Friday, June 05, 2015

Sanggup bunuh, tanam anak sendiri: Di manakah kasih sayang ibu bapa?


SEDIH saya membaca berita mayat seorang kanak-kanak ditemui tertanam di lantai dapur di sebuah rumah di Kepong baru-baru ini.

Berikutan itu, sepasang suami isteri ditahan reman bagi polis menjalankan siasatan lanjut.

Menurut cerita jiran kepada pasangan itu, mustahil orang lain yang membunuh dan menanam anak itu di dapur rumah sewa mereka.

Walau bagaimanapun, kita serahkan kepada pihak berkuasa menyiasat dan menjatuhkan hukuman kepada pesalah jenayah itu.

Di manakah kasih sayang?

Persoalan yang ingin saya timbulkan ialah di manakah kasih sayang seorang ayah dan seorang ibu.

Sebagai seorang bapa, saya juga pernah memarahi anak-anak jika mereka melakukan kesalahan.

Namun, marah ketika itu bukanlah untuk menyakitkan, jauh sekali untuk mendera atau mencederakan anak kecil yang belum faham apa yang betul, apa yang salah.

Jika marah sampai ke tahap membunuh, saya tidak tahu jenis apakah ibu bapa begini.

Belajarlah ilmu keibubapaan. Belajarlah mengenai tahap perkembangan anak-anak.

Mereka memerlukan bimbingan, kasih sayang, nasihat, motivasi, teguran untuk membesar menjadi manusia yang baik.

Kawal diri apabila marah. Lakukan sesuatu bagi mengelakkan kemarahan sama berulang.

Jika anak suka menangis dan membuat bising, mesti ada sesuatu yang mereka ingin sampaikan.

Mereka mahukan perhatian, mahu kita bermain bersama, mendengar luahan hati mereka dan banyak lagi isyarat yang mereka mahu kita fahami.

Ingatlah, anak-anak adalah permata hati ibu bapa. Jagalah mereka sebaiknya.

Kita tak mahu menjadi negara maju dari sudut ekonomi dan taraf hidup, tetapi nilai-nilai kemuliaan dalam institusi kekeluargaan miskin mengalahkan haiwan-haiwan di hutan.

KATA PEDANG: Zaman sekarang dah macam-macam kes berlaku. Datuk rogol cucu pun ada. Bila jauh daripada agama, beginilah jadinya.

No comments: