Cara fikir seperti ini hanyalah valid bagi mereka yang beriman bahawa hanya pilihanraya/politik kepartian sebagai satu-satunya jalan menegakkan Islam sehingga saya pernah terbaca di dalam sebuah akhbar sebuah artikel yang tajuknya lebih kurang seperti ini: 'jika tidak sokong Pakatan, hendak sokong siapa lagi?'
Cara fikir yang saya maksudkan ialah jika kita menyokong parti A, maka kita akan dituduh sebagai anti parti B. Jika kita mengkritik parti A, maka automatik kita akan dicop sebagai pro parti B. Begitulah sebaliknya.
Cara fikir seperti ini telah menyebabkan ramai di kalangan kita langsung tidak mahu mengambil berat isu politik dan berpindah memberi tumpuan kepada isu yang lebih mudah dan simple seperti hiburan, sukan dan matlamat peribadi.
Cara fikir seperti ini juga mengundang rasa kebencian yang meluap-luap yang berdasarkan emosi semata-mata yang membawa kerugian besar kepada Islam dan umatnya.
Cara fikir seperti ini adalah sebahagian punca mengapa kita sebagai bangsa Melayu tidak maju ke hadapan.
Sebagai muslim kita diajar untuk berfikir dengan baik berdasarkan ilmu dan hujah. Di samping itu, kita disaran supaya berfikir secara berobjektif.
Adalah tidak adil jika kita terus menuduh satu pihak yang berbeza pendapat daripada kita sebagai musuh kita sedangkan perbezaan pendapat tidak semestinya menjurus kepada kebencian dan perpecahan.
Jika kita berbeza pendapat dalam sesuatu masalah, sebenarnya kita masih bersepakat dalam banyak lagi masalah yang lebih besar.
Oleh itu, tanamkan sifat berlapang dada dan berfikiran terbuka.
(Semasa belajar di Al-Azhar, di dalam kitab-kitab kuliah yang dikarang oleh profesor-profesor Al-Azhar, saya dapati mereka ini amat detail dalam memberi takrifan kepada sesuatu perkara di awal kitab. Pelbagai pendapat diambil dan dianalisis kemudian barulah para ilmuan ini mengambil keputusan apakah takrifan terbaik bagi perkara tersebut. Amat malang sekali apabila saya dapati ramai siswa Al-Azhar yang tidak mempraktikkan disiplin ilmu tersebut di dalam kehidupan mereka dalam membincangkan sesuatu isu panas)