SEHINGGA kini masih belum ada langkah penyelesaian yang boleh melegakan hati umat Islam dalam isu melibatkan saudara seakidah mereka, etnik Rohingya yang berasal dari Myanmar.
Semenjak isu pelarian Rohingya menjadi isu utama di dada akhbar tempatan dan antarabangsa, pelbagai negara menghulur bantuan.
Turki umpamanya, telah berikrar akan menubuhkan pusat perlindungan. Turki juga bersedia menyumbang satu juta kepada Pertubuhan Migran Antarabangsa (IOM) dan UNHCR bagi menyelamatkan mereka yang hanyut di lautan. Selain itu, Turki juga membuat keputusan untuk menghantar kapal ke perairan Malaysia dan Thailand.
Dalam kenyataan terkini semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata: “Kita mahu selamatkan nyawa dan tidak fikir selepas itu. Kita selamatkan mereka supaya mereka terus hidup sebagai manusia bermaruah dan ada masa depan.”
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pendatang Rohingya dan Bangladesh yang diselamatkan daripada bot-bot di perairan negara akan ditempatkan di kem-kem Latihan Khidmat Negara di Sik dan Baling, Kedah.
Setakat ini, terdapat lebih 1,000 pendatang Rohingya dan Bangladesh yang diselamatkan daripada bot yang mendarat di Langkawi ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik.
Di peringkat ASEAN pula, Malaysia bercadang untuk menganjurkan sidang kemuncak mini ASEAN bagi membincangkan isu pemerdagangan manusia bagi mencari penyelesaian dalam kalangan negara-negara anggota.
Membaca berita-berita ini membuat saya terfikir, hanya sekadar itu sahajakah yang mampu dilakukan oleh Malaysia?
Malaysia sepatutnya lebih tegas dalam isu ini. Panggil sahaja ketua-ketua negara ASEAN ke Kuala Lumpur. Tekan Myanmar agar menerima kerakyatan etnik Rohingya. Ugut jika Myanmar menolak.
Akan tetapi, hanya negara yang berani dan kuat sahaja mampu berbuat begitu, kuat dari semua sudut terutama ekonomi dan ketenteraan.
Pada 22 September 2014, Bernama melaporkan jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Myanmar dari Januari hingga Julai 2014 sebanyak RM2.03 bilion berbanding RM1.34 bilion bagi tempoh sama pada 2013.
Jumlah eksport Malaysia ke Myanmar bagi tujuh bulan pertama 2014 meningkat 72.4 peratus kepada RM1.67 bilion.
Apakah makna di sebalik fakta ini?
Adakah Najib terikat dengan angka-angka di atas sehingga mempengaruhi langkah dan tindakannya dalam isu ini?
KATA PEDANG: Umat Islam ibarat satu tubuh. Bantulah mereka sedaya upaya.
No comments:
Post a Comment