Tuesday, January 31, 2012

Fokus

1. Fokus ertinya memberi tumpuan.

2. Dalam setiap perkara yang kita lakukan, kita mesti fokus.

3. Dalam sesetengah perkara, ia sebenarnya hanya memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan. Cuma apabila tidak fokus, ia memakan masa yang panjang. Kalau fokus, sekejap sahaja dah pun siap.

4. Kalau tiada fokus, kita mungkin akan terbuat perkara yang bukan kerja kita. Pembaziran tenaga kerja akan berlaku. Apabila pembaziran tenaga berlaku, perkara ini akan membawa kerugian besar kepada sesuatu organisasi. Tambah-tambah kalau ia kerap kali berlaku. Rugi bertambah besar.

5. Untuk menjadi fokus atau kembali memberi tumpuan kepada tugas atau perkara sebenar, seseorang itu perlu ditegur. Mungkin juga pintu hatinya perlu diketuk. Ingatkan semula tugas asalnya. Apabila diingatkan, perlulah kita istighfar dan kembali memberi tumpuan kepada apa yang sepatutnya. Barulah menjadi orang yang bertanggungjawab dan amanah.

6. Dalam Surah Al-Mukminun ayat pertama, Allah menceritakan dengan tegas perihal mereka yang berjaya. Kejayaan yang hakiki. Mereka adalah golongan yang FOKUS DAN MEMBERI TUMPUAN DI DALAM SOLAT.

7. Kesimpulannya, kalau mahu fokus dalam hal-hal kehidupan, kerjaya dan pelajaran, mulakan dengan fokus di dalam solat. Kalau solat kita ok, amalan kehidupan kita yang lain akan ok.

8. Kalam terakhir, kunci kejayaan di tangan kita. Nak fokus ke tak nak? Nak jaga solat ke tidak? Tepuk dada, tanya iman!

Wednesday, January 25, 2012

Forum Selamatkan Akidah Umat Islam

Buat pertama kali, program ISMA diadakan di kawasan Syukbah Dusun Tua, ISMA DHL.

Monday, January 23, 2012

Pakcik, ingatlah Allah ketika sakit

Semalam adalah hari pertama saya bertugas di Wad Denggi. Wad Denggi sebenarnya bukan sahaja didiami oleh pesakit denggi tetapi juga diduduki oleh pesakit lain yang stabil.

2 minggu sebelum ini saya bertugas di Jabatan Kecemasan (Emergency Department), bahagian perubatan. Sejak saya mula bertugas di Hospital Ampang ini, saya disusun untuk bertugas di Jabatan Perubatan (Medical Department). Berdasarkan sistem hospital, doktor houseman hanya akan bertugas di Jabatan Kecemasan pada jabatan yang kelima. Jadi walaupun saya berada di Jabatan Perubatan, saya berpeluang menghandle kes-kes yang diserahkan oleh doktor-doktor di Jabatan Kecemasan kepada Jabatan Perubatan.

***

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 9.20 malam. Keletihan bekerja semalam masih belum hilang. Saya perlu sampai di hospital sebelum pukul 10 malam. Tapi saya takut memandu di waktu malam.

“Abang, boleh hantar Aisyah malam ni, Aisyah tak berani sangat. Dah malam dah.”

“Hai, sebelum-sebelum ni kan dah berani drive malam. Kenapa malam ni abang kena hantar pula?”

“Sebenarnya Aisyah tak habis letih lagi. Penat sangat. Malam ni dah kena masuk Wad Denggi pula. Kena ambik darah selalu. Boleh ya abang hantarkan Aisyah.”

“Habis Rayyan, siapa nak jaga? Dia tengah nangis-nangis tu. Takkan nak tinggalkan dengan mak?”

“Kita ajak mak ikut sekali. Terima kasih abang…”

***

Alhamdulillah, sekarang saya sudah mahir mengambil darah pesakit. Dulu masa mula-mula masuk kerja, saya hampir-hampir fed up kerana setiap kali saya cuba mengambil darah pesakit saya tidak akan berjaya. Doktor-doktor MO saya tengok mereka senang sahaja ambil darah.

Saya bergerak dari satu katil ke katil yang lain. Semua pesakit tidak pernah saya temui sebelum ini. Rasa insaf dan bersyukur dengan nikmat sihat yang Allah berikan. Selesai mengambil darah, saya melabelkan sampel kemudian saya membuat sedikit catatan di dalam buku rekod pesakit yang ada di hujung katil.

Ada seorang pakcik berusia 50an di hujung wad. Mukanya berkerut tetapi badannya nampak masih kuat. Gayanya seperti seorang businessman. Telefon bimbit tidak pernah lekang daripada tangannya yang mempunyai branula untuk memudahkan memasukkan ubat ke dalam salur venanya.

***

Tepat jam 4 pagi saya kembali ke katil pertama. Saya mengejutkan pesakit yang merupakan seorang lelaki muda yang dihidapi penyakit denggi. Menurut buku laporan baru 2 hari dia dimasukkan ke wad ini dan perkembangannya positif.

Tidak lama selepas itu, saya berpindah ke katil pakcik yang berusia 50an tadi. Telefon bimbit masih kemas di dalam genggamannya. Melalui siasatan yang dibuat dan simptom yang dialami, pakcik ini didiagnose sebagai NSTEMI ataupun serangan jantung. Tiba-tiba pakcik itu mengadu sakit dada. Saya dengan segera meminta staff nurse untuk membuat ECG stat dan memberi sejenis ubat di bawah lidah.

Setelah menyudahkan pengambilan darah beberapa pesakit lain, saya kembali kepada pakcik tersebut sambil meneliti ECG yang telah dibuat oleh staff nurse tadi.

“Pakcik sakit dada lagi ke?"

“Sakit lagi. Tapi dah kurang sikit. Terima kasih doktor. Sebenarnya pakcik tengah runsing la doktor.”

“Apa yang pakcik sedang fikirkan?”

“Entahlah saya sedang risaukan keputusan menteri berkenaan permohonan projek saya sebelum ini. Katanya dia akan tolong. Tapi sekarang saya dah masuk wad, jadi saya takut projek tu terlepas. Besar nilainya.”

“Pakcik, tak mengapa. Pakcik kan sedang sakit. Pakcik berehatlah. Tak payah fikir perkara tu sangat.”

“Doktor, doktor tak faham. Projek tu bernilai berjuta-juta ringgit. Kalau saya melepas kali ini habislah. Rugi besar tu. Peluang ni bukan selalu datang. Lagipun, saya dah kenal sangat dengan menteri tu. Dia dah janji sebelum ni. Tapi kalau saya masih macam ni, takut-takut dia bagi projek tu kepada orang lain.”

“Pakcik, insyaAllah adalah rezeki tu.”

“Doktor, saya dah melabur banyak untuk dapatkan projek ni. Pengalaman saya membuktikan saya layak dapat projek tu. Cuma masalahnya sekarang saya kena jumpa menteri tu untuk membawa kertas sampel testimoni projek-projek saya sebelum ini. Kalau saya berjaya dapat projek tu doktor, banyak benda saya boleh buat. Mungkin projek yang lagi besar saya boleh buat.”

“Pakcik, pakcik ada masalah jantung. Tak boleh la runsing-runsing macam ni. Tengok tekanan darah pakcik pun dah naik."

"Pakcik tak boleh berenti fikir pasal benda nilah doktor. Nak lelap mata pun tak boleh. Macam mana ye doktor?"

"Takpe lah pakcik, pakcik berzikir lah sekejap, ingat Allah. Moga pakcik cepat sembuh."

“…………..”

***

Itulah kali pertama saya menegur pesakit. Bukan kerana saya rasa saya banyak ilmu, tetapi sikap pakcik itu perlu ditegur. Saya rasa sudah cukup setakat ini saya berdiam diri dengan karenah pesakit-pesakit. Sebelum ini saya dapati majoriti pesakit yang saya rawat tidak menunaikan solat Subuh. Mereka seolah-olah rasa tidak berdosa meninggalkan solat. Setiap kali saya mengambil darah di waktu Subuh, saya terkilan di dalam hati, mengapa mereka tidak mahu bangun solat Subuh? Tidak ada uzur syar’ie pun yang menghalang mereka daripada menunaikannya.

Ada juga pesakit yang menyalahkan takdir kerana ditimpa penyakit. Bukankah segala yang baik dan buruk itu datangnya dari Allah? Bukankah apabila kita diuji dengan kesusahan ertinya Allah masih menyayangi kita dan Allah mahu kita kembali kepadaNya?

Saya juga menemui ramai pesakit yang mementingkan diri sendiri. Tergamak mereka memarahi jururawat yang membantu mereka tanpa sebab yang masuk akal. Tidak kurang juga ada pesakit yang marah kepada doktor. Ada juga pesakit yang memandang rendah kepada doktor houseman. Saya sendiri pernah ditegur oleh seorang pesakit, katanya dia tidak mahu doktor student handle kes dia. Nasib baik ada doktor lain yang back up. Dia ni bukan student, dia doktor HO. Hmm, mungkin tubuh badan saya agak kecil dan gaya saya tidak meyakinkan, barangkali.

***

Tugas seorang doktor tidak terhad kepada merawat fizikal yang sakit. Doktor mesti berperanan merawat hati yang sakit kerana jauh dari Allah. Kering daripada zikrullah. Moga-moga kalam sepatah dua yang kita ucapkan kepada pesakit-pesakit ini membekas di hati mereka.

Saya tidak pasti apa respon pakcik tadi apabila saya menegurnya supaya berzikir mengingati Allah. Diharap agar Allah membuka hatinya untuk mengutamakan perkara yang wajib diutamakan iaitu memikirkan persoalan akhirat.

Ditulis oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin, hasil pengalaman peribadi Dr Syarifah Aisyah Syed Abd Halim. Pegawai Perubatan (Latihan Siswazah UD41), Hospital Ampang, Selangor.

Disember 2011

Hinanya presiden Yaman dan anggota parlimennya

1. Terbang ke Oman beberapa hari, kemudian mungkin singgah ke Ethiopia, lepas tu direct ke Amerika untuk medical treatment.

2. Sebelum terbang, buat majlis minta maaf kepada wakil2 tertentu yang merupakan pimpinan masyarakat.

3. Sebelum tu lagi, parlimen bersetuju untuk meluluskan akta kekebalan kepada presiden daripada sebarang pertuduhan.

Apabila melihat temannya dibunuh (Ghadaffi) dan dibicarakan (Mubarak), maka beliau pun mula kecut perut dan bertindak untuk menyelamatkan diri.

Pemimpin yang begini hanya pentingkan diri. Sanggup berkomplot dengan Amerika. Ke mana lagi dia ingin pergi?

Kisah ini perlu dijadikan pedoman. Di Malaysia, mungkin susah kita nak jumpa pemimpin yang jelas-jelas mengikut telunjuk Amerika.

Tapi, adakah kita mahu cara hidup orang kita mencontohi budaya Amerika? Adakah kita mahu orang yang solat dan berpuasa tetapi berpandukan hak asasi manusia di dalam pertimbangannya?

Orang Islam di Malaysia masih kuat pegangan agamanya. Tapi dipegang secara juz'ie. Ambil satu, tolak yang lain.

Yang kita mahu, Islam dipraktikkan dalam segenap aspek kehidupan. Syumul. Nak tahu bagaimana syumul itu, rujuklah sirah nabi. Itu sahaja contoh yang ada.

Kadang-kadang, orang susah nak terima Islam sebab tak nampak contoh. Itu sahaja. Bila dah nampak contoh, baru orang terima.

Takkan nak tunggu 'Fathu Makkah' baru nak join dakwah?

Friday, January 20, 2012

Pengalaman di TV ISMA

Alhamdulillah, kini TV ISMA semakin komited dengan 3 rancangan utama. Buletin, Usrah dan Dimensi.

Buletin sudah siap 11 siri, Usrah pula sudah 6 kali siaran manakala Dimensi baru masuk siri ke-5. Dimensi bersama Ust Mohamad Ismail bertajuk Bahaya Syiah sudah dirakamkan siang tadi dan akan diupload pada minggu hadapan.

Beberapa pengajaran dan perkongsian pengalaman dapat saya kongsikan di dalam poin-poin berikut:

1. Cara persembahan.

Idea yang dipersembahkan atau dibentangkan adalah fikrah ISMA. Ia tetap sama dengan apa yang dibincangkan di dalam usrah atau apa yang dibaca di dalam bahan-bahan tarbiyah. Bezanya cuma cara pengolahan dan cara penyampaian. InsyaAllah dengan wujudnya rancangan-rancangan di TV ISMA, ia akan lebih menarik minat orang awam memahami fikrah ISMA seterusnya mendekati ISMA.

Selama ini bukan dakwah kita ditolak atau tidak diterima, ia hanyalah cara bagaimana kita menyampaikannya.

2. Pengurusan masa.

Kalau urus masa dengan baik, banyak benda berjalan dengan lancar.

3. Skill dan pengalaman.

Memang susah kalau kita tak biasa dengan kerja-kerja TV ni. Lama-kelamaan, insyaAllah ia menjadi mudah. Paling penting kita sedia menjalankan tugas yang diberi dan kita lakukan denga bersungguh-sungguh.

4. ISMA lebih dikenali.

Saya tidak nafikan perkara ini. Ramai bertanya, ISMA itu apa. Tidak kira orang awam, kawan lama mahupun ahli keluarga, menjadi tugas kita pula menceritakan apa sebenarnya yang ISMA perjuangkan. Melalui kalam atau amalan harian.

5. Team work.

Kami bergerak sebagai satu pasukan. kami bermesyuarat sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Pelbagai masalah dan cadangan dilontarkan.

6. Fikrah yang memandu.

Buletin ISMA bukan seperti buletin atau berita media lain. Kami juga menyampaikan berita, tetapi kami memberi solusi terhadap permasalahan yang berlaku. Ini adalah satu bentuk harapan kepada umat Islam. Lontaran langkah penyelesaian amat penting bangi membuka minda umum agar melihat ISLAM sebagai jalan penyelesaian jika difahami dengan baik.

7. Pertembungan fikrah.

Sudah tentu. ISMA makin komited dalam menjelaskan pendirian-pendiriannya di dalam sesuatu isu. Agenda liberal ditembak tepat melalui slot-slot rancangan TV ISMA. Rancangan Usrah memberi asas penting kepada umat Islam dalam menghadapi cabaran semasa.

8. Berani.

Wartawan mesti memiliki jiwa yang berani. Kering. Dia sanggup melakukan perkara yang tidak biasa dilakukan demi mendapat bahan berita yang berkualiti.

9. Letih.

Inilah salah satu perkara yang memerlukan stamina dalam bekerja. Bersenam dan bersukan mampu menyediakan diri untuk menjalankan tugas yang mencabar dalam arena media.

10. Bersabar.

Dalam mencapai sesuatu kejayaan, pengorbanan adalah satu kebiasaan. Apabila sudah berkorban, bersabarlah. Balik kerja lewat, datang kerja awal, bangun tengah malam mencorak suasana kehidupan baru. Sememangnya beginilah hidup seorang pendakwah. Tiada istilah rehat atau bercuti. Yang ada hanyalah bekerja, bekerja dan bekerja untuk agama Allah.

Wallahu a'lam.

Sunday, January 08, 2012

Nota Usrah Siri ke-3, hari Isnin 9 Januari 2012


Risalah Al-Banna: Ke mana kita menyeru manusia?

Perbincangan tertumpu kepada 5 tajuk kecil: (mengikut cetakan bahasa Arab)

1. قوميتنا وعلى أي أساس ترتكز؟

2. ليس بعد ذلك عزة

3. أعظم مصادر القوة

4. قوميتنا عالية النسبة

5. أحلام الأمس وحقائق اليوم

Berdasarkan 5 tajuk kecil tersebut, perbincangan usrah akan lebih tertumpu kepada poin-poin berikut:

1. Asas nasionalime kita (qaumiyah)

· 7 ayat Al-Quran menceritakan seruan Allah untuk menjadikan-Nya sebagai sumber izzah dan kehebatan.

· Kita perlu menisbahkan diri kita kepada Allah

· Nilai kemuliaan terletak pada Islam, bukan pada bangsa.

2. Nisbah terbaik

· Ada manusia bernisbahkan kepada nasab dan keturunan. (berbangga dengan nasab datuk nenek)

· Nisbah terbaik adalah nisbah kepada Allah. Inilah yang membawa kepada keizzahan dan kegemilangan sebenar.

3. Sumber kuasa terhebat

· Tidak takut dan tidak gentar berhadapan musuh setelah memiliki nisbah kepada Allah.

· Nisbah kepada Allah merupakan sumber kuasa kepada orang beriman.

4. Nasionalime bersifat sejagat

· Apabila seluruh manusia menisbahkan diri kepada Allah, semua bangsa akan bersaudara.

· Taasub (asabiyah) akan terpadam apabila semua berkumpul di bawah lembayung kuasa Allah.

5. Impian semalam, kenyataan hari ini

· Perkara ini (menukar nisbah lama kepada nisbah baru dalam masyarakat di dunia) menjadi kabur dan tidak jelas di kalangan orang awam, sehingga mereka menuduh Ikhwan sedang berkhayal dan bermimpi.

· Para pendakwah perlu tenang, perkara ini jelas di mata para sahabat RA. Hasilnya akan datang juga jika kita mengikuti jejak langkah mereka.

· Ikhwan akan bermati-matian demi perkara ini.

Kesimpulannya, Al-Banna menjelaskan di antara tugas dakwah Ikhwan adalah menukar nisbah (intisab) manusia kepada nisbah kepada Allah. Semangat nasionalisme sebenar adalah menasabkan diri kepada Allah, bukan nasab keturunan. Beliau mendatangkan dalil-dalil, ciri-ciri, kelebihan perkara tersebut. Kemudian baru Al-Banna menyebut kekeliruan yang timbul di kalangan orang awam dan ia diakhiri dengan azam bahawa Ikhwan akan tetap memperjuangkannya sebagaimana para sahabat telah lakukan.

*Terdapat beberapa istilah dan beberapa poin yang sukar untuk difahami, maka para pembaca perlu mengikuti siaran langsung rancangan Usrah untuk penjelasan-penjelasan tersebut.

Istilah yang sukar difahami:

1. Nasab-intisab-nisbah

2. Qaumiyah-nasionalisme

Persoalan yang mungkin timbul:

1. Adakah apa yang dibincangkan di atas bercanggahan dengan slogan yang dibawa oleh ISMA “Melayu Sepakat Islam Berdaulat”?

2. Apakah maksud menukar ‘nisbah kepada perkara lain’ kepada ‘nisbah kepada Allah’?

3. Mengapa nasionalisme menjadi contoh?

4. Adakah semangat nasionalisme perlu dibuang terus dan yang perlu dipegang hanya ‘nisbah kepada Allah’?

Gambar Himpun Paroi 7 Januari 2012






Sumber: keratan akhbar tempatan

Friday, January 06, 2012

'Minda korporat' Presiden ISMA

Baru-baru ini, saya mendengar penjelasan panjang lebar yang disampaikan oleh Presiden ISMA, Ust Abdullah Zaik. Saya simpulkan beberapa poin sebagai perkongsian, sekalipun sebenarnya istilah 'minda korporat' itu amat mendalam dan besar kesannya jika ia benar-benar dihayati.

1. Usaha dakwah ini sebenarnya memerlukan minda atau cara fikir seorang korporat bahkan lebih hebat daripada itu. Kita perlu menggerakkan dakwah ini dalam bentuk yang sangat hebat, cara yang menarik, kemas dan disenangi seolah-olah bisnes korporat.

2. Minda pendakwah khususnya yang berlogo ISMA, mestilah berani dan yakin dalam memikul beban dakwah ini. Dakwah ini bukan dakwah lekeh-lekeh, ia adalah dakwah agama Allah, sudah tentu cara kerjanya amat berbeza sekali dengan bisnes-bisnes kecil-kecilan.

3. Di dalam dakwah, keuntungan dan kerugian bersifat amat subjektif. Tidak hairanlah jika terdapat kes di mana seseorang kader dakwah tidak rasa bersalah apabila terlewat menyiapkan sesuatu tugasan dakwah. Lebih parah lagi apabila dia terbiasa dengan cara kerja tersebut dan langsung memikirkan apakah kerugian yang ditanggung oleh dakwah.

4. Contoh mudah yang diberikan oleh Ust Abdullah, beliau mengandaikan seorang peniaga yang bercita-cita mendapatkan gaji sebanyak RM5000 sebulan. Untuk itu, selepas dikira-kira dia perlu membuka kedainya dan mendapatkan pelanggan seramai 50 orang setiap hari sekurang-kurangnya. Apa akan jadi jika peniaga itu menutup kedainya pada hari pertama dan hanya membuka kedainya pada hari kedua selepas waktu Zohor? Sudah pasti hasil yang diharapkan tidak akan tercapai.

5. Ertinya, peniaga itu sudah rugi. Rugi kerana tidak berjaya menjual barangan dan hilang pelanggan.

6. Begitu juga dakwah. Sudah pasti setiap tugas memberikan hasil atau outcome yang diharapkan. Amat malang sekali apabila seorang akh tidak merasakan kepentingan amal tersebut yang mampu menjana keuntungan dan keberhasilan yang lebih tinggi.

7. Menurut beliau, dakwah sudah pun kerugian berjuta-juta ringgit selama ini. Masakan tidak, kos hidup dikeluarkan namun hasil masih tak kunjung tiba. Produktiviti terhenti di atas sikap sesetengah individu.

8. Situasi yang terdekat berlaku di Pejabat ISMA baru-baru ini. Jadual pemasangan set Unifi (yang laju internetnya) sepatutnya berjalan pada 31 Disember. Namun oleh kerana tidak memiliki 'minda korporat', disebabkan alasan yang kecil (tidak ada orang hadir pejabat pada hari itu, Sabtu hari cuti), maka pemasangan set Unifi itu dipindahkan ke hari lain iaitu pada 6 Januari (hari ini) kira-kira seminggu selepas tarikh asal. (contoh ini hanyalah sekadar contoh, tiada unsur negatif di situ)

9. Cuba kita bayangkan dalam tempoh seminggu berapa banyak kerugian yang telah dialami oleh dakwah? Ini baru satu contoh kecil. Banyak lagi contoh kes yang telah berlaku. Tambah Ust Abdullah, sepatutnya dengan minda korporat ISMA boleh melangkah dengan lebih jauh lagi. Katanya, ISMA hari ini adalah ISMA 5 tahun dahulu. Ertinya, pencapaian hari ini sepatutnya telah dicapai 5 tahun dahulu. Begini cara Ust Abdullah menilai kerugian yang ditanggung oleh dakwah berpunca daripada sikap 'ala kadar' dan tidak memiliki minda korporat. Positioningdi dalam masyarakat, thiqah (kepercayaan) masyarakat, jumlah keahlian, wang ringgit, umur dan tenaga telah banyak dibazirkan.

10. Sebagai kesimpulan, marilah sama-sama kita membetulkan semula mizan atau neraca timbangan kita dalam menilai setiap nafas dan setiap minit, juga setiap tenaga agar setiap aset kita tidak dibazirkan begitu sahaja.

11. Saya tinggalkan satu persoalan, susah ke nak memiliki minda korporat? Pimpinan dakwah pasti ada jawapannya.


Wednesday, January 04, 2012

2011: tahun mencabar bagi umat Islam dan bangsa Melayu

Tahun 2011 merupakan tahun yang amat mencabar bagi umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia. Peristiwa demi peristiwa memberi tamparan kepada keizzahan agama ini. Cabaran berpunca di kalangan umat Islam itu sendiri dan juga arus yang datang dari luar.

Berikut adalah beberapa peristiwa penting yang perlu dijadikan pengajaran agar masa depan umat Islam terus terpelihara.

  1. Azan Subuh dipertikai kerana menggangu tidur penduduk setempat di kawasan sekitar Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Jalan Pantai Permai Kuala Lumpur.
  2. Seorang EXCO Selangor mengarahkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) supaya menarik balik larangan orang Islam bekerja di premis menjual arak.
  3. Pada bulan Februari, 96 orang Islam ditahan dalam Ops Valentine yang dijalankan di Kuala Lumpur dan Selangor.
  4. Di dalam kes penahanan kitab Bible berbahasa Melayu di pelabuhan Klang dan Kuching, keputusan kerajaan tidak memihak kepada umat Islam. Bible itu kemudiannya diserahkan kepada pihak gereja.
  5. 10 formula berat sebelah Idris Jala, selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri diumumkan dalam menyelesaikan masalah penahanan kitab Bible berbahasa Melayu.
  6. Menurut statistik yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, sebanyak 863 permohonan murtad diterima oleh Mahkamah Syariah dan sebanyak 168 orang yang memohon untuk meninggalkan Islam diluluskan.
  7. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penganjuran konsert MTV World Stage Live di I-City pada 24 Julai ini tetap diteruskan walaupun menerima bantahan daripada penduduk dan PAS.
  8. Perhimpunan haram Bersih 9 Julai 2011 yang bertujuan menuntut ketelusan dalam pilihan raya berjaya disuraikan oleh polis, namun fakta yang menyatakan bahawa dana disalurkan oleh pihak luar amat merisaukan.
  9. Tragedi 3 Ogos telah membuka mata masyarakat tentang gerakan Kristianisasi yang semakin berleluasa. Pihak JAIS berjaya membongkar penglibatan umat Islam dalam majlis Thanksgiving di Damansara Utama Methodist Church (DUMC).
  10. Maruah umat Islam terus dicalar dengan tuduhan kelemahan institusi zakat dan jabatan agama merupakan punca gejala murtad berlaku.
  11. Pertemuan di antara ahli parlimen DAP bersama pimpinan pertubuhan Kristian di Pulau Pinang mendedahkan telah berlaku perbincangan berkenaan idea untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.
  12. Selain itu, berita pembinaan gereja terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Bukit Jalil benar-benar mencabar umat Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini. Orang Islam mewakili 60.4% komposisi penduduk sedangkan masyarakat Kristian hanya 9.1%.
  13. Pada bulan Mei, 4 orang pengikut Syiah ditahan. Pada 25 Ogos pula, Jabatan Agama Islam Melaka telah menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, Melaka yang dipercayai menjadi markas sebuah kumpulan penganut fahaman Syiah. Sebanyak 35,000 buku dan risalah Syiah yang diharamkan KDN ditemui dalam keadaan siap dibungkus untuk diedarkan melalui pos ke seluruh masjid dan jabatan kerajaan.
  14. Pada bulan Oktober lalu, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendedahkan lebih 6 juta belia mengalami krisis identiti. Kajian yang dibuat menjelaskan rata-rata belia masa kini tiada agenda hidup dan tidak kuat dengan pegangan agama.
  15. Gejala buang bayi seolah-olah tiada hentinya. Saban hari di dada akhbar dilaporkan berita bayi dibuang di dalam tong sampah, disorokkan di bawah katil, dicampak dari bangunan tinggi dan banyak lagi berita yang menceritakan perihal sama.
  16. Program Seksualiti Merdeka yang mempromosikan budaya luar seperti seks bebas dan seks songsang wajar ditentang. Meskipun pihak polis telah mengharamkan penganjurannya, terdapat beberapa pihak menyokong penganjuran program tersebut.
  17. Konsert artis gay Britain Elton John di Genting Highland diteruskan meskipun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak khususnya umat Islam.
  18. Akibat terlalu mementingkan sentimen parti dan mengutamakan kuasa lebih daripada kepentingan umat Islam, hudud dipolitikkan sehingga sampai ke tahap ditolak dan dipermainkan.
  19. Ariff Alfian yang dilaporkan hilang di Ireland telah ditemui semula tetapi di dalam keadaan yang menyedihkan, apabila gambarnya berkahwin dengan lelaki gay Britain tersebar di internet.
  20. Di akhir tahun 2011 pula, kita dikejutkan dengan tindakan mempersoal perkara 153 Perlembagaan Persekutuan oleh paderi Kristian di dalam majlis sambutan hari Krismas.

Kesemua peristiwa yang disebutkan di atas membuktikan betapa teruk dan dahsyatnya cabaran yang dihadapi umat Islam dalam meneruskan survivalnya di bumi bertuah ini. Banyak lagi isu yang boleh dikupas dan dikaji bagi menyedarkan masyarakat Islam dan bangsa Melayu agar bangkit dan bertindak menjadi agen perubah ke arah yang lebih baik.

Pendedahan ini bertujuan mengembalikan umat Islam dan bangsa Melayu kepada ajaran Islam yang sebenar sebagai kunci perubahan. Menyedari hakikat ini, kekuatan iman dan kesatuan perlu diperkemas bagi menghadapi cabaran-cabaran akan datang.

Disediakan oleh:
Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin,
Pegawai Penyelidik,
Ikatan Muslimin Malaysia

***Artikel ini telah diterbitkan di ismaweb.net.

http://www.ismaweb.net/v4/2012/01/2011-tahun-mencabar-bagi-umat-islam-bangsa-melayu/