Friday, December 24, 2010

Perkongsian Setahun Selepas Berkahwin



Perasaan Mereka yang Berperasaan

Celik pejam celik sudah setahun saya mendirikan rumah tangga. Bahagia rasanya. Alhamdulillah segalanya adalah nikmat kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Terdetik di hati untuk berkongsi dengan pembaca apa yang saya rasakan, moga-moga bermanfaat kepada yang sudah berkahwin atau belum berkahwin ataupun yang sedang berurusan untuk berkahwin.

Saya rasa antara perkara yang berubah selepas berkahwin ialah perasaan. Ya. Saya kini sudah semakin berperasaan. Jika dulu semasa bujang, tidak kisah sangat. Teringat pesanan seorang ustaz, dia bersyarah tentang anak. Katanya, anak itu meskipun menyebabkan kita tak tidur malam, sibuk memikirkan tentang anak itu, namun sebenarnya anak itu melahirkan rasa kasih dan sayang. Ia mewujudkan perasaan sebagai seorang ayah!

Tidak dinafikan, selepas berkahwin saya baru mengenal erti cinta dan sayang. Tanda sayang ialah teringat selalu. Tidak tenang apabila si kekasih tidak tenteram. Tercari-cari di mana bayangnya. Jika membuat sesuatu untuk yang tersayang, saya akan berusaha untuk lakukan yang terbaik. Itulah antara tanda cinta.

Ia membuat saya terfikir, bagaimana pula cinta saya dengan yang Maha Esa? Apakah usaha saya demi agama ini? Adakah saya benar-benar sayang kepada saudara seakidah sehingga saya sanggup berkorban untuknya?

Hadaf Kita Kahwin

Inilah yang terpenting dalam perkahwinan. Kenapa kita berkahwin? Soalan ini semestinya ada jawapan. Dengan mudah saya dan isteri menjawab, kerana dakwah kami berkahwin. Semestinya kerana dakwah. Dakwah yang menemukan kami. Dakwah yang memahamkan kami tentang agama ini. Dakwah yang menerangkan tugas dan peranan kami suami isteri. Dakwah yang mengekalkan cinta kami.

Sememangnya bahtera rumahtangga penuh dengan pelbagai ujian. Ombak besar wajib tiba. Cuma tunggu masanya. Kadang-kadang, angin ribut turut menyapa. Namun nakhoda kapal yang faham akan tabiat belayar, tenang hatinya dan sabar menempuh segala.

Manakan tidak, dua dunia berbeza hidup bersama. Seorang dari planet lain, seorang lagi dari dunia lain. Sudah pasti ada yang tak kena. Jika diikutkan emosi, semua serba tak kena. Sebagai lelaki ketua keluarga, berhati-hati, jangan membabi buta.

Tanyalah balik, kenapa kita kahwin ye? InsyaAllah semuanya menjadi reda sedia kala.

Petua Orang yang Baru Setahun Berkahwin

Jika bergaduh, bersabar.

Jika berulang lagi perkara yang sama yang menyebabkan gaduh, bila dah reda, bawa berbincang. Fikirkan bersama bagaimana nak elakkan kita bergaduh lagi.

Senyum jika pasangan membuat perkara yang kita tak suka. Sebelum tu, beritahu dia kita tak suka sekian-sekian perkara. Jika dia buat juga, lihat dalam-dalam matanya dan lemparkan senyum manis padanya. InsyaAllah itulah detik yang paling indah. Confirm si dia akan malu-malu lalu meminta maaf.

Jika kita yang bersalah, mengakulah bersalah. Tiada masalah pun kalau mengaku salah. Tiada siapa yang sempurna. Belajarlah dari kesilapan.

Jika anda harapkan sesuatu daripada teman anda, contohnya nakkan dia menjadi mujahidah agama ni, gunakan taktik doa. Selepas solat berjemaah atau selepas membaca al-Quran bersama, bacalah doa dalam bahasa Melayu. Katakan: Ya Allah, jadikan aku sebagai Mujahid agama ini, dan jadikan isteriku ini sebagai Mujahidah agama-Mu Ya Allah. Alhamdulillah, cara ini rasanya amat berkesan.

Penutup

Semoga perkongsian ini memberikan manfaat kepada semua yang membaca. Ingatlah, berkahwin itu sunnah Nabi. Membina daulah pula sunnah Nabi yang terbesar.
Tidak lengkap daulah tanpa wujudnya bait-bait muslim. Maka, “ma la yatimmu bihi wajib, fahuwa wajib”. Maksudnya, “Apa-apa yang wajib, yang tidak akan lengkap kerana sesuatu perkara, maka perkara itu pun wajib”.

Kepada pasangan-pasangan lain, marilah kita sama-sama berusaha menjadi bait muslim qudwah.
Kepada yang masih bujang dan tak berhasrat berkahwin, rancanglah perkahwinan anda. Jangan mengelak jika diajak berbincang bab kahwin.

Sekian, terima kasih.
Abu Rayyan.
Sayeda Zainab Cairo.

Thursday, December 16, 2010

makanan hati

manusia terdiri daripada 3 komponen.
hati, jasad dan akal.
akal makanannya ilmu.
jasad makanannya makanan yang biasa kita makan dan juga pergerakan badan.
manakala hati, makanannya hidayah, wahyu dan iman.

ramai orang kini sibuk mencari makanan.
puaskan nafsu dengan makanan.
tidak salah.
kerana itu fitrah.
namun, biarlah seimbang.

hati kita pun sebenarnya lapar.
dah lama kelaparan.
hampir-hampir mati dalam kegelapan.

bila tiada ketenangan, mengapa cari yg lain selain quran, zikir dan qiyam?
hati yg lapar, suapkanlah dgn makanannya yang sesuai.
carilah masa ber'uzlah, berseorangan mengingati Allah.

hiburan tidak mengenyangkan hati kita.
carilah kelas-kelas agama, kawan-kawan soleh, solatlah di masjid,
moga Allah beri hidayah buat kita.

Friday, October 29, 2010

kita tak boleh menipu diri sendiri

kalau kita buat silap, orang tak tahu, tapi kita tahu kita buat silap.
kalau kita datang lewat, orang pun datang lewat, tapi kita tahu kita tetap lewat.
kalau kita tak buat kerja, orang tak tegur, tapi kita tahu kita tak buat kerja.
kalau kita malas-malas, orang nampak kita ok, tapi kita tahu kita malas-malas.
kalau kita buat kerja last minute, orang tak tahu kita buat last minute, tapi kita tahu kita buat kerja last minute.
kalau kita buat dosa, orang tak sedar kita buat dosa, tapi kita tahu kita buat dosa.
kalau kita bertangguh-tangguh, orang pun tak tahu kita bertangguh, tapi kita tahu kita sebenarnya bertangguh.

kita lebih mengetahui tentang diri kita.
kita tak boleh tipu diri sendiri.
kita takkan berjaya tipu diri.
kita sendiri tahu, kita dah berubah atau tidak.

tapi Allah ampunkan semua dosa.
kecuali syirik.

Tuesday, October 05, 2010

dah singgah imedik.org?


gambar dr amin, myilhamz.blogspot.com.

bismillah. semalam bersama dr azmi md nor. pengerusi imedik dan pensyarah uia. pakar colorectal surgery. kelmarin, sesi beliau bersama ikhwah. saya tidak berkesempatan. semalam baru saya dpt hadir mendengar kalam beliau dalam sesi bersama akhawat. menemankan umm rayyan.

byk input yg dikongsikan. sekalipun saya seorang pelajar usuluddin. di sini saya ingin sampaikan istifadah yg boleh dikongsikan bersama. ditujukan buat seluruh pelajar medik, khas buat umm rayyan dan amin, adik tersayang.

1. medik ini hanya wasilah utk dpt redha Allah. wasilah bukan matlamat. matlamat kita hanyalah Allah.

2. perbetulkan niat. mengapa pilih medik? kerana Allah, keluarga, atau minat. paling baik, kerana Allah dan ingin menyumbang utk agama ini.

3. pakar OnG? ya, tentu sekali. ramai doktor wanita yang semasa belajarnya bercita-cita menjadi pakar OnG. ingin menyumbang utk masyarakat wanita muslimah. namun, selepas satu tempoh, cita-cita tinggal cita-cita. tidak ramai yg lepas menjadi pakar OnG, kerana sangat sibuk dan agak tough bagi seorang perempuan, pada masa yang sama seorang isteri.
bagaimanakah penyelesaiannya? sibuk kerana tidak ramai org. bila dah ramai, maka dah tak sibuk. boleh distribute tugas seorang sedikit. betul tak?
oleh yang demikian, saya menyeru umm rayyan dan rakan-rakan seangkatannya, usahalah menjadi pakar OnG kerana sumbangannya amat besar bagi umat Islam di Malaysia. Si suami sentiasa memberi dorongan dan sokongan.

4. susah sambung master dan phd? dr azmi bertanya kpd saya, susah tak ustaz nak sambung master dan phd dalam bidang ustaz? saya kata susah, 4,5 tahun. so begitu juga dalam bidang medik. susah, makan masa itu benda yang semua orang tidak dapat lari. nak tak nak, kena tempuh juga.

5. kefahaman 2 pihak, suami dan isteri. jika kedua-duanya medik, salah seorang terpaksa berkorban utk tidak menyambung master sekalipun niat itu agak menggunung. demi keluarga, si isteri terpaksa berkorban dan lepaskan si suami menyambung ke peringkat lebih tinggi. lihat, betapa hebatnya pengorbanan seorang isteri. akhirnya, dr rasyidah zaujah dr azmi berjaya juga. buka klinik persendirian di kuantan. kesimpulannya, suami dan isteri perlu saling memahami dan sedia berkorban demi mencapai hadaf dan matlamat. dr azmi dan dr rasyidah kini memang berjaya menjadi ikon doktor muslim yang dihormati.

6. kepada para ikhwah medik, tiada yang mustahil dalam dunia ini. berusahalah, kerana kita disuruh berusaha, bukan menunggu hasil datang bergolek. mulakan sesi pengajian yang baru ini utk lebih nasyat dalam pelajaran dan dakwah tarbiyah.

jzkk.

Thursday, September 16, 2010

al-insan...ashabul hajaat

sedikit perkongsian apabila membaca tafsir surah al-ikhlas...

dalam surah ini, kita akan sedar 2 hakikat.

hakikat Allah Taala.

hakikat diri manusia.

dalam ayat pertama, Allah itu Esa. أحد. (baca: Ahadun)

Esa dalam kewujudan. ertinya wujud yang paling hakiki adalah Allah sahaja.
selain Allah semuanya akan mati.
ertinya wujudnya tidak hakiki.

israel akan mati, amerika begitu juga.
harta berjuta akan habis, nyawa dicabut begitu sahaja.
yang tinggal hanya Allah yang Esa.

Esa dalam perbuatan. ertinya semua yg berlaku disandarkan pembuatnya ialah Allah sahaja. yang lain-lain hanyalah sabab atau perantara.
pembuat yg hakiki hanyalah Allah. (as-sababul awwal)

bila susah menimpa, Allah tempat mengadu.
bila senang menjelma, Allah tempat bersyukur.
kerana Allah asal segala perkara.

maka, jangan malas usaha.
jangan takut letih.
jangan takut mati.

dalam ayat kedua, Allah hanyasanya tempat bergantung.

di sini, jelas siapakah manusia sebenarnya.
ashabul hajaat.
nak itu, nak ini. sedangkan semua nikmat sudah ada di depan mata.
tetapi Allah sedia bila-bila masa menunaikan segala hasrat hamba-hambaNya.
kerana Allah ialah As-Somad.

wahai diri, kembalilah kepada Tuhanmu yang menciptakan dan menunaikan segala kehendakmu yang tidak pernah cukup!

Akhir sekali, dalam ayat ketiga dan keempat, penjelasan tentang hakikat Allah.

tidak seperti makhluk, beranak dan diperanakkan.
jika Allah beranak dan diperanakkan, maka Allah itu lemah dan lemah itu mustahil bagi Allah.

tiada satu pun setara dengan Allah. hanya Allah sahaja Tuhan yang layak disembah dan diminta pertolongan.

kesimpulan, cukuplah surah pendek ini memberi peringatan kepada kita agar terus beramal di bulan syawal selepas selesai bermujahadah di bulan ramadan.

kerana kita hamba Allah, bukan hamba ramadan.

Thursday, August 19, 2010

roh itu perlu lahir

Alhamdulillah, kita sudah pun berpuasa lebih seminggu, hampir-hampir memasuki 10 Ramadan kedua. Pelbagai perasaan bercampur-baur apabila mengenangkan hari-hari yang telah berlalu. Manis dan kurang manis. Sedih dan gembira. Lapar dan dahaga. Semuanya di atas ketentuan yang Maha Esa.

Seluruh muslimin rata-rata sibuk dengan suasana Ramadan. Bersahur, berbuka, bertarawih, membaca al-Quran, bersedekah dan sebagainya. Namun, adakah sekadar itu sahaja? Adakah kedatangan Ramadan hanya bertujuan mengubah masa makan kita dan mengubah sedikit cara hidup kita?

Tidak, bahkan tidak.

Ada roh yang perlu lahir. Roh yang menggerakkan umat ini. Roh yang mampu membuatkan muslimin itu bertahan menghadapi segala rintangan. Roh yang mengubah nasib umat ini. Roh yang berjaya membuatkan hukum Allah tertegak di muka bumi ini. Roh yang kita semua nanti-nantikan.

1. Roh Perjuangan
Jiwa orang yang berpuasa adalah jiwa pejuang. Segala godaan dunia seperti makanan, minuman dan pandangan haram ditolak semata-mata kerana Allah. Dirinya berjuang melawan pujukan hawa nafsu demi menjaga kualiti puasanya. Orang yang berjiwa sedemikian adalah pejuang bagi mempertahankan umat Muhammad ini. Jiwanya juga mampu melawan arus sekularisme dan humanisme yang mengasingkan penghayatan hidup Islam yang lengkap. Ya, umat ini sudah perlu memikirkan tentang perjuangan.

2. Roh Iman
Manusia bangkit melawan jahiliyah moden disebabkan imannya yang tinggi kepada Allah dan hari Akhirat. Iman menyedarkannya ke mana ingin dituju. Iman menjadi penimbang atau mizan antara yang baik dan yang buruk. Akhirnya, imanlah yang menjadi nadi penerus dalam kehidupan ini. Kehidupan abadi di sana nanti, imanlah menjadi penyeri.

3. Roh Kesatuan
Amalan bersedekah, mengajak teman berbuka bersama-sama adalah bukti bahawa umat ini boleh bersatu. Atas dasar yang satu, iaitu mencari redha Allah, kita melupakan segala titik perbezaan dan kita sama-sama menuju matlamat yang satu. Berjemaah ketika solat tarawih menjadi bukti keazaman umat ini untuk bersatu.

Sidang pembaca sekalian,
Ramadan ini bukan hanya sekadar amalan-amalan rutin yang kosong. Sebaliknya, ada roh yang perlu lahir. Roh tidak lahir begitu sahaja. Perlu keazaman yang tinggi. Perlu kesedaran yang tidak pernah padam. Perlu usaha berlipat ganda. Ayuh umatku, bangun dan bangkit bersama-sama roh ini membina kembali umat ini.

Friday, August 13, 2010

fikrah syumul siri 2

setiap individu muslim perlu memahami bahawa agama Islam adalah agama yang lengkap dan menyeluruh ke segenap aspek kehidupan. tiada satu bahagian pun dalam kehidupan ini yang tidak termasuk di dalam Islam. hiburan, lakonan, nyanyian, lukisan, fotografi, makanan kulinari, ekonomi, kebudayaan, sukan rekreasi, sosial kemasyarakatan, politik kenegaraan, ilmu pengetahuan dan sebagainya termasuk dalam Islam. termasuk dalam Islam bererti segala aspek tersebut tidak bercanggah sama sekali dengan ajaran Islam seperti yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Inilah yang dikatakan Islam itu syumul.

sebelum ini, tersebar di kalangan masyarakat kita satu fahaman yang bercanggah dengan fahaman Islam yang sebenar, iaitu menjuzukkan agama. mengatakan Islam itu hanya di masjid, Islam itu terletak pada pakaian serban dan kopiah dan juga jubah. Islam itu terhad pada amal-amal ibadat seperti solat, zikir, puasa dan ibadat khusus yag lain.

hasilnya, lahirlah kelompok-kelompok tertentu dalam masyarakat Islam.

golongan agamawan: sibuk dengan aktiviti di masjid hingga melupakan perjuangan menentang penjajahan. ilmu dan kitab menjadi subjek utama sedangkan umat tertindas di bawah pemerintah asing.

golongan sufi: sibuk berzikir di masjid-masjid, mungkin juga di perkuburan. alasannya, taqarrub kepada Allah. hujah mereka, masyarakat kini telah rosak, maka yang tinggal hanyalah kembali kepada Allah. sedangkan umat memerlukan mereka selaku pembimbing ke jalan yang benar.

golongan politik: mereka muslim, tetapi tidak merasakan bahawa hukum Islam itu perlu diperjuangkan. mereka memilih sekularisme. faslu din 'an daulah. pisahkan agama dengan pemerintahan negara. da' ma liqaisar liqaisar. da' ma liddin liddin. biarkan apa yang sepatutnya utk istana pemerintah hanya untuk pemerintah, biarkan apa yang sepatutnya untuk agama, hanya untuk agama. jadi golongan agamawan tidak boleh masuk campur urusan pemerintahan negara, namun golongan pemerintah mampu masuk campur urusan ibadah dalam agama. Islam hanya di masjid, bukan sebagai pemerintah.

golongan terbiar: mereka hanyut dalam kesibukan dunia. mencari rezeki demi keselesaan dunia. tiada akhirat yang menjadi destinasi yang pasti. beribadah pada musimnya. tidak jelas bagaimana Islam yang sebenarnya. merasakan diri mereka tiada kaitan dengan agama ini melainkan nama dan ibadah asas sahaja.

kesimpulannya, apabila umat Islam tidak memahami bahawa Islam itu syumul, dan mereka tidak memiliki fikrah syumul, maka berlakulah perpecahan di dalam umat Islam. perpecahan ini tidak membawa kepada permusuhan. namum yang lebih teruk ialah umat ini hilang identiti. hilang hala tuju hidup. tidak nampak ke mana ingin dituju. hidup untuk diri sendiri sahaja. terpecah-pecah, maka si musuh senang lenang mengambil kesempatan.

maka sekarang ini, bagi melawan musuh sebenar kita iaitu Yahudi dan sekutunya Amerika, umat Islam perlu bersatu. kembali kepada Islam. tiada kesatuan yang lebih kita harapkan melainkan kesatuan dari segi fikrah. fikrah syumul ini akan menyatukan kita.

bagaimana?

seorang pekerja pelantar minyak rasa bertanggungjawab semasa menjalankan tugas apabila dia memahami bahawa Islam amat mementingkan kekayaan negara Islam. sudah sampai masa negara Islam berdiri di atas kaki sendiri dalam aspek ekonomi.

seorang ahli musik, berusaha menghasilkan lirik-lirik lagu terbaik bagi menghiburkan muslimin yang lain. kerana dia faham, tiada salahnya dalam berhibur selagi tidak melanggar adab-adab Islam. Nabi dan sahabat juga saling berbalas syair semasa menggali parit sebelum perang khandak. dengan itu, semangat mereka bertambah dan kerja-kerja berat itu dirasakan amat ringan sekali.

seorang penulis blog, semakin tekun dalam penulisannya kerana dia yakin setiap kalimah peringatan yang ditulisnya akan diambil manfaat setiap mata yang membaca. jadilah dia seperti penulis-penulis terkemuka ulamak silam seperti imam malik, imam nawawi dan imam syafie. ilmu mereka amat bermanfaat buat generasi selepas mereka.

maksudnya, masing-masing tekun dalam bidang masing-masing tetapi mereka menjuruskan matlamat mereka masing-masing adalah demi memperjuangkan agama islam. semuanya ada manfaat utk agama ini.

tugas kita mengumpulkan orang, bukan memecahkan umat dengan membeza-bezakan latar belakang yang pelbagai.

mungkin lebih praktikal jika diberikan contoh yang lebih hampir kepada kita. selaku muslim yang memahami Islam itu syumul, saya solat kerana Allah suruh. sya berbuat baik kpd ibu bapa juga kerana Allah suruh. saya bersungguh-sungguh dlm pelajaran juga kerana Allah suruh. saya berehat selepas belajar dengan bersukan dan beriadah, dengan niat agar dikurniakan kesihatan badan, dengan ini saya mendapat pahala.
saya menyimpan wang belanja bulanan kerana merancang masa depan, dengan ini juga saya mendapat pahala. mengapa? kerana saya merancang masa depan saya untuk masa depan Islam juga. pendek kata, dalam segenap aspek kehidupan saya niatkan untuk Islam. pada masa yang sama, saya mengamalkan cara hidup Islam. bukan hanya di masjid, bahkan sepanjang hari saya di rumah, universiti dan di tempat kerja. kerana saya faham islam itu syumul...

semoga Allah menjadikan kita golongan yang beramal. jadikan kita golongan yang perbuatannya mendahului percakapannya ataupun tulisannya.

***selamat berpuasa***

Monday, August 02, 2010

fikrah syumul

dalam usul pertama dalam usul isyrin (usul 20) tulisan al-banna, fikrah syumul adalah fikrah yg perlu diimani oleh semua muslim tak apa jua latar belakangnya.

islam yang kita pegang ini dan perjuangkan ini sifatnya syumul iaitu menyeluruh (komprehensif) ke segenap aspek kehidupan. dalam usul tersebut al-banna menjelaskan bahawa islam adalah sistem yang meliputi semua aspek termasuklah ekonomi, pertahanan, politik, akidah dan ibadah.

mudahnya, semuanya ada dalam islam.

timbul persoalan, bagaimana nak memahamkan masyarakat bahawa islam itu syumul?
mungkin ada soalan yang lagi penting, mengapa masyarakat perlu faham bahawa islam itu syumul? apakah kesannya jika masyarakat faham islam itu hanya meliputi 1/2 sudut dalam kehidupan ini?

nantikan jawapannya dalam post akan datang.

*selamat menyambut bulan ramadan yang mulia*

Sunday, July 25, 2010

5 Minit bersama Ammu Abdel Aziz

Petang itu, usai solat Asar di Masjid 3 Soff, saya gerak kembali ke rumah yang terletak tidak jauh dari masjid itu. Sambil melintasi kilang perabot kayu, saya terlihat 2 kanak-kanak sedang mengisi abuk-abuk kayu ke dalam guni besar. Mungkin untuk dijual semula kepada orang lain. Pernah saya lihat sebelum ini, abuk-abuk kayu itu dibeli oleh Arab ‘bengkiaq’ yang menunggang kereta keldai. Timbul satu persoalan, adakah kanak-kanak itu dipaksa bekerja oleh bapa mereka, atau pun mereka bekerja secara sukarela untuk membantu meringankan beban keluarga di cuti musim panas ini?

Setibanya di pintu masuk bangunan rumah, saya melihat Ammu Abdel Aziz sedang duduk-duduk memerhatikan pemuda Arab lain menyiapkan almari kayu di kedai kayu seberang jalan. Maka berlakulah dialog ringkas yang penuh bermakna antara saya dan Ammu Abdel Aziz.

Os: Izaika Ya Amm? Apa khabar Wahai Pakcik?
Ammu: Hamdillah quais. Alhamdulillah baik.
Ammu: Wenta izai? Quais? Awak pula bagaimana? Ok tak?
Os: Hamdillah bi kher. Alhamdulillah baik saja.
Os: Fi musykilah? Ada masalah ke?
Ammu: Lak ma fish! Musykilah wahsy. Tak de masalah. Masalah itu sangat teruk. (Aku tak suka masalah)
Ammu: Aiz hagah? Kau nak aku tolong apa-apa?
Os: Lak syukron. Takde terima kasih.
Os: Fi Akhbar gadid? Ada apa-apa berita baru?
Ammu tergelak lalu menjawab: Lak ma fish. Bakda usbu’ a’khuz fulus, kullu zai ‘adi. Wannas ruh wa gai. Wa kedah yakni. Zai ‘adi. Takde apa berita baru. Minggu depan aku dapat duit upah. Semuanya seperti biasa. Orang datang dan pergi. Jadi macam tu lah nampaknya. Macam biasa.
Ammu: Nahardah kam sab’ah? Hari ni, berapa haribulan tujuh?
Os: Ennahardah khomsah wa isyrin sab’ah! Hari ni 25 julai.
Ammu: Toib. Usbuk li gai a’khuz fulus. Baiklah. Minggu depan aku ambik duit upah.
Os: Masy ya Amm. Agiblak usbuk li gai. Mumkin ana atlak fok? Baiklah wahai pakcik. Aku bayar minggu depan. Boleh aku naik atas? (Balik rumah)
Ammu: Masy, faddol. Salam alaik. Baiklah, silakan. Assalamualaikum.
Os: Wa Barokat. Waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Demikianlah dialog saya 5 minit bersama Ammu Abdel Aziz. Beliau merupakan lelaki tua yang sudah berumur lanjut tetapi masih kuat menjalankan tugasnya selaku ‘Bawwab Imarah’, iaitu jaga bangunan rumah kami. Semasa mula-mula perkenalan dulu, beliau bercerita bahawa beliau pernah ke 3 buah negara Arab lain iaitu Arab Saudi, Iraq dan Jordan kalau tak silap. Menurut beliau, negara Mesir adalah yang paling baik.

Perkara yang menjadi fokus saya ialah, Ammu Abdel Aziz bekerja seperti biasa setiap hari. Cukup akhir bulan, dia akan mengutip upah daripada setiap penghuni bangunan. 20 genih sebulan. Kerjanya mudah, cuci tangga, jadi jaga pada waktu malam dan siang, kunci pintu waktu malam, menjadi tukang beli barang jika Makcik Tingkat 5 minta tolong beli barang di kedai. Akhirnya, itulah rutin harian, mingguan dan bulanan bagi beliau.

Sekadar renungan bersama, adakah untuk itu sahaja kita dicipta Allah? Bekerja, berkeluarga dan menikmati kesenangan dunia yang fana ini? Apakah seorang Muslim itu tiada matlamat besar yang ingin dicapai?

Allah berfirman di dalam Surah Az-Zariyat ayat ke 56,
‘Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepadaKu’.

Maksud ibadah ialah tundukkan diri patuh kepada arahan Allah. Melaksanakan arahan, tinggalkan larangan kerana taat dan cinta kepada Allah. Ibadah itu sebenarnya bersifat syumul, menyeluruh. Tidak terhad kepada ibadah fardu semata-mata. Hamba Allah yang baik ialah mereka yang menjadikan seluruh kehidupannya hanya untuk Allah. Pendek kata, belajar dan bekerja mencari rezeki pun dikira ibadah sekiranya diniatkan mencari redha Allah semata-mata.

Hamba yang baik juga ialah manusia yang berusaha mengajak manusia yang lain beribadah kepada Allah. Tidak cukup hanya dirinya yang beribadah siang dan malam, melaksanakan kewajipan namun orang di sekelilingnya hanyut dan leka dengan dunia, akhirnya tidak berjaya menjadi hamba Allah seperti yang Allah ingini. Seperti mana kita mahu diri kita mendapat redha Allah, begitu juga kita mahukan sahabat, keluarga dan masyarakat kita diredhai Allah.

Allah berfirman dalam Surah Al-Anfal ayat ke-25,
‘Dan takutlah fitnah (musibah) yang tidak hanya menimpa mereka yang membuat kezaliman’.

Allah menyeru mereka yang beriman dan beramal soleh supaya mengajak orang lain yang melakukan kezaliman dan kejahatan akibat kelalaian kepada Allah dengan memberi peringatan bahawa akan datang musibah dan fitnah yang akan menimpa semua orang termasuk orang yang soleh. Ini adalah kerana mereka yang baik itu, langsung tidak menegur orang jahat dan tidak mengajak mereka ke arah kebaikan.

Akhir kalam, semoga kita menjadi mereka yang jelas matlamat dan tujuan hidup agar tidak tergolong menjadi mereka yang mengulangi rutin kehidupan dunia tanpa mendapat redha dan rahmat Allah. Jadikan diri sebagai daie, berusaha mengajak diri sendiri dan manusia lain menuju kepada Allah.

Wednesday, July 21, 2010

hakikat cinta



Ya Allah, ampunkan dosa2 kami,
kami ini sangat hina dan berdosa,
kami datang kepadaMu menyerah jiwa dan hati kami..

Ya Allah diri ini terlalu lemah dan tak berdaya,
ku pohon kepadaMu pinjamkan kekuatan,
kurniakan taqwa dan kesabaran,
tidak mampu untukku menongkah arus ini tanpaMU,
jangan tinggalkan diri ini walaupun hanya kerlipan mata cuma...

Ya Allah perelokkan akhlakku,
jauhkan jasad ini, lidah ini bahkan hati ini dari segala yang keji,
bantulah aku untuk menggapai redhaMU,
mencari cintaMU,
moga selamat diri ini menuju pelabuhan akhirat.

Ya Allah,
janganlah kau jadikan cinta manusia lebih kudambakan,
janganlah ada cinta manusia yang bertakhta di hati sanubari ini
lebih dari cinta dan kasihku padaMU,
aku serahkan hati ini padaMU,
ku yakin terubat segala kelukaan,
ikhlaskan segala amalan2 ku hanya untuk capai redhaMU.

-cintasayeda-

Saturday, June 26, 2010

isra' mikraj 27 rejab

sedikit perkongsian berkenaan khutbah jumaat semalam. walaupun sebelum ini khutbah khatib itu agak kurang menarik, tetapi kali ini khutbah seringkas 40 minit itu amat bermakna.

dalam permulaan khutbah, khatib mengatakan bahawa kisah isra' mikraj ini mengandungi jawapan berkaitan masalah umat Islam. umat kini sedang sakit, moga kisah ini dipelajari dan diambil teladan agar umat berubah menjadi lebih baik.

Isra' mikraj berlaku selepas 10 tahun kenabian. Ketika itu, Nabi Muhammad menghadapi tentangan yang hebat daripada puak kuffar.

Di dalam ayat pertama Surah Al-Isra', kalimah Masjidil Haram disebut Allah sebagai isyarat bahawa Allah akan membebaskan Masjidil Haram daripada sebarang kesyirikan sedangkan ketika itu, sekeliling Kaabah dipenuhi berhala musyrikin.

Masjid Al-Aqsa juga akan bebas daripada sebarang cengkaman kaum kuffar kerana ia adalah tempat yang suci dalam Islam.

Selaku Muslim kita mesti yakin dan rasa gembira kerana Allah telah berjanji akan memenangkan agama-Nya. Syirik, kufur dan zalim akan hilang. Hanya yang kekal adalah keindahan Islam. Berbanggalah menjadi seorang Muslim.

Semasa dalam perjalanan bertemu Allah, Nabi Muhammad diperlihatkan aneka ragam manusia dan kemudian dijelaskan oleh Jibril perihal mereka.
Antara yang menarik untuk dikongsikan ialah:

1. Ada seorang lelaki yang di hadapannya seketul daging yang segar dan masih baru. terdapat juga seketul daging yang busuk dan sudah rosak, tidak layak untuk dimakan.
namun lelaki tersebut memilih daging busuk itu untuk dimakan. jadilah keadaan lelaki itu sangat terhina sekali. Jibril kemudian menerangkan bahawa lelaki itu adalah seorang suami yang memilih untuk berzina sedangkan dia memiliki isteri yang halal untuk digauli. hmmm, perumpamaan ini membuatkan saya lebih bersyukur kerana telah dikurniakan nikmat isteri yang halal.

2. dalam perjalanan Nabi dihidangkan secawan susu dan secawan arak dan Nabi memilih susu untuk diminum. itulah fitrah manusia, suka kepada susu dan segala yang baik-baik. jika Nabi memilih arak, maka umatnya akan memilih arak dan kerosakan. mungkin susu dan arak satu perbezaan yang amat jauh, cuba kita gantikan dengan membaca al-Quran 10 minit dan membelek pages di facebook, mana yang lebih kita suka? tentunya 10 minit membaca Al-Quran terasa amat lama berbanding sejam bersama facebook. kalau boleh semua gambar kita nak komen dan semua orang kita nak add. nilailah fitrah di dalam diri kita. masih kekal seperti dulu atau sebaliknya? ya, satu persoalan yang susah dijawab.

banyak lagi pedoman yang ada dalam kisah ini yang diterangkan oleh khatib dalam khutbahnya.

sungguh bertuah belajar di mesir kerana sumber-sumber ilmu amat mudah didapati. khutbah, kaset, majalah, radio semuanya sibuk menceritakan isra' mikraj bila tiba musimnya.

menjadi tugas seorang daie kita mengkaji semula daripada sumbernya yang asli dan kemudian menyampaikannya kepada kawan-kawan semuanya.

wujudkan projek isra' mikraj di dalam rumah. puasa rejab, tonton video palestin, qiyamullail bersama, iktikaf di masjid, membaca sirah Nabi, memberi hadiah, ziarah rumah, jadikan status ym berkaitan isra' mikraj dan lain-lain lagi.

mulakan dengan diri kita nescaya orang lain akan mengikut jejak kita.

Tuesday, June 22, 2010

negara islam boleh maju tanpa judi

berita ini bukan berita biasa.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/DewanRakyatkecohWeeungkit__8216_fatwa__8217_NikAziz/Article/

mari kita berkongsi pendapat dan idea:

1. berhubung kes judi bola yang mendatangkan keuntungan berjuta-juta, namun hasil yang haram tetap haram. amat wajar kita menentang wujudnya lesen judi bola yang dibenarkan kerajaan.

2. negara islam yang kita fahami ialah negara yang rakyatnya tunduk dan patuh kpd undang-undang islam. mengamalkan islam dalam kehidupan.

3. halal itu jelas, begitu juga yang haram. alasan menguntungkan tidak boleh mengaburi kefahaman kita tentang halal dan haram. hidup bersederhana dan diredhai Allah lebih disukai daripada hidup mewah dan dilaknat Allah dan seisi bumi.

4. Perlu rujuk semula apakah yang dimaksudkan oleh Tuan Guru Nik Aziz. tidak boleh berqias begitu sahaja tanpa ada penjelasan yang meyakinkan.

5. mizan kita perlu sama dengan mizan al-quran. pertimbangan halal dan haram, bagaimana majukan negara dengan cara yg terbaik.

6. malaysia boleh maju jika semua rakyatnya mengamalkan ajaran islam. cukuplah zakat sebagai jalan penyelesaian. tetapi apabila umat sudah jauh drp islam, apa lagi yang kita harapkan drp ideologi2 dan teori2 rekaan manusia? tiada manusia yang menjadikan dirinya sendiri, apatah lagi rezeki makan minumnya. semuanya drp Allah, dan islam adalah yang terbaik kurniaan Allah.

7. umat islam perlu bangkit dengan projek sendiri tanpa mengharapkan orang lain atau menumpang projek orang. al-quran di tangan kanan manakala as-sunnah di tangan kiri. byk tugas yang menanti kita.

8. namun seruan ini hanya menjadi sekadar seruan tanpa ada perubahan dalam diri sendiri. mereka memilih judi kerana telah terbukti di hong kong dan singapura. mereka menolak islam kerana tiada bukti zakat menyelesaikan masalah kemiskinan dan ekonomi di mana-mana negara islam.

9. ayuh mulakan dengan diri. buat tabung simpanan peribadi. tabung nak naik haji. tabung nak sambung master. tabung nak berkeluarga. tabung nak sambut cahaya mata.

10. rancanglah projek sekolah islam, tadika islam, tv islam, dan lain-lain projek yang ada cop kita.

11. segalanya bermula dalam diri kita.

Monday, June 21, 2010

matahari dan seumpamanya...

islam umpama matahari menerangi alam.
cahaya islam terang seperti terangnya cahaya matahari.
keluarkan manusia daripada kegelapan jahiliyah kepada nur islam.

daie atau pendakwah umpama matahari.
di kala umat sedang tercari-cari arah panduan,
daie hadir membawa sinar kehidupan.
semua orang perlukan daie, sepertimana semua perlukan matahari.

al-quran juga umpama matahari.
menghidupkan hati umpama matahari menghidupkan seisi bumi.
sinarnya menusuk ke hati.
tiada lagi benci.

islam hebat umpama matahari.
sekalipun diserang, diuji namun islam tetap berdiri.
kerana serangan kuffar umpama hembusan si anak kecil yang mahu memadamkan panasnya si matahari.

orang islam juga umpama matahari.
berpijak di kaki sendiri.
tidak perlukan cahaya bulan bahkan dialah pembekal cahaya buat bulan.
segala potensi digali.
buat warisan anak generasi.

ahli ilmuan umpama matahari.
ilmu dicari tanpa henti.
ilmu dicurah setiap hari.
jadilah manusia kenal Ilahi.

tidak hairanlah di dalam juz 30 Allah banyak kali bersumpah demi matahari.
amat hebat ciptaan Allah yang bernama matahari ini.
semoga kita menjadi umat yang berfikir dan mentafsir kejadian alam ini.
akhirnya, kenal diri sendiri lalu tunduk dan patuh kepada Allah, Pencipta alam ini.

Tuesday, June 15, 2010

Gambaran Sebenar tentang Jihad

Bismillah.
Berikut adalah antara isi penting yang dipetik daripada buku Al-Jihad Fil Islam karangan Ustaz Muhammad Syadid terbitan Muassasah Ar-Risalah cetakan ketujuh pada tahun 1985M.

Pendahuluan.
Jihad pada 2 zaman; Makki dan Madani.
Setiap zaman ada bentuk jihad tersendiri.
Di Mekah, Nabi Muhammad berhadapan dengan orang kafir musyrikin.
Manakala di Madinah, musuh Islam terdiri daripada kalangan Yahudi, Rom, Parsi dan Arab musyrikin yang tinggal di Mekah.

Bahagian Satu.
Jihad di zaman Makki.
Ada dua jenis jihad; Jihad Dakwah dan Jihad Tarbiyah.

Jihad Dakwah
Ada 4 poin penting.
1. Mengapa diutus Nabi Muhammad?
Umat Arab ketika itu dinamakan Arab Jahiliyah. Tidak kenal Tuhan. Lalu diutus Nabi Muhammad membimbing mereka ke jalan yang benar.
2. Mengapa diturunkan bersamanya Al-Quran?
Sebagai panduan dan perlembagaan sepanjang zaman. Mukjizat.
3. Mengapa Risalah Islam perlu disebarkan?
Kerana Islam adalah jalan penyelesaian.
4. Pertembungan di zaman Mekah:
- Pertembungan akidah ( musyrikin dan ahli kitab).
- Pertembungan kebebasan berfikir.
- Pertembungan kesamarataan di dalam masyarakat.

Senjata Golongan Musyrikin Mekah
1. Dakyah-dakyah yang menyesatkan. Hujah-hujah yang mengelirukan.
2. Tawaran-tawaran keduniaan. Harta dunia, kemuliaan, kerajaan, wanita dll.
3. Seksaan pedih yang mengazabkan.

Senjata Dakwah Islam
1. Al-Quran.
2. Keperibadian akhlak mulia Rasulullah.

Jihad Tarbiyah
Ada 3 poin penting.
1. Pentarbiyahan fikrah ‘alamiyah (universal).
2. Pentarbiyahan jiwa.
3. Pentarbiyahan akhlak.

Bahagian Kedua.
Jihad di zaman Madani.

Jihad Menyusun Atur Masyarakat Madinah
Mentadbir negara, menjaga hubungan dengan rakyat yang bukan Islam.

Jihad di Jalan Allah
Turunnya ayat memberi izin untuk berperang. Bermula siri-siri peperangan seperti Badar, Uhud, Tabuk dan lain-lain. Jihad jenis ini sahaja yang dikenali oleh umat Islam sekarang. Berjuang melawan musuh Allah. Bertujuan menyampaikan Islam.

Adab-adab Berperang.

Penutup.
Kefarduan Jihad. Umat Islam kesemuanya diwajibkan berjihad. Besar ganjaran bagi mereka yang berjihad.

***Semoga kita faham erti jihad dengan lebih luas. Belajar dan cemerlang dalam peperiksaan adalah jihad. Ikut tarbiyah juga dinamakan jihad. Sebarkan dakwah dengan akhlak juga termasuk dalam jihad. Belajar, faham dan hafal Al-Quran pun jihad. Inilah kepentingan belajar sirah Nabi. Semoga semua mendapat manfaat. Jzkk.

Thursday, June 10, 2010

dengarlah os bercerita...

khas buat mereka yang sedang bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan.
dengar sini saya nak bercerita.

cerita ini berlaku di dalam gua. kisah ini saya dan kawan-kawan pernah lakonkannya semasa hari penyampaian hadiah di sekolah rendah.

ada seorang budak yang nakal. suka bermain. malas belajar. akhirnya dia dimarahi oleh bapanya. kenapa malas belajar? budak itu pun bertanya pada dirinya. mengapa aku malas belajar? adakah aku seorang yang bodoh? ternyata, aku memang malas belajar. aku rasa, malas telah menjadi sikapku yang tidak boleh diubah. biarlah satu dunia marah. aku tetap akan malas.

sikap malas itu makin menjadi-jadi. dia hanya bermain-main. buku teks dan buku latihan dibiarkan bersepah. tiada gunanya kerana dia memang malas belajar. dia rasa dah memang menjadi lumrah kehidupan dia dilahirkan sebagai seorang yang malas. kenapa perlu berubah? kalau pun nak berubah jadi rajin, boleh ke jadi rajin? budak itu berbisik di dalam hatinya.

satu hari, disebabkan kemalasan yang melampau, bapanya marah lagi. akibat tidak tahan dengan kemarahan bapanya, budak itu lalu keluar lari dari rumah. huh, bagaimana nak jadi rajin? boleh ke jadi rajin?

selepas berjalan begitu lama, budak itu terjumpa sebuah gua. setelah diperiksa, gua itu selamat dijadikan tempat berteduh. namun, terdapat air menitis dari syiling gua ke lantai gua. satu demi satu air menitik. budak itu lalu memerhatikannya. satu demi satu. satu demi satu. satu demi satu.

selepas beberapa tempoh melihat air itu turun menitik, budak itu melihat kesan lekukan yang terdapat di lantai gua hasil titikan air tadi.
subhanallah.
titik demi titik akhirnya memberi kesan yang amat besar kepada lantai gua yang keras itu. budak itu kemudian menangis. kesal. sebenarnya, tiada yang mustahil di dalam dunia ini.

semuanya perlukan usaha. sedikit demi sedikit. lama-lama jadi bukit. kalau nak jadi rajin dan pandai, tentu sahaja boleh. tetapi syaratnya, sedikit dan berterusan. jangan berhenti berusaha. budak itu pun kembali ke rumah dan mencari bapanya. budak itu meminta maaf di atas kemalasannya selama ini.

si bapa pun memaafkan anaknya itu. selepas itu, budak itu telah berjaya menjadi pelajar cemerlang di sekolahnya.

sekian, terima kasih kerana mendengar os bercerita.

Tuesday, June 08, 2010

untukmu Palestinku

Bismillah. Dengan nama Allah aku menulis.
bait-bait puisi buat mu, oh Palestin.

kisahmu pahit.
terlalu pahit untuk dibaca.

namun sejarahmu nan lalu,
terlalu mulia
buat pedoman anak muda sepertiku.

kepahitan rakyatmu,
amat susah untuk dikisahkan.
hanya tangisan mampu menceritakan.

kemuliaan tanahmu,
hanya difahami buat mereka yang mahu memahami,
diimani oleh mereka yang mengimani,
bukan iman sekadar 'bit-tamanni'

aku pasrah.

kudrat muda ini mudah sangat menjadi letih.
sedangkan perjuanganmu tidak pernah henti.

aku sedar.
tiada kemenangan tanpa usaha.
tiada kejayaan tanpa susah sengsara.

aku bersalah.
diamku adalah peluang buat mereka.
dosa membawa neraka.
apakah hujahku di hadapan Allah, Raja segala raja.

aku punya peluang.
tangan masih bergerak.
nafas masih kuhembus.
kaki masih kulangkah.
iman masih di dada.

oh palestin!
ku sahut seruanmu.
perjuangan ini masih belum selesai.

akan ku lawan nafsu ini
bangun bertahajjud
berdoa
menangis di tikar sejadah.

akan ku sampaikan dakwah ini
billisan
biljawarih
wa kazalik bilqalb.

jangan menangis oh sahabatku di sana
aku di sini bersama mu
Allah juga bersama kita

kemenangan pasti tiba.
inna ba'dal laili fajraa.

Thursday, May 27, 2010

Peristiwa Subuh

Berikut adalah petikan cerita di dalam buku Memori Dakwah dan Daie.
Imam Al-Banna bercerita:

Ketika di Mahmudiyah, sepanjang cuti musim panas terutamanya pada pagi Subuh Jumaat kami mengumpulkan teman-teman sekampung dan kami berpecah kepada beberapa kumpulan. Kadang-kadang kami bertiga atau lebih, aku bersama-sama Akh Muhammad Afandi Ad-Dumyati dan Akh Abdul Muta'al bergegas mengejutkan orang kampung untuk menunaikan solat subuh.

Ketika itu aku amat gembira dan dapat merasai keseronokan yang amat sangat. Aku berjaya mengejutkan para Muazzin untuk melaungkan azan subuh. Dicelah-celah itu, aku sempat berhenti sejenak menikmati waktu sahur yang membeningkan hati di tebing Sungai Nil. Kemudian lantas aku bersegera menuju ke masjid dan melaungkan azan subuh serentak dengan suara-suara azan dari masjid yang lain. Jarak antara masjid-masjid terlalu dekat.

Terlintas di benak fikiranku, aku menjadi sebab hadirnya sejumlah muslimin di masjid untuk solat subuh berjemaah. Maka berhaklah bagiku pahala yang besar sepertimana sabda Rasulullah:

من دعا إلى هدى كان له من الأجر مثل أجور من تبعه لا ينقص ذلك من أجورهم شيئا

'Barangsiapa mengajak kepada hidayah, maka dia akan peroleh pahala seperti pahala mereka yang melakukannya, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala mereka'

Maka berganda-gandalah kegembiraan di hati ini setelah meneliti ganjaran yang Allah sediakan bagi mereka yang menjadi pintu hidayah kepada orang lain. Ketika di masjid aku dapati bahawa aku adalah di antara ahli jemaah masjid yang paling muda.

Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah, semoga Allah mengurniakan taufiq selamanya...

PENGAJARANNYA:
1. kepentingan solat subuh berjemaah di masjid.
2. kepentingan merancang cuti musim panas dengan baik.
3. melaksanakan amal kebaikan mestilah secara berkumpulan.
4. waktu sahur (sebelum subuh) adalah nikmat yang paling berharga.
5. mendidik masyarakat menunaikan solat subuh berjemaah di masjid adalah asas kebangkitan ummat.
6. Allah menyediakan ganjaran pahala yang sangat besar bagi mereka yang mengajak kepada kebaikan.
7. jangan tunggu tua untuk melakukan kebaikan kerana maut itu tiada baunya.
8. kita perlu usaha menyampaikan Islam sekalipun Allah yang mengurniakan hidayah.
9. kepentingan menulis dalam kehidupan daie sebagai pedoman generasi akan datang.
10. susah dah zaman sekarang ni nak jumpa orang yang jaga solat subuh berjemaah, apatah lagi yang usaha kejut orang kampung untuk bangun solat.
11. pemuda zaman ini sibuk dengan world cup, facebook, game, makwe dan sebagainya tetapi Al-Banna dan kawan-kawan sibuk kejutkan orang kampung pergi ke masjid.
12. peranan masjid dalam menyatukan orang kampung dan masyarakat.

sekian sahaja.
jumpa lagi.

'teringat pesan seorang teman ketika di asrama maktab mahmud...katanya, nak dapat kawan baik, tengok kat subuhnya. kalau ok, oklah. kalau tak ok, tak yah kawan dengan dia'

Thursday, May 13, 2010

zikrul maut = ingat mati

salam ukhuwwah.entry kali ini berkenaan zikrul maut atau pun mengingati kematian. mengapa perlu ingat mati?

hati ini dirasakan cukup keras apabila datangnya ujian atau pun musibah, hati ini masih dan kekal cenderung kepada maksiat. leka dan lalai dengan maksiat hiasan syaitan. perkara-perkara keduniaan yang kian bersarang di hati sehinggakan hati ini sudah lupa akan akhirat.

buktinya, lihatlah prestasi amal seharian yang selama ini dijaga bak menatang minyak yang penuh. qiyamullail, subuh, al-quran dan zikir ma'thurat. seolah-olah tidak memberi kesan kepada diri kerana hati ini telah dipenuhi panahan-panahan syaitan dan akhirnya pintu hidayah tertutup. sekalipun amalan harian ini diteruskan, namun dirasakan tiada ertinya. di manakah silapnya?

persoalan hati. hati ini semakin lalai dan leka. lupa Allah. lupa apakah matlamat dia dicipta Allah. apa yang berlaku di sekeliling, tidak memberi kesan apa-apa. umat semakin jauh dari islam, penindasan di palestin, keruntuhan akhlak di kalangan remaja dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang sepatutnya menjadi iktibar dan pengajaran bagi mereka yang menggelar diri sebagai daie. daie hanya sekadar pada nama. tidak bergerak. tidak membuat persiapan. amanah dilakukan sekadarnya. tidak memberi kesan. semuanya kerana hati. kotor bergelumang dengan dunia dan maksiat. makin lemah dan jika tidak dirawat segera ia akan mati. jadilah tubuh badan yang bergerak. tetapi tiada makna. seperti mayat. kata-kata dituturkan hilang dihembus angin. tidak masuk ke dalam hati pendengarnya. hati oh hati.

bagaimana nak menghidupkan hati yang mati?

lihatlah bagaimana qudwah terbaik kita mendidik umat akhir zaman dengan wasiat-wasiatnya yang amat berharga.

kisah satu:

telah meninggal seorang sahabat Nabi dan sahabat-sahabat lain memuji-muji apa yang telah dilakukan sahabat tadi semasa hayatnya. sahabat itu terkenal dengan ibadahnya yang banyak. kemudian nabi bertanya: adakah dia banyak MENGINGATI MATI? sahabat menjawab: tidak. nabi bertanya lagi: adakah dia meninggalkan syahwatnya? sahabat menjawab: tidak. kemudian Nabi bersabda: sesungguhnya sahabat kamu itu tidak mencapai pun darjat seperti yang kamu sebutkan tadi.
hadis riwayat tabrani oleh sahal bin saad as-saidi.

Nabi tidak bertanya banyak mana solat, sedeqah dan puasanya. tetapi Nabi bertanya akan perkara yang lebih penting daripada segala yang penting, iaitu MENGINGATI MATI.

kisah kedua:

telah bertanya seorang sahabat di kalangan ansar kepada Rasulullah: wahai Nabi Allah, siapakah orang yang paling bijak? jawab Nabi: orang yang paling banyak mengingati mati dan paling banyak membuat persediaan untuk mati, merekalah orang yang paling bijak. pergi dengan kemuliaan dunia dan akhirat.
hadis riwayat tabrani.

kisah ketiga:

di kalangan mereka yang bijak ini ialah hamba wanita (jariyah) kepada khalifah umawiyah sulaiman bin abdul malik. suatu hari sulaiman (ketika itu masih muda) melihat wajahnya di cermin dan timbul rasa riyak dan bongkak dalam hatinya, dan hatinya sangat cenderung kepada pangkat khalifah. lalu dilihat oleh wanita tersebut lalu wanita itu menasihatnya dalam rangkap-rangkap syair yang bermaksud:
engkau sebaik-baik harta jika engkau kekal di dunia namun sekali-kali tiada kekal bagi seorang insan, bukanlah aib apa yang ada pada diri kerana hakikat manusia itu akan fana (mati)

dengan ini, kita takkan risau dengan apa yang akan berlaku kerana penghujung hidup kita ialah mati. segala kekurangan tidak menjadi masalah. hasilnya, kita akan tenang jika selalu mengingati mati.

kisah keempat:

satu lagi qudwah yang ditunjukkan oleh rabie' bin khusaim sebagai pedoman kita bersama. beliau sentiasa mengingati mati sehinggakan beliau berkata: kalaulah hatiku ini berpisah dengan mengingati mati, maka hatiku ini akan hancur walau berpisah hanya sesaat.

kisah terakhir:

syaitan sentiasa menunggu masa hati itu leka mengingati mati. lalu abdullah bin mas'ud menasihati kita dengan kata-katanya: engkau berjalan siang dan malam dalam keadaan ajal yang hampir. amalan hanya sedikit. mati itu datang tiba-tiba. sesiapa yang menanam kebaikan, dia akan menuai kebaikan. sesiapa yang menanam kejahatan, dia akan menuai penyesalan. setiap penanam akan menuai apa yang ditanam.

kesimpulan, hati ini perlu ingat mati selalu. ikatan nafsu dan syahwat perlu dileraikan. bila ingat mati, kita akan mudah baca quran. kerana kita tahu, amalan kita amat sedikit. semoga artikel ini dapat menghidupkan hati ini dan hati-hati lain yang semakin lalai.

sekian, terima kasih.

Saturday, May 08, 2010

jom ke mesir!



ahlan2. ikhwah mesir sentiasa menerima kunjungan ikhwah isma eropah.
jangan lupa bawa buah tangan!

tahniah isma eropah kerana terlibat dalam projek kaki palsu rakyat palestin bersama aman palestin berhad.

rujuk laman web isma eropah : http://www.ismaeropah.com/

Tuesday, May 04, 2010

artikel menarik

Seruan Kebaikan buat para Mahasiswa dan Mahasiswi di Perlembahan Nil Top of Form

Bottom of Form

Daripada: Sekreteriat Jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir

Pendahuluan

Alhamdullillah. Segala puja dan puji itu hanya layak ditujukan kepada Allah, s.w.t, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang padanya makrifat akan sesuatu yang berlaku, baik sekitar pengetahuan manusia dan juga sekitar yang tak tercapai pancaindera. Puji-pujian penuh tunduk dihanturkan kepada-Nya, membesarkan Tuhan yang Maha Memahami hamba-hamba-Nya. Diiringi salam dan selawat ke atas Nabi s.a.w, yang begitu tabah dalam melayani karenah hidup di dunia. Seterusnya, berjaya membawa risalah rahmat dan kasih sayang ke seluruh jiwa manusia.

Standard Pemuda

Mahasiswa dan mahasiswi yang berjiwa besar,

Sesungguhnya, beruntunglah kita apabila terus diberikan rezeki untuk mengecapi zaman kepemudaan ini. Sela masa yang begitu signifikan dengan pengalaman-pengalaman dalam mengajar kita mengenal erti kesungguhan, semangat dan desakan emosi perjuangan.

Jika deruan semangat pemuda sudah diletuskan, sudah pasti, manusia seluruhnya akan menyaksikan tenaga dan keseriusan mereka dalam menjayakan sesuatu. Ibnu Abbas R.A, mengkhabarkan kita seputar kisah di Hari Badar, ketika mana Ar-Rasul menawarkan habuan kepada para prajurit yang banyak berjasa.


(Ar-Rasul bersabda : “Siapa yang telah melakukan sekian usaha, dan dia telah bergerak ke posisi tertentu, maka, layaklah baginya sejumlah harta rampasan perang ini”. Maka, melurulah pemuda-pemuda kepada baginda, sambil warga-warga tua kekal tidak berganjak.)

Dek kerana komposisi semangat dan kesungguhan inilah, standard pemuda telah diangkat darjatnya kepada suatu penghormatan yang tinggi. Banyak sekali kisah pemuda yang berani dan bersemangat dapat dilihat, seperti mana, yang dipilih Ibnu Abbas ini untuk dihayati bersama para pemuda generasi harapan.

(Ibnu Abbas R.A berkata : “ Allah tidak mendatangkan kepada kita seorang hamba yang berilmu melainkan ia adalah pemuda. Dan sesungguhnya, terlalu banyak kebaikan dapat dilihat pada pemuda. Kemudian, beliau membaca Kalamullah yang berbunyi : “ Mereka berkata bahawa kami mendengar seorang pemuda sedang memberi peringatan kepada mereka, di mana beliau dipanggil Ibrahim”)


Sebuah aset yang mahal, sudah pasti akan disampingkan dengan pakej yang setimpal dengannya. Jika kesungguhannya yang dikira begitu berharga, maka, sudah pasti nilai cabarannya juga begitu menduga. Jika pemuda dianugerahkan dengan kehebatan sebegitu rupa, maka, bersedialah dengan rentetan rintangan yang bakal melanda. Semua ini menguji dan membuktikan standard pemuda yang kita laungkan. Dengan kekuatan jiwa yang besar, sudah pasti para pemuda mampu bertahammul dengan apa yang menerpa.

Sekitar Isu Mutakhir

Lewat ini, para mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Perlembahan Nil ini disibukkan dengan beberapa isu mendatang. Pelbagai aspek yang diliputinya seolah-olah memaksa para mahasiswa untuk kalut dan tenggelam dalam arus yang mendatang. Kedengaran hiruk-pikuk kerisauan dalam mendepani cabaran-cabaran sebegini.

Menginsafi tanggungjawab sebagai sebuah organisasi muslim, ISMA-Mesir bersetuju untuk tampil dan hadir bagi menawarkan sekilas perspektif untuk ditanggapi bersama. Agar kita boleh terus tega berdiri di tengah-tengah badai yang mengamuk. Sambil tenang bergaya seorang pemuda dengan standard pemudanya.

Perspektif ISMA-Mesir

Mahasiswa dan mahasiswi yang berjiwa besar,

1) Sesungguhnya, setiap yang berlaku itu pastinya telah ditakdirkan Allah. Plot-plot peristiwa yang mengisi jalan ceritanya tidak lain hanyalah susunan Tuhan Yang Maha Mengasihi hamba-Nya. Seorang mukmin yang begitu tulus beriman, pasti akan melihat segala yang berlaku adalah cerminan bagi syakhsiahnya sepanjang menyelusuri kehidupan di dunia.

Jika kebaikan yang diterima, ia dianggap ujian dalam bersyukur. Jika mudarat yang ditimpa, mudah sahaja dia bermuhasabah akan dosa dan kezaliman yang dilakukan. Pemuda dan mukmin sejati akan pantas menunding jari kepada dirinya sendiri atas pengabaian hak-hak penghambaannya, apabila diuji dengan musibah.

Dalam Surah Al-Hadid (ayat 22 dan 23), Allah SWT berfirman :

(Tidak ada suatu musibah yang ditimpakan di dunia ini juga ke atas diri kamu, melainkan, ia telah ditakdirkan sebelum Kami mengizinkan ia terjadi. Sesungguhnya ia amat mudah di sisi Allah)

(Kamu ditimpa bencana supaya kamu tidak terlalu kecewa dengan apa yang telah hilang, dan tidak terlalu gembira terhadap apa yang dikecapi. Sesungguhnya Allah tidak menggemari orang yang tertipu dengan dirinya sendiri dan orang yang sombong.)

Sedikit sebanyak dipelajari dari ayat tersebut bahawa seharusnya segala musibah itu adalah suratan takdir yang semata-mata menguji sejauh mana keteguhan kita dalam mempraktiskan iman di dada. Iman diikrarkan di hati, dituturkan lisan, dan terpancar melalui amalan seharian.

2) Perselisihan dan pergeseran yang berlaku seharusnya dilayani dengan begitu lembut. Konflik dalaman dan luaran yang tercetus haruslah ditampung dengan begitu cermat. Ibarat menatang minyak yang penuh. Seperti itulah, kita begitu berhati-hati dalam mengimbanginya, agar tidak ada yang tertumpah dan mengotori denai-denai persaudaraan.

Dengan berlapang dada dan saling memahami maksud hati nurani pelbagai pihak, sudah pasti ia akan membantu menjernihkan keladak yang terkocak. Sesungguhnya, di antara sifat Ahli-Jannah adalah mereka yang begitu rendah diri dalam berlapang dada. Tidak ada yang merugikan kita, jika kita sanggup mengalah dan meraikan pelbagai pihak.

Ar-Rasul pernah mengiktiraf seorang sahabatnya sebagai Ahli Jannah, sepertimana dalam pangkal riwayat Amru Al-Asr mengenai perihal ini :

Kemudian, Amru Al-Asr tergerak untuk mengetahui rahsia sahabat Nabi tersebut. Lalu, dia menziarahinya serta mengikuti gerak laku hariaannya. Namun, tiada apa yang terlalu istimewa di kaca mata Amru Al-Asr sehingga menyebabkan dia diiktiraf sebagai Ahli Jannah. Lalu, Amru bertanyakan secara jujur kepada sahabat Nabi tersebut. Beliau pun membalas :

(Maka beliau menjawab : Amalanku sebenarnya seperti apa yang kau lihat. Cuma, sebelum tidur aku akan berlapang dada.)

Jelaslah, betapa tinggi dan besarnya impak apabila kita sudi berlapang dada dalam sekalian perkara yang dialami dan dihadapi. Kisah kelebihan sahabat Nabi ini diharap mampu menyuntik dorongan agar para mahasiswa dan mahasiswi yang melazimi standard pemuda, tetap tenang dan berlapang dada ketika mendepani konflik.

3) Islam menganjurkan etika tabayyun dalam setiap sesuatu yang kurang pasti asal-usulnya. Etika sebegini seharusnya membantu dalam mendepani serangan-serangan khabar angin ketika beriteraksi dengan konflik.

Dalam surah an-Nisa’ ayat 94, Allah berfirman:

(Wahai orang yang beriman, apabila engkau berjuang di jalan Allah, maka, hendaklah kamu mencari tabbayyun. Dan janganlah kamu pantas mengatakan kepada mereka yang melaungkan As-Salam kepada kamu, sebagai bukan mukmin.)

Begitu juga dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang berbunyi:

(Wahai orang yang beriman, apabila datang seorang fasiq kepada kamu membawa berita, hendaklah kamu mencari tabayyun. Sesungguhnya jika tidak melakukan itu, kamu akan memberi musibah kejahilan kepada kaummu sekaligus kamu pasti akan menyesali apa yang telah kamu lakukan)

Tabayyun menurut Al-Imam Asy-Syaukani adalah:

“Yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah dengan engkau mengetahui dengan jelas, tidak gopoh, dan engkau menilai apa yang berlaku dengan basiroh hingga jelas dan terang akan yang hak.”

Etika sebegini amat dituntut bagi mengelakkan anasir-anasir fitnah yang tidak diduga. Bahkan Allah menempelak golongan yang menyampaikan khabar berita dan kata-kata tanpa memeriksa akan kebenarannya sebagaimana firmanNya dalam surah an-Nisa’ ayat 83:

(Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan, mereka terus mewar-warkannya, tanpa menyerahkan perkara tersebut kepada Ar-Rasul S.A.W apatah lagi kepada pihak berwajib, dengan niat supaya orang-orang yang suka mendengar ulasannya akan tahu dari mereka.)

Ar-Rasul S.A.W juga turut mencela orang-orang yang mensensasi-sensasikan berita tanpa dipastikan status kebenaran berita atau kata-kata tersebut.

( Di dalam Syarah Al-Gharib : “ Dia memperkatakan sesuatu yang dia tidak pasti kebenarannya dan dia menyibukkan masa dan dirinya tanpa dia memastikan kebenaran apa yang dia perkatakan. ”)

4) Di musim peperiksaan ini, kesedaran akan peri-pentingnya kejayaan yang cemerlang perlu dipupuk dan saling diperkuatkan. Seharusnya, kesibukan dan isu mendatang tidak menjadi alasan untuk kita menyisihkan kecemerlangan akademik. Perjuangan kita dalam menegakkan kalimah Allah, adalah merupakan perjuangan yang holistik dan dinamik.

Ia holistik meliputi segenap aspek kehidupan termasuklah juga kecemerlangan akademik. Ia bersifat dinamik dan terus maju bergerak walau apa jua yang datang menerpa. Bukti keseriusan dalam memperjuangkan kalimah Allah seharusnya tergambar di setiap posisi. Ketika berbicara soal alam mahasiswa, sudah pasti kecemerlangan akademik bukanlah sesuatu yang dikesampingkan.

Isytiharkanlah perjuangan kita setinggi-tingginya. Buktikanlah ia di segenap perkara. Jadilah pemuda yang ikhlas berjuang di medan amal. Ayuh! Kerahkanlah jiwa kita, keringat kita dan ruh kita ke arah perjuangan. Manfaatkan kelebihan zaman pemuda ini, untuk memperjuangkan kalimah Allah. Dan sesungguhnya perjuangan meninggikan kalimah Allah itu tidaklah terlalu sempit dengan hanya tindakan radikal, malah, ia begitu cantik tariannya.

Semoga Allah memilih kita sebagai ummat yang mampu menyampaikan risalah kesejahteraan ke seluruh alam, walau hanya dengan dilihat sekecil sumbangan kecemerlangan akademik. Ketika kita mampu melakukannya, maka, ayuh lakukannya! Kita adalah pendakwah yang cemerlang.

Keanjalan dalam berpendapat

Perlu sentiasa dipersetujui bahawa, ini hanyalah sekadar perspektif yang ditawarkan ISMA-Mesir yang bertindak sebagai cadangan kepada para mahasiswa dan mahasiswi dalam mendepani isu-isu mutakhir di Perlembahan Nil ini.

Ia sama sekali tidak menolak pandangan dan telahan fikir pihak-pihak lain. ISMA-Mesir juga meraikan pendapat yang dicadangkan oleh pelbagai pihak. ISMA-Mesir turut berkongsi pendirian dengan pihak-pihak lain dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di jiwa manusia.

Pun begitu, tidak menjadi keberatan jika perspektif sebegini ditolak. Ia bergantung kepada sejauh mana kesudian mahasiswa dan mahasiswi untuk menerima. Semoga Allah menerima segala tindak-tanduk kita yang berpaksikan iman dan keikhlasan.

Dasar Keterbukaan

Mahasiswa dan mahasiswi berjiwa besar sekalian,

Ketika berinteraksi dengan segala yang berlaku, ISMA-Mesir masih lagi tetap dengan pendiriannya yang begitu menyokong gerak kerja dan amal soleh yang dianjurkan pihak lain. Sekaligus bertepatan dengan perintah Allah dalam Al-Quran yang mengajak kepada kolaborasi, sekitar medan amal soleh dan tidak pada kemaksiatan.

Kepada yang bersetuju dengan tanggapan kami, dipersilakan untuk terus beramal. Kepada yang tidak bersetuju juga, anda dipelawa terus untuk beramal. Tiada sekatan yang dibenteng bagi melemahkan usaha amal di mana-mana peringkat. Dasar keterbukaan kita seharusnya membebaskan mahasiswa dari belenggu blok-blok pemikiran, yang menjumudkan sifat dinamik serta holistik perjuangan meninggikan kalimah Allah ini.

Penutup

Marilah bersama-sama kita menyoroti keperkasaan pemuda yang mempunyai standard sebegitu agung. Marilah kita menilai kembali sejauh mana selarinya kata-kata, amal dan juga iman kita. Marilah bersama membina kekuatan secara maknawi yang dapat dirasakan gahnya, berbanding hanya mencari kelemahan yang merugikan.

Semoga kita tidak terlalu ghairah bersorak, sehingga kampung terbiar tergadai. Biarkan aur terus ikhlas memegang tebing, walau apa jua yang berlaku. Agar tidak runtuh tanah, lalu mengeruhkan sungai dan melanggar muara.

Inilah pandangan dan seruan kami, dan kami bertanggungjawab atas kata-kata ini. Allah dan Rasul-Nya menjadi saksi ke atas lafaz kami. Perkara paling penting, ialah kita semua akan mengemukakan hujah di hadapan Allah satu hari nanti. Inilah hujah dan pelepasan kami. Wahai Allah, kami telah sampaikan. Maka saksikanlah!

“Ya Allah, Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul di bawah lembayung kecintaan kerana kamu…”

Teks ini telah dikeluarkan oleh Sekreteriat Jawatankuasa Pusat ISMA-Mesir untuk sebaran pada 1 Mei 2010.

untuk teks penuh sila lawat laman web rasmi isma mesir di www.ismamesir.com.