Sunday, December 04, 2011

Ketuanan rakyat atau ketuanan Allah?

1. Dalam sistem demokrasi, ketuanan berpihak total kepada rakyat. Kenyataan ini sesuai berdasarkan definisi demokrasi yang diberikan oleh Abraham Lincoln, beliau mengungkap demokrasi sebagai “government of the people, by the people, for the people”. Rakyat memilih wakil mereka untuk memperjuangkan nasib dan masa depan rakyat.

2. Dalam konsep politik Islam pula atau pun yang disebut sebagai siasah syar’iyah, ketuanan mutlak adalah milik Allah. Kumpulan elit yang dipilih sebagai wakil rakyat hanya memiliki kekuasaan dan ketuanan yang terbatas, kerana yang mutlak hanyalah dimiliki oleh Allah.

3. Dalam sistem demokrasi, rakyat berkuasa menentukan undang-undang mereka sendiri. Kuasa legislatif ini bergantung kepada kehendak rakyat atau wakil rakyat. Mereka bebas menetapkan apa jua perkara menjadi undang-undang. Inilah yang disebut sebagai undang-undang ciptaan manusia.

4. Perlembagaan persekutuan sering dituduh sebagai perlembagaan ciptaan manusia. Ia adalah satu harta yang ditinggalkan oleh penjajah bagi memastikan Malaysia kekal mengamalkan sistem rekaan manusia dan meninggalkan sistem wahyu Allah. Mereka mahu Islam dijadikan amalan dalam sudut-sudut tertentu sahaja.

5. Akan tetapi, jika diteliti lebih lanjut tentang Perlembagaan Persekutuan, meskipun ia dicipta oleh manusia, kumpulan yang merangka perlembagaan tersebut jelas mengiktiraf Islam memiliki ketuanan yang mutlak.

6. Kenyataan ini dihuraikan semasa pembentangan bertajuk kedudukan Islam di dalam perlembagaan oleh Ust Nasir Desa di dalam program mendaulatkan Islam di IKIM sebelum ini. Ia juga telah dibincangkan di dalam program Semaian anjuran Muafakat di Shah Alam.

7. Ternyata di dalam perlembagaan tercatat bahawa ketuanan rakyat tidak mutlak sama sekali. Ia tidak mampu menggugat kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Kedudukan Islam dan keistimewaan orang Melayu telah dijamin, ditambah dengan peranan yang dimainkan oleh Raja-Raja Melayu.

8. Adapun yang mencabar kedudukan Islam di dalam negara sebenarnya adalah kegoyahan iman para pemimpin, kejahilan umat tentang Islam, kelemahan usaha para pendakwah dan usaha makhluk perosak yang ditaja oleh barat.

9. Memang benar kita mahukan ketuanan mutlak Allah di dalam pentadbiran, perundangan dan penghakiman di Malaysia. Namun sebelum itu, pastikan ketuanan iman kepada Allah terpasak padu di dalam hati kita, barulah umat menyokong usaha murni ini.

10. Penyelesaian strategik ketika ini pada pendapat saya ialah dengan mempertahankan perlembagaan sedia ada, memperkasakan badan-badan kerajaan seperti Jabatan Agama Islam, menyedarkan masyarakat kembali mengambil Islam sebagai cara hidup dan memerangi ancaman-ancaman luar seperti kritianisasi, fahaman liberal, hiburan melampau, fahaman sesat Syiah dan lain-lain lagi. Inilah yang sedang ISMA lakukan.

11. Bersabarlah wahai para pendakwah, berusahalah dengan menguatkan imanmu, lipatgandakan usahamu nescaya sinar demokrasi akan padam seperti sinar jahiliyah terpadam oleh kecerahan dakwah Islam. Ketuanan Allah pasti terjulang.

No comments: