Wednesday, October 05, 2011

Bisikan halus

Menyedari akan keperluan tarbiyah melebihi segala-galanya adalah satu nikmat yang agung. Manakan tidak, masalah yang melanda umat Islam kini berpunca daripada hilangnya iman dan rasa takut kepada Allah.

Ramai manusia sudah larut dan termakan dek pujukan dan hasutan syaitan. Bisikan halus ini muncul di celah-celah ruang ketaatan dan amal soleh. Kononnya mahu menjaga kekayaan supaya kekayaan kembali berada di tangan umat Islam maka bisnes pun diceburi dan dipromosi ke sana sini.

Memang benar duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit. Akan tetapi bisikan halus ini telah pun berjaya merungkai keseriusan seseorang pendakwah daripada fokus beramal dan berdakwah. Akhirnya dakwah dan tarbiyah hanya mendapat tempat di hujung-hujung kitaran hidupnya sehari-hari.

Ayuh sama-sama kita kuatkan azam dan tekad agar tarbiyah mendapat perhatian sewajarnya di dalam hidup kita kerana di sinilah bermulanya perjuangan umat Islam.