Friday, January 06, 2012

'Minda korporat' Presiden ISMA

Baru-baru ini, saya mendengar penjelasan panjang lebar yang disampaikan oleh Presiden ISMA, Ust Abdullah Zaik. Saya simpulkan beberapa poin sebagai perkongsian, sekalipun sebenarnya istilah 'minda korporat' itu amat mendalam dan besar kesannya jika ia benar-benar dihayati.

1. Usaha dakwah ini sebenarnya memerlukan minda atau cara fikir seorang korporat bahkan lebih hebat daripada itu. Kita perlu menggerakkan dakwah ini dalam bentuk yang sangat hebat, cara yang menarik, kemas dan disenangi seolah-olah bisnes korporat.

2. Minda pendakwah khususnya yang berlogo ISMA, mestilah berani dan yakin dalam memikul beban dakwah ini. Dakwah ini bukan dakwah lekeh-lekeh, ia adalah dakwah agama Allah, sudah tentu cara kerjanya amat berbeza sekali dengan bisnes-bisnes kecil-kecilan.

3. Di dalam dakwah, keuntungan dan kerugian bersifat amat subjektif. Tidak hairanlah jika terdapat kes di mana seseorang kader dakwah tidak rasa bersalah apabila terlewat menyiapkan sesuatu tugasan dakwah. Lebih parah lagi apabila dia terbiasa dengan cara kerja tersebut dan langsung memikirkan apakah kerugian yang ditanggung oleh dakwah.

4. Contoh mudah yang diberikan oleh Ust Abdullah, beliau mengandaikan seorang peniaga yang bercita-cita mendapatkan gaji sebanyak RM5000 sebulan. Untuk itu, selepas dikira-kira dia perlu membuka kedainya dan mendapatkan pelanggan seramai 50 orang setiap hari sekurang-kurangnya. Apa akan jadi jika peniaga itu menutup kedainya pada hari pertama dan hanya membuka kedainya pada hari kedua selepas waktu Zohor? Sudah pasti hasil yang diharapkan tidak akan tercapai.

5. Ertinya, peniaga itu sudah rugi. Rugi kerana tidak berjaya menjual barangan dan hilang pelanggan.

6. Begitu juga dakwah. Sudah pasti setiap tugas memberikan hasil atau outcome yang diharapkan. Amat malang sekali apabila seorang akh tidak merasakan kepentingan amal tersebut yang mampu menjana keuntungan dan keberhasilan yang lebih tinggi.

7. Menurut beliau, dakwah sudah pun kerugian berjuta-juta ringgit selama ini. Masakan tidak, kos hidup dikeluarkan namun hasil masih tak kunjung tiba. Produktiviti terhenti di atas sikap sesetengah individu.

8. Situasi yang terdekat berlaku di Pejabat ISMA baru-baru ini. Jadual pemasangan set Unifi (yang laju internetnya) sepatutnya berjalan pada 31 Disember. Namun oleh kerana tidak memiliki 'minda korporat', disebabkan alasan yang kecil (tidak ada orang hadir pejabat pada hari itu, Sabtu hari cuti), maka pemasangan set Unifi itu dipindahkan ke hari lain iaitu pada 6 Januari (hari ini) kira-kira seminggu selepas tarikh asal. (contoh ini hanyalah sekadar contoh, tiada unsur negatif di situ)

9. Cuba kita bayangkan dalam tempoh seminggu berapa banyak kerugian yang telah dialami oleh dakwah? Ini baru satu contoh kecil. Banyak lagi contoh kes yang telah berlaku. Tambah Ust Abdullah, sepatutnya dengan minda korporat ISMA boleh melangkah dengan lebih jauh lagi. Katanya, ISMA hari ini adalah ISMA 5 tahun dahulu. Ertinya, pencapaian hari ini sepatutnya telah dicapai 5 tahun dahulu. Begini cara Ust Abdullah menilai kerugian yang ditanggung oleh dakwah berpunca daripada sikap 'ala kadar' dan tidak memiliki minda korporat. Positioningdi dalam masyarakat, thiqah (kepercayaan) masyarakat, jumlah keahlian, wang ringgit, umur dan tenaga telah banyak dibazirkan.

10. Sebagai kesimpulan, marilah sama-sama kita membetulkan semula mizan atau neraca timbangan kita dalam menilai setiap nafas dan setiap minit, juga setiap tenaga agar setiap aset kita tidak dibazirkan begitu sahaja.

11. Saya tinggalkan satu persoalan, susah ke nak memiliki minda korporat? Pimpinan dakwah pasti ada jawapannya.


1 comment:

Anonymous said...

Sangat Benar.