Sunday, September 18, 2016

Gencarkan gerakan pertengahan (Islam) melawan arus ekstrem anti-Islam

SAYA membaca satu kertas kerja yang ditulis oleh seorang pelajar atau kakitangan akademik sebuah universiti tempatan yang membincangkan kesan IS terhadap keselamatan negara.

Kertas ini dibentangkan di Berlin, Jerman pada tahun lepas.

Saya bersetuju dengan penulis bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan daripada pengaruh militan IS.

Buktinya, ramai yang memasang niat dan telah pun bertindak untuk ke Syria menyertai gerakan jihad IS yang telah difatwakan sebagai jihad yang terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Golongan ini ada yang telah ditangkap dan dipercayai masih ramai yang masih bergerak bebas dalam negara.

Apa yang ingin saya angkat di sini adalah berkenaan kesimpulan yang dikemukakan oleh penulis kertas kerja tersebut. Antaranya ialah:

1. Perlu dilakukan satu penilaian semula terhadap agenda, polisi dan strategi Islamisasi kerajaan, yang mana ia boleh menjadi faktor kemunculan kumpulan kanan bersentimen etno-nasionalis dan pelampau agama yang boleh menjadi radikal.

2. Mempolitikkan agama sehingga ia menjadi ‘public domain‘, akan menambahkan masalah hubungan antara orang Islam dan bukan Islam.

3. Penyebaran doktrin inklusif dan pertengahan perlu dilakukan bagi mengangkat kedaulatan Islam di Malaysia di samping menjaga keharmonian antara kaum.

Ini pula respon balas saya:

1. Agenda, polisi dan strategi islamisasi kerajaan memang wajar dinilai semula. Terlalu banyak kekurangan daripada banyak aspek.

Penilaian semula ini bukan untuk mengurangkan atau melonggarkan, bahkan untuk menguatkan lagi kedudukan dan kedaulatan Islam, menambahkan kefahaman masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Sudah pasti, jika Islam yang sebenar yang diperkenalkan dan diangkat, ideologi militan dan pelampau agama dapat diatasi.

2. Usaha memartabatkan Islam oleh PAS tidak termasuk dalam usaha mempolitikkan agama, kerana PAS bertanding dalam pilihan raya adalah semata-mata mengangkat martabat Islam.

Cadangan pindaan Akta 355 adalah satu contoh.

Ia tidak boleh dianggap sebagai punca perbalahan antara umat Islam yang menyokong cadangan pindaan ini dengan golongan anti-Islam yang jumlah mereka hanya sedikit dan tidak mewakili 100 peratus golongan bukan Islam.

Punca perbalahan sebenar adalah penentangan golongan anti-Islam. Mereka sudah tinggal di Malaysia sekian lama, mengapa masih menolak Islam?

UMNO juga perlu berusaha bersungguh-sungguh mewujudkan pelbagai inisiatif bagi memartabatkan Islam kerana itu adalah tugas mereka sebagai parti yang memerintah selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan yang menyatakan Islam adalah agama negara.

3. Penyebaran doktrin inklusif dan pertengahan yang dimaksudkan adalah Islam itu sendiri. Islam adalah agama pertengahan.

Islam menentang fahaman liberalisme, cauvinisme, hak asasi Barat, Syiah dan ancaman-ancaman lain adalah disebabkan Islam agama pertengahan.

Bukanlah dimaksudkan pertengahan itu apabila semua kehendak nafsu seperti LGBT dibiarkan menular di negara ini.

4. Hakikatnya, tidak dinafikan golongan ekstremis muncul adalah disebabkan rasa marah terhadap maruah agama yang dipijak dan dihina oleh golongan anti-Islam seperti yang dilakukan oleh pelukis karikatur Charlie Hebdo di Perancis.

Mereka mahu membela agama tetapi cara mereka tidak betul. Jika mereka diberi kaunseling dan penerangan mengenai cara yang betul, nescaya mereka akan berubah.

Apa yang lebih penting ialah kita harus menentang golongan anti-Islam daripada terus bersuara memburuk-burukkan hukum Islam, institusi Islam, cara hidup Islam dan segalanya yang berkaitan dengan agenda Islam di negara ini.

Amaran sepatutnya diberikan oleh pemimpin Islam dalam UMNO kepada mereka yang mencabar cadangan pindaan Akta 355 dengan alasan tidak mahu hudud sedangkan hudud itu hukum Allah yang terdiri daripada rakan pakatan mereka sendiri iaitu MCA dan Gerakan. Begitu juga di kalangan pembangkang, iaitu parti rasis dan cauvinis DAP.

Jika mereka tidak mahu Akta 355, mengapa dikaitkan dengan hudud? Bukankah itu menghina agama Allah? Bukankah itu bukti mereka anti-Islam dan ini boleh membangkitkan sentimen golongan ekstremis agama yang tidak reda Islam dihina?

Artikel ini telah disiarkan di Ismaweb.net: http://www.ismaweb.net/2016/09/gencarkan-gerakan-pertengahan-islam-melawan-arus-ekstrem-anti-islam/

Thursday, July 28, 2016

Bisnes Bantu Orang

Orang kata, cara fikir untuk jadi usahawan adalah jangan fikirkan sangat keuntungan. Fikirkan apa yang kita boleh bantu orang, kemudian duit akan datang selepas itu.

Orang kata, apabila nak memulakan sesuatu bisnes, modal duit bukan isu besar. Modal terbesar adalah diri sendiri yang berkualiti, berdisiplin, bersemangat, beriman, memiliki ilmu perniagaan dan lain-lain. Ramai orang berniaga dengan modal kecil, akhirnya membesar menjadi empayar perniagaan.

Orang kata, nak berniaga kena tebal muka, jangan malu-malu. Nanti rezeki tak sampai. Buat apa nak malu-malu, paling penting duit masuk cara halal hasil usaha kita berniaga.

Nabi pula bersabda dengan mafhumnya, 9/10 rezeki datang daripada perniagaan.

Tak tahu nak tulis apa dah. Cuma nak maklumkan bahawa saya sudah memulakan perniagaan. Saya berniaga dengan apa yang ada di tangan saya iaitu kereta.

Ya, saya membuat perniagaan kereta sewa. Masih di peringkat permulaan.

Bagaimanakah dengan hanya sebuah kereta, saya akan memiliki syarikat kereta sewa yang menguruskan banyak kereta dan berkhidmat untuk lebih ramai pelanggan?

Ada caranya.

Apabila saya membuat bacaan di internet, banyak tips yang saya perolehi. Saya hanya perlu mempraktikkannya satu persatu.

Usaha dan masa akan membuktikan.

Letak matlamat, susun perancangan, laksanakan apa yang telah dirancang.

Selepas satu tempoh, buat pernilaian.

Jika ada yang tak kena, lakukan perancangan yang berbeza. Lakukan perubahan.

Ok. Satu persatu.

Ini blog yang saya buat pagi tadi sebagai memudahkan saya mencari pelanggan. www.sewakeretampang.blogspot.my

Selamat maju jaya kepada semua yang membaca artikel ini.



Friday, April 22, 2016

Penentang Islam adalah ekstremis di Malaysia

Siapakah ekstremis? Siapakah pelampau agama? Rasis dari sudut perkauman?

Adakah umat Islam ekstremis? Adakah Dr Zakir Naik ekstremis? Adakah kumpulan Islam itu ekstremis?

Islam adalah agama bagi persekutuan Tanah Melayu. Islam adalah agama negara. Mustahil jika dikatakan Islamis adalah ekstremis.

Bilakah Islamis boleh dilabel ekstremis? Apabila mereka melampaui batas, norma kehidupan, perundangan dan hukum agama. Watilka hududullah (hurai ayat ini)

Islam sendiri meletakkan batasan untuk mengelakkan ekstremisme. Gelaran thaghut adalah bagi orang zalim yang melampaui batasan. Tidak menghormati hukum Allah.

Jadi di Malaysia, kita ada undang-undang, maka sesiapa yang melanggarinya, maka dialah orang yang ekstrem. Tidak kira apa juga agama. Siapakah umat Islam yang ekstrem hari ini? Tiada. IS? Daesh? Itu memang kita semua tentang, polis pun tangkap mereka yang nak pergi berjihad di Syria. Fatwa pun sudah ada. Kita jelas isu ini.

Kita persoalkan. Mengapa P Ramasamy melabelkan Dr Zakir Naik sebagai syaitan? Mengapa? Kerana Dr Zakir Naik membawa Islam sebenar. Kalau mengikut Ramasamy, orang yang membawa Islam yang sebenar, maka dia adalah syaitan.

Dalam satu tulisan pada 2001, ketika Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Malaysia sebagai Negara Islam dalam persidangan parti Cina, parti Gerakan, Ramasamy menulis satu kenyataan yang mengatakan yang kefahamannya, siapa yang hasut kerajaan isytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam adalah bapa syaitan!

Kita tengok hari ini, siapa yang syaitan? Orang umumkan benda baik, Malaysia sebagai Negara Islam, dia tentang. Jadi orang yang menentang Islam dan Negara Islam adalah orang yang ekstrem.

Dia melanggar Perkara 3 Perlembagaan yang menyatakan Islam adalah agama persekutuan. Ramasamy lah yang ekstrem. Parti rasis dan cauvinis DAP lah yang ekstrem. Bukan Dr Zakir Naik, bukan kumpulan Islam yang ekstrem.