Monday, March 01, 2010

RAKAAT DIKIRA JIKA SEMPAT RUKUK DAN THOMA’NINAH BERSAMA IMAm



Sambil-sambil penulis menyelak majalah, ada persoalan fiqh solat yang ditulis. Tentang rukuk. Jika seseorang itu sempat rukuk bersama imam maka dia mendapat rakaat tersebut sekalipun tidak sempat membaca walau sedikit ayat Surah Fatihah. Ini ittifaq (persetujuan) semua mazhab.

Namun, jika seseorang itu sempat rukuk dengan meletakkan tapak tangannya pada lututnya tanpa sempat thoma’ninah (diam sebentar bersama imam), kemudian imam qiyam (bangun) untuk i’tidal, pada situasi ini dia dikira mendapat rakaat tersebut menurut 3 mazhab lain kecuali mazhab Syafie. Mazhab Syafie mensyaratkan rukuk tersebut perlu disertakan thoma’ninah walau dengan kadar bacaan Subhanallah. Jika tidak sempat, maka rakaat tersebut tidak dikira.

Persoalan ini mudah dan agak menarik. Betapa indahnya ibadah di dalam Islam. Satu perkara yang suka saya ‘highlight’kan ialah berkenaan thoma’ninah. Diam sebentar dalam bahasa ibunda. Ketenangan.

Satu ketika Rasulullah melihat seorang sahabat sedang solat. Selesai solat, Rasulullah menegur dengan berkata, “Pergi solat semula. Sesungguhnya engkau tidak solat”. Sahabat itu solat semula dan kemudian Rasulullah menegur dengan berkata, “Solat semula kerana engkau tidak solat”. Sahabat itu solat semula untuk kali ketiga dan Rasulullah tetap menegurnya dengan ucapan yang sama. Lalu sahabat itu berkata kepada Rasulullah, “Ya Rasulullah, ajarkan aku bagaimana solat yang sebenarnya”.

Maka Rasulullah mengajarnya solat. “….irka’ hatta tatma’in. Summasjud hatta tatma’in…”. “Engkau rukuk sehingga engkau tenang (thoma’ninah) kemudian engkau sujud sehingga engkau tenang.”

Kisah ini memberi pengajaran besar buat umat Islam seluruhnya.

1. Jangan melewat-lewatkan solat dengan sengaja.

2. Berusaha mencapai khusyuk di dalam solat.

3. Membaca dan memahami bacaan-bacaan di dalam solat.

4. Solat ialah syurga bagi mukmin. Rancanglah ia sebaik mungkin.

Sekian sahaja apa yang terlintas di minda.

No comments: