam) ataupun kuasa kerajaan dan ummah.
• Ia juga nilai-nilai akhlak dan kekuatan (keimanan dan persenjataan) ataupun kebaikan (rahmat) dan keadilan.
• Ia juga dasar yang dipegang oleh muslim (thaqafah) dan perundangan (yang memandu manusia) ataupun ilmu pengetahuan dan perlaksanaan (berdasarkan ilmu tadi).
• Ia juga material kebendaan dan kekayaan ataupun usaha (mencari harta) dan kecukupan (tidak berhajat kepada orang lain selain Allah).
• Ia juga jihad kesungguhan dan dakwah (kepada kebenaran) sepertimana ia ketenteraan (kekuatan pertahanan) dan fikrah (idea yang perlu disampaikan).
• Islam juga ialah akidah (pegangan hati) yang padu dan ibadah (perhambaan) yang benar.

Semuanya itu adalah makna Islam yang sebenar.
Selaku pejuang agama ini, kesungguhan dan fokus kita juga mestilah menyeluruh. Tidak terhad kepada mana-mana sudut kehidupan. Sebagaimana kita menjaga tatatertib ketika solat begitu jugalah kita menitikberatkan soal pelajaran dan kerjaya kita. Semuanya kerana kita FAHAM bahwa Islam itu amat luas. Kita menjaga daripada terpesongnya akidah kerana Allah suruh dan begitu jugalah kita berusaha membela saudara-saudara kita ditindas Zionis kerana ia juga tuntutan Allah kepada kita selaku seorang Muslim. Sebagaimana kita amat sensitif jika Allah dihina begitu jugalah kita perlu merasa sedih jika mendapati hubungan di antara dua orang Muslim semakin renggang.

APAKAH PRAKTIKALNYA SEKARANG?
Hasil pemahaman Islam yang syumul ini, saya boleh rumuskan beberapa perkara yang perlu saya lakukan sekarang sebagai persediaan di masa akan datang sebagai perkongsian bersama:

1. Terus memberi perhatian berterusan kepada ‘Sang Pencipta’. Laksanakan segala kewajiban dan meninggalkan segala larangan sebaiknya. Al-Imanu Awalan!
2. Menyiapkan diri dengan asas ilmu agama Islam dan menguasai ilmu tafsir kerana ia adalah bidang pengkhususan saya.
3. Membina syaksiyah diri agar mampu berdepan dengan pelbagai karenah masyarakat ketika berdakwah. Qudwah sebagai modal.
4. Mengikuti isu-isu semasa ummat.
5. Mengajak lebih ramai lagi insan-insan dengan potensi yang pelbagai bersama saya dalam menyampaikan Islam menerusi wasilah kontemporer yang beraneka jenis. Paling kurang dapat membina jaringan yang meluas sebagai manfaat akan datang.
6. Menyusun masa dengan baik agar saki-baki masa di Bumi Anbiya’ ini tidak terbuang begitu sahaja. Al-Wajibat Aksar Minal Awqat!

Semoga kita terus-menerus beramal dan mengurangkan perdebatan yang merugikan sesama kita!

No comments: