Thursday, August 19, 2010

roh itu perlu lahir

Alhamdulillah, kita sudah pun berpuasa lebih seminggu, hampir-hampir memasuki 10 Ramadan kedua. Pelbagai perasaan bercampur-baur apabila mengenangkan hari-hari yang telah berlalu. Manis dan kurang manis. Sedih dan gembira. Lapar dan dahaga. Semuanya di atas ketentuan yang Maha Esa.

Seluruh muslimin rata-rata sibuk dengan suasana Ramadan. Bersahur, berbuka, bertarawih, membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya. Namun, adakah sekadar itu sahaja? Adakah kedatangan Ramadan hanya bertujuan mengubah masa makan kita dan mengubah sedikit cara hidup kita?

Tidak, bahkan tidak.

Ada roh yang perlu lahir. Roh yang menggerakkan umat ini. Roh yang mampu membuatkan muslimin itu bertahan menghadapi segala rintangan. Roh yang mengubah nasib umat ini. Roh yang berjaya membuatkan hukum Allah tertegak di muka bumi ini. Roh yang kita semua nanti-nantikan.

1. Roh Perjuangan
Jiwa orang yang berpuasa adalah jiwa pejuang. Segala godaan dunia seperti makanan, minuman dan pandangan haram ditolak semata-mata kerana Allah. Dirinya berjuang melawan pujukan hawa nafsu demi menjaga kualiti puasanya. Orang yang berjiwa sedemikian adalah pejuang bagi mempertahankan umat Muhammad ini. Jiwanya juga mampu melawan arus sekularisme dan humanisme yang mengasingkan penghayatan hidup Islam yang lengkap. Ya, umat ini sudah perlu memikirkan tentang perjuangan.

2. Roh Iman
Manusia bangkit melawan jahiliyah moden disebabkan imannya yang tinggi kepada Allah dan hari Akhirat. Iman menyedarkannya ke mana ingin dituju. Iman menjadi penimbang atau mizan antara yang baik dan yang buruk. Akhirnya, imanlah yang menjadi nadi penerus dalam kehidupan ini. Kehidupan abadi di sana nanti, imanlah menjadi penyeri.

3. Roh Kesatuan
Amalan bersedekah, mengajak teman berbuka bersama-sama adalah bukti bahawa umat ini boleh bersatu. Atas dasar yang satu, iaitu mencari redha Allah, kita melupakan segala titik perbezaan dan kita sama-sama menuju matlamat yang satu. Berjemaah ketika solat tarawih menjadi bukti keazaman umat ini untuk bersatu.

Sidang pembaca sekalian,
Ramadan ini bukan hanya sekadar amalan-amalan rutin yang kosong. Sebaliknya, ada roh yang perlu lahir. Roh tidak lahir begitu sahaja. Perlu keazaman yang tinggi. Perlu kesedaran yang tidak pernah padam. Perlu usaha berlipat ganda. Ayuh umatku, bangun dan bangkit bersama-sama roh ini membina kembali umat ini.

No comments: