Thursday, September 29, 2011

Hudud: tanggungjawab bersama

Hudud merupakan sebahagian daripada hukum Allah yang terdapat di dalam Al-Quran yang perlu dipraktikkan di muka bumi ini khususnya Malaysia.

Sebagaimana kita selaku pengguna sesebuah komputer, kita perlu mengikuti manual yang telah disediakan oleh pencipta/pengilang komputer kerana si pencipta lebih tahu apa yang terbaik untuk prestasi maksimum komputer ciptaannya, maka seperti itu jugalah kita perlu mengikut manual yang Allah sediakan buat umat manusia seperti yang terkandung di dalam Al-Quran.

Sebagai muslim yang faham Islam, kita sedar dan akur dengan arahan Allah untuk melaksanakan hukum hudud dalam pemerintahan negara. Kewajiban yang Allah tetapkan tiada bezanya dengan kewajiban dalam menunaikan solat dan berpuasa.

Amat malang sekali bagi negara kita kerana rata-rata pemimpin yang dilantik melalui pilihanraya tidak tegas dalam isu ini. Mereka sanggup mengatakan hukum ini tidak boleh dilaksanakan dan bukan dasar perjuangannya.

Saya mengajak semua yang membaca artikel ini supaya faham bahawa hukum hudud merupakan hukum Allah dan ia wajib dilaksanakan. Jelas tanpa ragu-ragu lagi.

Perkara yang menjadi kekeliruan pada masa ini ialah isu pelaksanaannya. Adakah melalui pintu atas atau sebaliknya?

Pintu atas yang dimaksudkan adalah melalui kuasa. Kuasa politik. PAS mengatakan bahawa mereka tidak mendapat lampu merah daripada kerajaan pusat. Merujuk entry yang ditulis oleh YB Zul Noordin dalam blognya yang bertajuk 'Islam Boleh', beliau menyatakan bahawa PAS perlu duduk semeja dengan kerajaan pusat untuk meluluskan pindaan terhadap Jadual 9, Senarai 2 (1) Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan pelaksanaan hukum hudud.

Kesimpulannya Islam boleh jika bersatu dan bersepakat dalam isu yang disepakati walaupun berbeza logo.

Akan tetapi, sekalipun PAS mendapat persetujuan kerajaan pusat dalam hal ini, PAS tidak akan berjaya melaksanakannya kerana suara yang menentang amat kuat.

Suara penentang ini terdiri di kalangan DAP dan MCA dan orang-orang Cina. Mereka kuat dalam menyatakan bantahan dan sebaliknya UMNO dan PAS amat lemah dalam menyatakan pendirian menegakkan hukum hudud. UMNO dan PAS kedua-duanya tersepit demi menjaga kedudukan mereka di dalam pakatan masing-masing.

Inilah kenyataannya yang harus diterima. Umat Islam lemah kerana terpecah-pecah manakala kumpulan bukan Islam sebulat suara dalam isu ini.

Saya berpendapat bahawa pelaksanaan hukum Islam di sesebuah negeri atau negara memerlukan syaukah atau mandat daripada majoriti rakyatnya. Majoriti rakyat perlu faham dan menyokong seratus peratus tindakan kerajaan tanpa sebarang bantahan. Majoriti rakyat iaitu kaum Melayu Islam perlu disatukan di bawah satu agenda. Apatah lagi jika pimpinan Melayu Islam ini disatukan dan dengan ini suara Islam menjadi kuat dan digeruni.

Inilah yang saya maksudkan sebagai pintu bawah. Kuasa politik semata-mata belum tentu menjadi penentu sesuatu dasar atau undang-undang untuk dilaksanakan. Usaha berterusan dalam mendidik masyarakat ke arah agenda dan matlamat yang sama merupakan tugas kita semua kerana beban taklif itu jatuh di atas bahu setiap umat Islam.

Pendidikan masyarakat yang bermula di peringkat individu dan keluarga adalah cara terbaik dalam penegakan hukum Allah. Inilah wasilah yang Nabi Muhammad gunakan dalam rangka mewujudkan negara Islam Madinah.

Oleh itu, menilai isu dari sudut pandang yang lebih luas amat-amat dituntut supaya kita tidak terikut-ikut dengan arus yang dimulakan oleh orang lain.



No comments: