Wednesday, June 10, 2015

‘Talak’ dan ‘talqin’ untuk DAP (Siri 2)

AWAL-AWAL lagi selepas berakhirnya muktamar, Timbalan Presiden PAS yang baharu Tuan Ibrahim Tuan Man, yang tergolong dalam kumpulan pro-ulama membuat pendirian tidak mahu bekerjasama dengan UMNO.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai membalas pelawaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk berbincang dengan PAS demi kepentingan umat Islam, dan kerjasama itu tidak semestinya dilakukan menerusi kerajaan perpaduan.

Memang benar jika Najib dilihat cuba menangguk di air keruh seperti yang didakwa Tuan Ibrahim.

Akan tetapi, masyarakat majoriti Melayu Islam sememangnya mahu kedua-dua parti itu bekerjasama demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Ini suara hati orang Melayu yang tidak boleh diketepikan mudah-mudah oleh kumpulan yang dipanggil ‘ulama’ PAS.

Mengikut Kamus Dewan, ulama bermaksud orang yang ahli dalam hal atau dalam pengetahuan mengenai agama Islam. Sudah pasti ‘ulama’ dalam Pas juga bertaraf demikian yang boleh membezakan mana satu hubungan yang boleh mengancam dan memudaratkan Islam.

Kita melihat kerjasama mereka dalam pakatan rakyat, khususnya dengan parti rasis DAP sememangnya boleh mengancam dan mendatangkan mudarat kepada Islam, berbanding kerjasama dengan umat Islam dalam UMNO sendiri.


Sehubungan kitu, kita menggesa kerjasama yang didasarkan atas rasa insaf terhadap realiti Islam dan Melayu di negara ini seharusnya direalisasikan oleh kedua-dua parti itu.

Cukuplah PAS dilihat membisu dan lemah di bawah telunjuk DAP apabila timbul isu-isu Islam dan Melayu selama ini, selain diperkudakan parti rasis dan cauvinis itu.

Musuh Islam berani mengasak dalam isu-isu Melayu Islam kerana mereka tahu pemimpin politik PAS dan UMMO tidak akan melawan, apatah lagi mahu menutup mulut orang yang mencabar Melayu Islam.

Keadaan ini telah berlanjutan dalam tempoh yang lama. Kita yakin pada masa depan, banyak lagi isu akan timbul dan natijahnya akan berpihak kepada kumpulan anti-Islam dan anti-Melayu.

Jika PAS belum bersedia bekerjasama dengan UMNO dalam apa jua bentuk demi kepentingan Islam dan Melayu, maka tiada benda yang baharu dalam PAS pasca muktamar.

Kumpulan parasit berjaya dibuang, tetapi cara berpolitik dan pemikiran lama masih tidak berubah. Hubungan dengan DAP mahu diputuskan, tetapi masih alergik untuk duduk semeja dengan UMNO demi Islam dan Melayu.

Jika sudah talak tiga tapi masih tinggal sebumbung dengan si kafir DAP, mengapa tidak dengan UMNO yang masih Muslim?

KATA PEDANG: Jadikanlah perkara dasar sebagai asas berpolitik, menguruskan perihal dunia dan akhirat rakyat. Kita tetap optimis dengan kumpulan ulama PAS jika mereka memimpin berdasarkan ilmu dan fakta.

No comments: