Hadaf bermaksud matlamat. Tujuan. Jamaknya Ahdaf. Lebih kurang dengan Ghayah. (Gha+Alif+Ya+Ta Marbuthah) Ghayah pun matlamat dan tujuan. Tapi ada beza. Ghayah diibaratkan seperti stesen keretapi terakhir. Hadaf pula seperti stesen-stesen yang kita lalui sebelum sampai ke stesen terakhir.
Wasilah ialah cara untuk mencapai matlamat. Jamaknya Wasail. Banyak wasilah yang kita ada untuk mencapai matlamat.
Perbincangan tentang hadaf dan wasilah amat luas. Setiap perkara ada hadaf. Setiap hadaf perlukan wasilah terbaik. Kita kecilkan skop perbincangan. Selaku pelajar, saya ambil ‘isu belajar’ sebagai contoh.
Apakah status ‘belajar’? Hadaf atau wasilah? Kita pusing dulu ikut jalan jauh untuk mengupas persoalan ini.
Kita lahir ke dunia sebagai hamba Allah. (rujuk 51:56) Kemudian dilantik sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Memastikan bumi ini diatur dan diurus dengan syariat Allah. (rujuk 2:30) Nak tak nak, agama Islam perlu ditegakkan. (rujuk 3:19) Untuk itu, tugas berdakwah menjadi kewajiban setiap Muslim. Berdakwah? Ya, dakwah perlukan ilmu. ‘Ala Basiirah. (rujuk 12:108) Nak dapat ilmu perlu belajar. Ringkasnya ialah ‘belajar merupakan wasilah mendapatkan ilmu’. Ilmu pula ialah hadaf di antara ahdaf untuk mencapai ghayah ‘mendapat redha Allah’.
Saya kongsikan beberapa poin yang perlu diberi perhatian:
1. “Belajar untuk mendapat kerja. Lagi tinggi belajar, lagi besar gaji.” Kenyataan ini betul, tapi jangan lupa hadaf kita hidup ini semata-mata untuk menyampaikan dakwah. Lebih-lebih lagi dakwah sekarang perlukan banyak modal. Duit banyak bukan ghayah, hanya wasilah.
2. “Kita fokus belajar. Cari ilmu banyak-banyak. Baru boleh berdakwah. Baru orang dengar dakwah kita.” Ini juga betul. Tapi untuk dapatkan ilmu, banyak lagi wasilah lain yang ada. Ilmu berbentuk teori, amali dan yang lebih berharga ialah pengalaman. Kita cuba pandang ilmu itu dalam sudut yang lebih luas.
3. “Ilmu ada 2 jenis: ilmu dunia, ilmu akhirat. Kami ni budak medik. Belajar ilmu dunia. Mereka budak syariah, usul. Belajar ilmu akhirat.” Ayat ini susah sikit. Sebenarnya setiap ilmu adalah ilmu Allah. Setiap ilmu yang menyampaikan kita kepada kenal Allah ialah ilmu yang bermanfaat. Penguasaan ilmu medik ialah satu hadaf untuk mencapai ghayah. Begitu juga ilmu-ilmu lain. (rujuk 35:27-28)
4. “Orang berilmu pun buat silap”. Dakwaan ini memang ada benarnya. Bila kita terlupa hadaf mengapa kita perlu ada ilmu, kita akan kalah kepada ujian. Ujian jawatan, harta benda. Sebenarnya harta dan jawatan yang kita ada hanyalah wasilah untuk sampai kepada ghayah. Bila kita jadikannya sebagai ghayah, maka kita sudah tersilap. Macam menang kerusi pilihanraya, ia hanyalah wasilah untuk sampai kepada ghayah. Bukan ghayah.
5. “Ramai yang tenggelam mencari wasilah, sehingga akhirnya melupakan hadaf dan ghayah”. Inilah kenyataan.
Para pembaca yang dikasihi,
Antara hadaf and wasilah. Kita kiaskan kepada perkara-perkara lain yang berlaku di dalam hidup kita. Isu perjuangan umat Islam di Palestin. Penangkapan pimpinan Ikhwan di Mesir. Penularan wabak H1N1 seluruh dunia. Kekalahan pasukan bola Mesir kepada pasukan Amerika. Isu negara perpaduan. Selesainya peperiksaan tahun 4. Cuti musim panas. Ziarah. Kelas tafaqquh. PMPI’09. Dan banyak lagi perkara yang berlegar di benak fikiran kita. Semuanya mengingatkan kita ‘apa hadaf hidup kita’, ‘apakah wasilah pilihan kita untuk mencapai hadaf hidup ini’ dan ‘sejauh mana kita berusaha mencapai hadaf tersebut’.
Akhir kalam, sama-sama kita ambil masa untuk mencari apa ghayah dan hadaf hidup kita. Ubah cara fikir. Agar tidak hanyut dengan suasana. Agar tidak menjadi pak turut. Muslim warisan nenek moyang. Tarbiyah ikut-ikut. Biar kita punya prinsip. Punya fikrah. Islamiyyah. Rabbaniyyah. Muhasabah setiap amalan yang kita lakukan. Adakah membawa kita kepada ghayah atau sebaliknya. Yang pasti, hidup perlu diteruskan. Setiap saat dinilai Allah.
Sekian, terima kasih.
Os.
6.50 pm.
Bawba Tania.
23 Jun ’09.
2 comments:
salam..perkongsian yg ringkas dn padat.maburk,ana mahu kongsikan pndgn enta jugak.insyaAllah
Syukran akhi, peringatan yang baik, jelas dan terang.
Allahu ghayatuna.
Post a Comment