Wednesday, June 29, 2011

melayu sepakat islam berdaulat (msib)

ini adalah slogan yang dibawa oleh isma sekarang berdasarkan apa yang berlaku di malaysia.
inilah penyelesaian kepada kemelut politik yang melanda dan akan menatijahkan keadaan yang lebih baik dalam kerangka pemikiran sebagai sebuah ngo islam atau harakah islamiyah.

ramai yang memberikan respon negatif tetapi isma tetap komited dengan idea ini berdasarkan rujukan sejarah dan maqasid syarak yang panjang lebar huraiannya.

lambat laun, masyarakat melayu akan sedar akan peri pentingnya makna yang dibawa melalui slogan msib ini.

sedikit ulasan bagi memberi kefahaman yang betul tentang msib:

1. seruan ini bukanlah seruan kepada bangsa semata-mata. kita bukan suruh semua orang masuk melayu. tetapi kita seru agar orang melayu kembali menguatkan islam semula. bagaimana islam akan kuat jika bangsa pendokongnya lemah dan berpecah-pecah?

2. kenapa seruan ini menjurus kepada seruan kepada melayu, sedangkan islam adalah lebih utama? jawapannya, umat islam tidak pernah berpecah-belah, yang berpecah adalah orang melayu. isma mahu orang islam bersatu demi masa depan bangsa dan automatik islam akan terdaulat sama.

3. bagaimana pas dan umno boleh bersatu? sedangkan pas pernah masuk barisan nasional dan kemudiannya ditolak sendiri oleh bn?
jawapan saya, idea ini memang menuntut kesatuan dan perpaduan antara pas dan umno, bahkan kepada semua orang melayu. kesatuan yang dimaksudkan bukanlah bersatu di bawah satu logo, tetapi cukup sekadar bersatu di bawah satu garis panduan yang akan memastikan islam terbela.

idea slogan msib ini memang cepat tersebar di kalangan masyarakat melayu. sehinggakan nama isma sudah melonjak naik kerana isu ini. akhirnya isma terkenal sebagai ngo yang pro melayu.

sebenarnya, banyak lagi isu yang diperjuangkan isma. msib hanyalah bukti bahawa dakwah isma memang berdasarkan isu semasa atau bersifat waqieyah.

satu perkara yang lebih penting adalah pembinaan jatidiri.
tahu ke mana yang ingin dituju.
orang melayu yang tiada jati diri mudah hanyut dengan agenda orang lain.
mungkin sebab ini isma berkecuali dalam isu bersih sedangkan ramai orang melayu sokong 100% bersih diadakan.

akhir sekali saya ingin menyeru diri saya dan diri anda semua agar berusaha meningkatkan kualiti diri untuk digunakan sebagai batu-batu asas dalam pembangunan islam di dunia ini sebagai bekal menuju akhirat.

abu rayyan.
pejabat isma pusat.

Monday, June 27, 2011

the power is in my hand

itulah lafaz yang selalu disebut oleh Pak Men (Arwah Haji Jamel), orang kuat pengakap di Kedah. ketika beliau bercerita tentang ujian-ujian pentarafan yang perlu dihadapi oleh para pengakap, beliau berkata jangan risau. buat sahaja seperti yang kita belajar. kalau digagalkan, insyaAllah, akan diluluskan. the power is in my hand! begitulah, betapa berkuasanya beliau bila berjawatan besar dalam pengakap. meluluskan mereka yang hampir gagal. kami gelak sahaja. sejak hari itu, kata-kata ini amat besar maknanya dalam hidup saya.

ketika mana golongan al-jabariyah berpendapat kita ini hanya manusia yang tidak punya apa. semuanya ketentuan Allah, ditetapkan Allah. maka saya ingin berkata tidak! the power is in our hand! kita boleh buat apa yang kita mahu. benar, Allah yang menentukan. tetapi di tangan kita masih ada pilihan. jika tidak, mengapa kita diazab apabila kita buat maksiat?

ketika mana golongan al-qadariyah pula berpendapat, Allah tidak punyai kuasa terhadap apa yang kita hendaki. semuanya manusia yang tentukan. qada' dan qadar Allah tidak berupaya mengubah keadaan. pendek kata, mereka berkata the power is totally in human's hand. then i say, no! not like that. even we plan and do something, also we have to believe the bigger power is in Allah's hand. kita tidak boleh menolak kuasa Allah. (Wallahu kholaqakum wama taf'alun)

kesimpulannya, kita sendiri yang menentukan keputusan dalam kehidupan kita. daripada sekecil-kecil benda sehinggalah sebesar-besar benda. usaha kita yang akan ditanya Allah.

keputusan yang baik datangnya daripada ilmu, pengalaman dan tawakkal kepada Allah.

Friday, June 24, 2011

Adab

Adab bukti tamadun dan peradaban. Tanpa adab, dunia tidak sempurna.
Contoh mudah, makan.
Semua orang makan. Tapi bila kita nampak orang makan gelojoh, kita kata dia tidak beradab. Pada masa yang sama, dia makan kenyang sama macam orang lain. Masalahnya cuma dia tidak beradab.
Kita tak nafikan hak dia untuk makan, tapi kelakuannya yang tidak beradab buat kita tidak selesa.
Kalau dia makan dengan penuh adab, kita pun tenang hati.
Kesimpulannya, islam itu indah. Sekecil-kecil benda diambil kira. Beginilah bagaimana islam membina tamadun peradaban manusia.

Tuesday, June 21, 2011

cabaran yang lebih besar

semasa di bangku sekolah, saya selalu berfikir bagaimana ingin menjadi terbaik di kalangan kawan-kawan di sekolah.

satu ketika apabila sibuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan spm, saya mendengar sebuah ceramah motivasi yang mahu saya dan kawan-kawan menjadi lebih cemerlang daripada pelajar-pelajar lain di seluruh malaysia termasuk yang berbangsa cina.

kemudian, saya berkata kepada diri saya: oh jika begitu, saya sebenarnya bersaing dengan pelajar-pelajar lain yang lebih advance. biasalah, orang cina selalu dikaitkan dengan pandai sebab mereka rajin berusaha.

sehinggakan dalam bengkel spm, sebuah karangan bahasa melayu tulisan seorang pelajar cina mendapat pujian penceramah tersebut. ia dibacakan kepada kami sebagai bukti bahawa ada orang cina yang cemerlang dalam bahasa melayu berbanding orang melayu sendiri.

habis cerita spm.

tiba cerita stam pula. semasa stam, saya bercita-cita untuk menjadi pelajar terbaik di malaysia. terasa saya bukan sahaja bersaing dengan pelajar putera dan puteri sekolah, bahkan satu malaysia. tetapi saya terus membayangkan bahawa usaha saya mesti lebih seolah-olah saya sedang bersaing dengan pelajar cina yang juga mengambil stam.

kisah yang sama berlaku ketika di al-azhar.
setiap kali peperiksaan, kerap kali terdetik dalam hati saya bahawa saya sebenarnya sedang bersaing dengan semua orang. saya tidak boleh letakkan harapan untuk menjadi yang terbaik di kalangan rakan-rakan sekuliah sahaja, bahkan saya membayangkan saya sedang berlumba-lumba dengan pelajar lain di universiti oxford. begitulah gambarannya.

dan kini, apabila masuk dalam bidang kerjaya, suara ini terus membisik di dalam jiwa. ya, aku sedang bersaing bukan sahaja dengan rakan-rakan sepejabat, aku bersaing dengan semua pekerja di syarikat-syarikat besar yang ternama di seluruh dunia. imej dan kualiti kerja yang terbaik perlu dipamerkan. sikap profesional perlu menjadi amalan.

inilah yang dimaksudkan persaingan dalam ruang lingkup yang lebih besar. sedar bahawa sebenarnya dunia ini amat luas. kita tidak boleh cepat berpuas hati. kita perlu berusaha sehingga menangis.

hakikatnya, begitulah juga dalam medan dakwah. musuh Allah tidak pernah henti dalam usaha mereka. usaha mereka sangat hebat.

oleh itu, kita perlu lipat gandakan usaha untuk menjadi yang terbaik di dunia ini sehingga mampu menewaskan semua.

Monday, June 20, 2011

petikan buku memoir dato' asri muda

muka surat ke-26, dalam kata pengantar oleh wan hashim wan teh:

Pada satu sesi temubual yang saya adakan dengan beliau, Mohd. Asri pernah berkata bahawa, "Islam itu tidak boleh diletakkan di atas pokok, digantung di dahan kayu, atau diletakkan di atas dinding. Ia mesti ada pendukungnya ... dan dalam konteks negara kita Malaysia, pendukungnya adalah orang Melayu. Ini bermakna bahawa Islam dan orang Melayu tidak dapat dipisahkan. Dari sudut yang sama, Islam akan menjadi kuat, utuh serta terjamin masa depannya di negara ini hanya jika kedudukan dan masa depan orang Melayu itu sendiri terjamin..."

bagus kalau kita banyak membaca. tidak perlu beli buku jika tiada wang lebih, saya hanya pinjam buku daripada sebuah perpustakaan di sebuat pusat pengajian swasta di bangi.

Thursday, June 16, 2011

Mungkin hati ini sudah mati?

قد يوقظ الطبل النيام إذ غفوا

فمن لك بالطبل الذي يوقظ الموتى

لقد أسمعت إذ ناديت حيا

ولكن لا حياة لمن تنادى

Syair ini bermaksud:

"Gendang itu mengejutkan orang yang lena apabila mereka terleka

Tetapi gendang itu tidak mampu mengejutkan mereka yang sudah mati

Telahpun kau perdengarkan bunyi gendang ketika kau menyeru orang yang masih hidup

Namun sesungguhnya tiada kehidupan bagi mereka yang kau seru"

Wednesday, June 15, 2011

saya, anda dan mereka adalah pendakwah

berdakwah kepada Allah adalah satu tugas yang mulia. tugas para Nabi dan pejuang Islam dari dulu hingga sekarang.

persoalan: adakah dakwah hanya khusus buat satu kelompok sahaja dan kelompok lain tidak perlu terlibat?

kita selalu mendengar:

disebabkan saya bukan lepasan jurusan agama, maka saya bukan pendakwah. disebabkan kerajaan tidak lantik saya dalam jabatan dakwah seperti jakim, saya juga bukan pendakwah. disebabkan saya tidak terlibat dalam ngo dakwah, maka saya bukan pendakwah.

benarkah demikian?

jawapan: saya beri 3 hujah ringkas sahaja untuk direnungkan bersama.

1. hadis Nabi: "Ballighu 'anni walau ayah"

ertinya: 'sampaikan daripadaku walau sepotong ayat'

tidak perlu tahu semua benda, apa yang kita tahu, itulah yang kita dakwahkan.

2. berkata Imam Ahmad: "man alima bil mas alah, fahuwa 'alimun biha"

ertinya: 'sesiapa yang tahu tentang sesuatu perkara, maka dia menjadi orang alim tentang ilmu tersebut'

sekali lagi, kalau kita tahu hukum solat itu wajib, maka serulah manusia menunaikan solat.

3. contoh yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar, ketika mula masuk Islam, beliau turut menyeru rakan-rakan lain kepada Islam. hasilnya, 6 daripada 10 sahabat yang dijanjikan syurga merupakan sahabat yang masuk Islam di tangan Abu Bakar.

Berapalah sangat ilmu beliau ketika awal Islam itu.

cukuplah ketiga-tiga perkara tersebut sebagai bukti bahawa saya, anda dan mereka semua adalah pendakwah.

kita adalah pendakwah yang menyeru semua manusia ke jalan Allah. tiada profesyen yang lebih mulia daripada seorang pendakwah.

kenapa perlu berdakwah?

1. arahan Allah.
Firman Allah: "kuntum khoiro ummah"

ertinya: "kamu adalah sebaik-baik umat"

dalam ayat yang sama disebut ciri-ciri umat yang terbaik. antaranya ialah berdakwah kepada Allah.

2. supaya semua umat Islam masuk syurga. pahalanya besar.
hadis nabi: "ad-daallu alal khoiri kafa'ilihi"

ertinya: "orang yang menunjukkan kepada kebaikan (amal soleh) akan beroleh pahala sama seperti pelakunya"

3. supaya Islam kembali di tempat asalnya.

"Al-Islamu yaklu wala yukla alaihi"

ertinya: "Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi daripadanya"

namun sekarang Islam itu rendah, tiada negara, tiada kekuatan. sejak jatuhnya khalifah Usmaniyah, tiada siapa yang membela umat islam sedunia. Syria, Iraq, Palestin, Malaysia dan seantero dunia.

apa yang nak kita dakwahkan?

ISLAM.
Islam yang menyeluruh.
Akidah, akhlak, ibadah, kemasyarakatan, ekonomi, kekeluargaan, ketenteraan, kekayaan, kekuatan dan segenap aspek kehidupan.

dari mana saya nak mula?

mulakan dengan diri anda!
belajar ilmu-ilmu fardu ain (ilmu wajib) tentang Islam.
amalkan apa yang pelajari.
mula ajak orang lain dengan kata-kata, tulisan dan tingkah laku.
mulakan dengan keluarga, teman-teman rapat dan masyarakat umum.

akhir sekali,

itulah kerja saya, anda dan mereka sampai mati.
di akhirat nanti, Allah akan tanya sejauh mana kita telah tunaikan tugas berdakwah.

sebelum berakhir, inilah bekal para daie:

Al-Quran!

tanpa Al-Quran, bagaimana kita mampu berdakwah?

Sunday, June 12, 2011

Tajuk-tajuk menarik untuk dikupas

1. Adakah doa mampu mengubah qada' dan qadar?
2. Zon bebas rokok di melaka dan pengharaman arak secara berperingkat.
3. Kelab taat suami dan reaksi masyarakat.
4. Hiburan melampau di malaysia.
5. Siri-siri bencana dan wabak di negara orang kafir.
6. Pendekatan terbaik seorang pendakwah.

Wednesday, June 08, 2011

rahsia Al-Quran

dalam al-Quran ada banyak rahsia.
seperti ahli fizik dan ahli kimia merungkai rahsia yang ada di alam ini, begitu juga orang beriman, pasti mampu merungkai rahsia yang terkandung di dalam al-Quran.

rahsia apakah itu?
bukti kekuasaan Sang Pencipta.
kerdilnya diri manusia.
percaya adanya Hari Pembalasan.

ayuh bersama membaca dan mengkaji rahsia al-Quran.
jauhi maksiat agar nur al-Quran masuk laju ke dalam hati.

Saturday, June 04, 2011

Musafir di pagi hari

Jalan raya besar, kereta banyak, bukit yg ditarah, kabus tebal, langit yg luas, pohonan menghijau, ladang sawit, macam2 iklan di tepi bukit, hon, 140kmh, asap tebal lori, projek baru tepi highway, menara telefon tinggi, kawasan rehat seremban 500m. Ya Allah, selamatkan safarku ini.

Thursday, June 02, 2011

sayangi keluarga






kehidupan kita kini berbeza sama sekali dengan kehidupan kita semasa kecil.
jika dulu tinggal serumah dengan emak dan arwah abah, kini kami adik-beradik tinggal bersama keluarga masing-masing.

cuma emak sahaja yang tinggal bersama kakak di kota damansara.
amin di kota bharu.
mamat di kuching sarawak.
abang adam di tanjung malim.
saya sendiri di hulu langat, kawasan tanah runtuh baru-baru ini.

masing-masing dengan keluarga dan kerjaya masing-masing.
tetapi ikatan adik-beradik dan kekeluargaan tidak pernah memisahkan kami.

kenangan semasa kecil tetap menjadi satu memori yang amat berharga.
susah payah emak dan abah membesarkan kami berlima.
sekalipun susah dan tidak mewah seperti orang lain, tetapi saya berasa puas dan bersyukur berada dalam keluarga ini.

Alhamdulillah saya bersyukur dengan segala nikmat Allah. nikmat keluarga bahagia.
kasih dan sayang memenuhi ruang antara hati-hati kami.
mengingatkan kasih sayang Allah yang lebih luas dan tidak terbatas.
Ar-Rahman dan Ar-Rahim.
keluarga terbina dengan kasih dan sayang. kasih emak dan kasih abah. kasih adik-beradik.
jika tiada kasih dan tiada sayang, saya tidak tahu di mana saya sekarang.
mungkin dipukul, didera dan entahlah.

oleh itu, sayangilah keluarga anda.
kasihilah mereka.
berbaktilah kepada ibu bapa kerana itu perintah Allah.
jaga hubungan sesama adik-beradik.
tiada ruginya.
kerana merekalah yang akan membantu kita satu hari nanti.