Sunday, November 22, 2015

Isu Surah Yasin Malam Jumaat

SOALAN
Assalamualaikum ustaz, saya ada kemusykilan mengenai fadhilat Surah Yassin. Ada yang mengatakan setengahnya adalah daripada dalil yang lemah malah ada yang palsu. Contohnya, Surah Yassin adalah hati bagi Al-Quran. Ada yang kata sahih, ada yang kata palsu.
Satu lagi mengenai pengamalannya. Masa kini Yasin diamalkan setiap malam Jumaat, ketika kematian dan ketika menghadapi peperiksaan. Adakah nas-nas yang membenarkannya? Hanya inginkan kepastian dan diharapkan dapat penjelasan daripada Ustaz. Wallahuaalam.
Assalamualaikum.

JAWAPAN

PERTAMA
Surah Yasin adalah antara surah Makkiyyah (yang diturunkan di Mekah), mengandungi 83 ayat.
Surah ini membincangkan isu-isu ayat Makkiyyah seperti soal ketuhanan, balasan ke atas orang yang mendustakan agama dan soal hari Kiamat.

KEDUA
Terdapat banyak hadis yang menjelaskan kelebihan (fadilat) surah ini, kebanyakannya hadis palsu yang direkacipta. Ada juga sebahagian hadis yang bertaraf hadis dhaif. Untuk tujuan pengamalan, kita dididik agar tidak terhad berpandukan kepada hadis sohih semata-mata, malah kita dibenarkan merujuk hadis dhaif.
Berikut adalah sebahagian hadis yang sering disampaikan namun ia merupakan hadis dhaif:
1. "Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, hati bagi Al-Quran adalah Surah Yasin, barang siapa yang membacanya seolah-olah membaca Al-Quran sebanyak 10 kali."
2. "Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada waktu malam, dia akan bangun pagi dalam keadaan diampunkan dosa."
3. "Sesiapa yang selalu membaca Surah Yasin pada setiap malam lalu dia meninggal dunia, maka dia dikira mati syahid."
4. "Sesiapa yang memasuki ruang perkuburan lalu membaca Surah Yasin, diringankan (azab) bagi mereka (yang berada di dalam kubur), dan baginya (pembaca) pahala kebaikan sebanyak mana orang (mayat) yang berada di perkuburan itu."
Silakan membuat rujukan dalam kitab 'Al-Maudhuaat' karangan Imam Ibnu Al-Jauzi, kitab 'Al-Fawaid Al-Majmuah' karangan Imam As-Syaukani dan risalah yang dikarang oleh Syeikh Muhammad Amru Abdul Latif (hafizahullah) bertajuk "Hadis Qalbul Quran Yasin, wa Jumlah mimma wuriya di fadhailiha" (Hadis hati Al-Quran Yasin dalam pertimbangan, dan hadis-hadis kelebihannya).

KETIGA
Tidak ada dalil yang menyebut waktu-waktu khusus untuk membaca Surah Yasin seperti malam Jumaat, ketika kematian mahupun ketika musim menghadapi peperiksaan. Begitu juga tidak ada dalil yang melarang ia dibaca pada waktu-waktu tersebut.
Walaupun demikian, amalan tersebut sudah sinonim dengan masyarakat Melayu di negara ini, ia tidak menjadi masalah besar selagi ia tidak melanggar apa-apa hukum.
Wallahu a'lam bis sowab.
Rujukan:
http://islamqa.info/ar/75894


Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin
Usuluddin (Tafsir) Universiti Al-Azhar

Saturday, June 13, 2015

Allahumma ballighna Ramadan

KURANG seminggu lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Hadirnya ibarat tetamu yang dinanti-nanti saban tahun.

Dalam bulan ini, umat Islam akan berpuasa dan melipatgandakan amalan mulia bagi merebut pelbagai kelebihan dan ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Mengenang realiti perjuangan umat Islam di Malaysia, kehadiran Ramadan diharap menjadi ‘stesen pemulihan’ bagi hati dan jiwa pemimpin dan masyarakat.

Menjadi masa sesuai sepanjang malam untuk bermuhasabah, merenung kembali maruah Islam yang semakin dicabar, namun tidak ramai yang berani untuk tampil mempertahankannya.

Musuh Islam berani mengisytiharkan agenda jahat mereka secara terbuka, tanpa rasa takut ditegur oleh pemimpin dan umat Islam.

Sikap prihatin dan sensitif terhadap isu-isu melibatkan kepentingan dan maruah Islam mesti dikuatkan dan ia bertitik tolak daripada keimanan dan cinta kepada agama.

Kita berharap bulan Ramadan menjadi medan memantapkan iman melalui ibadah yang dilaksanakan.

Amalan sahur, puasa, sedekah, solat Tarawih dan sebagainya perlu memberi nilai tambah kepada diri, bukan sekadar menjadi rutin biasa setiap tahun.

Allahumma ballighna Ramadan. Ya Allah, panjangkan umur kami untuk memasuki bulan Ramadan.

KATA PEDANG: Ramadan adalah madrasah berharga, jangan kita mensia-siakannya.

SUMBER

Friday, June 12, 2015

‘Talak’ dan ‘talqin’ untuk DAP (Siri 4)

PARTI rasis dan cauvinis DAP sudah meluat dengan PAS, tetapi bacul untuk keluar daripada pakatan rakyat (PR). Hal ini kerana DAP akan menjadi parti yang paling rugi sekiranya PR dibubarkan.

Malah, DAP ini seperti kata Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, macam perempuan hendak meminta ‘cerai’ daripada suami.

Berdasarkan statistik PRU lalu, jika pilihan raya negeri diadakan semula di Selangor, tidak mustahil parti rasis itu akan menjadi pembangkang bersama PKR.

Ketika PRU-13 lalu, DAP hanya mendapat 17.6% undi popular berbanding PAS yang mendapat 20.75%, manakala PKR mendapat 20.01% sebaliknya BN mendapat 39.33% undi popular.

Gandingan undi popular PAS dan BN jika dijumlahkan menjadi kira-kira 60%, manakala gandingan undi popular DAP dan PKR hanya 40%.

Di Pahang, Naib Pengerusi DAP, J Apalasamy berkata, parti itu bakal kehilangan enam kerusi jika PAS keluar pakatan iaitu Parlimen Raub, DUN Bilut, Ketari, Mentakab, Sabai and Tanah Rata.

Parlimen Raub yang dimenangi oleh Datuk Ariff Sabri Abdul Aziz mempunyai 50% pengundi berbangsa Cina, manakala Melayu 40% dan India 10%.

Menurut Apalasamy, enam kerusi DAP ini dimenangi dengan bantuan akar umbi PAS.

“Tanpa PAS, kita akan kehilangan kerusi-kerusi ini,” katanya kepada sebuah portal berita.

Keadaan di dua negeri ini menjadi mimpi ngeri bagi DAP.

KATA PEDANG: DAP tidak akan berani keluar pakatan. Negeri yang dipegang bersama-sama PAS tidak mungkin dapat dipegang semula jika PAS tidak bersama.

Artikel berkaitan:


Thursday, June 11, 2015

‘Talak’ dan ‘talqin’ untuk DAP (Siri 3)

SABTU ini, Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan membuat keputusan sama ada bakal menubuhkan parti politik baru ‘serpihan’ PAS atau kekal sebagai NGO.

Ura-ura penubuhan parti telah disebut oleh Presidennya, Datuk Phahrolrazi Zawawi sebelum muktamar PAS berlangsung.

Katanya ketika itu, beliau mahu melihat dahulu bagaimana hubungan PAS di dalam pakatan rakyat (PR) selepas muktamar berakhir.

Muktamar PAS sudah berakhir, kumpulan parasit pro-DAP sudah disingkir, usul putus hubungan dengan parti rasis DAP telah diterima tanpa bahas.

Oleh itu, sesuai sangatlah PasMa bertukar menjadi parti politik baharu dan menggantikan PAS dalam PR. Lagipun, ahli PAS sudah sedar siapa ‘duri dalam daging’ yang mengkucar-kacirkan parti itu.

Memang begini keadaan yang diimpikan ramai pihak termasuk DAP sendiri. Ronnie Liu pun menyebut hal ini dalam satu status facebooknya.

Artikel berkaitan:


Parti rasis dan cauvinis DAP sudah tidak tahan dengan geng pro-ulama PAS. Nak ditunggang sudah tidak boleh.

Bagus ada PasMa, DAP boleh gunakan mereka untuk pancing undi orang Melayu Islam lagi sekali dalam PRU-14 akan datang.

Masakan tidak, PasMa tak pernah sebut nak dirikan negara Islam. Ketika ditubuhkan, Phahrolrazi berkata PasMa berdaftar sebagai NGO yang menyokong agenda PR, tiada agenda lain.

Memang sesuai untuk menjayakan agenda jahat DAP.

Untuk betul-betul kuat dan berpengaruh, kita cadangkan Phahrolrazi mempelawa dengan bersungguh-sungguh muka-muka yang kalah dalam pemilihan PAS Sabtu lalu.

Buat apa kekal di dalam PAS? Masuklah PasMa. Bila dapat undi yang terlalu sedikit, faham-fahamlah bahawa PAS tak memerlukan mereka. Lagipun, mereka dengan DAP bagai aur dengan tebing, bukan dengan parti sendiri.

KATA PEDANG: PasMa kena cepat-cepat tubuh parti, ganti PAS dalam pakatan. DAP dah tak sabar nak ‘tunggang’. Tapi ingat, akibatnya jika kita bersahabat dengan ular bisa.

Wednesday, June 10, 2015

‘Talak’ dan ‘talqin’ untuk DAP (Siri 2)

AWAL-AWAL lagi selepas berakhirnya muktamar, Timbalan Presiden PAS yang baharu Tuan Ibrahim Tuan Man, yang tergolong dalam kumpulan pro-ulama membuat pendirian tidak mahu bekerjasama dengan UMNO.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai membalas pelawaan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk berbincang dengan PAS demi kepentingan umat Islam, dan kerjasama itu tidak semestinya dilakukan menerusi kerajaan perpaduan.

Memang benar jika Najib dilihat cuba menangguk di air keruh seperti yang didakwa Tuan Ibrahim.

Akan tetapi, masyarakat majoriti Melayu Islam sememangnya mahu kedua-dua parti itu bekerjasama demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Ini suara hati orang Melayu yang tidak boleh diketepikan mudah-mudah oleh kumpulan yang dipanggil ‘ulama’ PAS.

Mengikut Kamus Dewan, ulama bermaksud orang yang ahli dalam hal atau dalam pengetahuan mengenai agama Islam. Sudah pasti ‘ulama’ dalam Pas juga bertaraf demikian yang boleh membezakan mana satu hubungan yang boleh mengancam dan memudaratkan Islam.

Kita melihat kerjasama mereka dalam pakatan rakyat, khususnya dengan parti rasis DAP sememangnya boleh mengancam dan mendatangkan mudarat kepada Islam, berbanding kerjasama dengan umat Islam dalam UMNO sendiri.


Sehubungan kitu, kita menggesa kerjasama yang didasarkan atas rasa insaf terhadap realiti Islam dan Melayu di negara ini seharusnya direalisasikan oleh kedua-dua parti itu.

Cukuplah PAS dilihat membisu dan lemah di bawah telunjuk DAP apabila timbul isu-isu Islam dan Melayu selama ini, selain diperkudakan parti rasis dan cauvinis itu.

Musuh Islam berani mengasak dalam isu-isu Melayu Islam kerana mereka tahu pemimpin politik PAS dan UMMO tidak akan melawan, apatah lagi mahu menutup mulut orang yang mencabar Melayu Islam.

Keadaan ini telah berlanjutan dalam tempoh yang lama. Kita yakin pada masa depan, banyak lagi isu akan timbul dan natijahnya akan berpihak kepada kumpulan anti-Islam dan anti-Melayu.

Jika PAS belum bersedia bekerjasama dengan UMNO dalam apa jua bentuk demi kepentingan Islam dan Melayu, maka tiada benda yang baharu dalam PAS pasca muktamar.

Kumpulan parasit berjaya dibuang, tetapi cara berpolitik dan pemikiran lama masih tidak berubah. Hubungan dengan DAP mahu diputuskan, tetapi masih alergik untuk duduk semeja dengan UMNO demi Islam dan Melayu.

Jika sudah talak tiga tapi masih tinggal sebumbung dengan si kafir DAP, mengapa tidak dengan UMNO yang masih Muslim?

KATA PEDANG: Jadikanlah perkara dasar sebagai asas berpolitik, menguruskan perihal dunia dan akhirat rakyat. Kita tetap optimis dengan kumpulan ulama PAS jika mereka memimpin berdasarkan ilmu dan fakta.

‘Talak dan talqin’ untuk DAP

BERIKUTAN kemenangan kumpulan ulama dalam Muktamar Agung PAS Ke-61 yang berakhir Sabtu lalu dan usul ‘jatuh talak’ yang diluluskan, parti rasis dan cauvinis DAP nampaknya bakal ‘diusung ke tanah perkuburan’ untuk ditanam buat selama-lamanya!

Pastinya pemimpin yang paling ditakuti oleh ahli DAP, Lim Kit Siang kini sudah hilang akal sama ada hendak menangis atau ketawa. Kerap kali apabila ditanya oleh pemberita mengenai komen orang lain terhadap DAP, Kit Siang akan menjawab, “Saya tidak tahu sama ada nak menangis atau ketawa”.

Apakah kali ini Kit Siang akan menangis atau ketawa? Namun, pastinya parti yang sombong dan pandai bermuka-muka itu kini bakal ‘memperkudakan’ kumpulan serpihan PAS yang kebanyakannya mesra dengan mereka – PasMa.

Biarpun perkataan ‘talqin’ tidak sesuai digunakan kerana rata-rata pemimpin parti rasis itu bukan Islam, tetapi penggunaannya sinonim dengan situasi parti itu yang amat takut akan perpaduan orang Melayu Islam, terutamanya apabila PAS dan UMNO bekerjasama.dap talak dan talqin

Ini kerana, apabila orang Melayu bersatu, tiada lagi ruang untuk ultra kiasu DAP memperjuangkan agenda rasis dan antinasional mereka.

Keputusan Dewan Ulama PAS memutuskan hubungan dengan mereka diibaratkan sebagai ‘bom’ yang telah meletupkan di kem perlindungan parti itu.

Agenda jahat mereka bakal mereput, jika tidak pun terkubur.

‘Kematian’ parti itu bukan disebabkan kerja jahat dan khianat orang lain, tetapi berpunca daripada lidah, tangan dan otak kotor berulat pemimpin-pemimpin parti rasis itu sendiri.

Mengapakah DAP menentang hudud Kelantan? Mengapakah DAP menentang projek Islamisasi di Malaysia? – Jawabnya: Sememangnya mereka adalah puak yang anti-Islam.

Mengapakah DAP memutuskan hubungan dengan Tuan Guru Haji Hadi? Mengapakah DAP berterusan mengutuk PAS? – Jawabnya: Mereka tidak senang dengan Haji Hadi dan pimpinan ulama PAS yang kukuh mendaulatkan Islam.

Mengapakah DAP memberi sokongan kepada PasMa? – Jawabnya: Supaya mereka senang ‘memperkudakan’ orang Melayu dan Islam.

Mengapakah DAP memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia yang mengikis keistimewaan hak Melayu dan Bumiputera? – Tepuk dada tanya selera!

KATA PEDANG: DAP memang sangat takut mati dan sedia melakukan apa sahaja termasuk perkara-perkara haram untuk survival parti. Sedangkan pejuang Melayu Islam pula berkata, pantang maut sebelum ajal!

Friday, June 05, 2015

Sanggup bunuh, tanam anak sendiri: Di manakah kasih sayang ibu bapa?


SEDIH saya membaca berita mayat seorang kanak-kanak ditemui tertanam di lantai dapur di sebuah rumah di Kepong baru-baru ini.

Berikutan itu, sepasang suami isteri ditahan reman bagi polis menjalankan siasatan lanjut.

Menurut cerita jiran kepada pasangan itu, mustahil orang lain yang membunuh dan menanam anak itu di dapur rumah sewa mereka.

Walau bagaimanapun, kita serahkan kepada pihak berkuasa menyiasat dan menjatuhkan hukuman kepada pesalah jenayah itu.

Di manakah kasih sayang?

Persoalan yang ingin saya timbulkan ialah di manakah kasih sayang seorang ayah dan seorang ibu.

Sebagai seorang bapa, saya juga pernah memarahi anak-anak jika mereka melakukan kesalahan.

Namun, marah ketika itu bukanlah untuk menyakitkan, jauh sekali untuk mendera atau mencederakan anak kecil yang belum faham apa yang betul, apa yang salah.

Jika marah sampai ke tahap membunuh, saya tidak tahu jenis apakah ibu bapa begini.

Belajarlah ilmu keibubapaan. Belajarlah mengenai tahap perkembangan anak-anak.

Mereka memerlukan bimbingan, kasih sayang, nasihat, motivasi, teguran untuk membesar menjadi manusia yang baik.

Kawal diri apabila marah. Lakukan sesuatu bagi mengelakkan kemarahan sama berulang.

Jika anak suka menangis dan membuat bising, mesti ada sesuatu yang mereka ingin sampaikan.

Mereka mahukan perhatian, mahu kita bermain bersama, mendengar luahan hati mereka dan banyak lagi isyarat yang mereka mahu kita fahami.

Ingatlah, anak-anak adalah permata hati ibu bapa. Jagalah mereka sebaiknya.

Kita tak mahu menjadi negara maju dari sudut ekonomi dan taraf hidup, tetapi nilai-nilai kemuliaan dalam institusi kekeluargaan miskin mengalahkan haiwan-haiwan di hutan.

KATA PEDANG: Zaman sekarang dah macam-macam kes berlaku. Datuk rogol cucu pun ada. Bila jauh daripada agama, beginilah jadinya.

Wednesday, June 03, 2015

Malaysia for Jesus?


RAMAI tersentak dengan slogan ‘Johor for Jesus’ seperti yang dilaungkan dalam video trailer mempromosikan satu acara agama Kristian di Johor yang akan bermula esok.

‘Johor for Jesus’ jika diterjemah menjadi ‘Johor untuk Jesus’. Perkataan ‘for’ atau ‘untuk’ memberi faham dalam konteks pemilikan. Sama seperti huruf ‘lam’ di dalam bahasa Arab, ‘Lam milkiyyah’.

Ia tidak akan membawa maksud lain melainkan ‘Johor akan jatuh ke tangan Jesus, atau penganut Kristian’, sama ada dikuasai dari sudut politik ataupun semua rakyat Johor bertukar agama majoritinya menjadi Kristian.

Kalaupun tidak ada yang masuk agama Kristian, penganut agama lain akan patuh dan taat kepada pemerintahan dan kekuasaan Jesus atau agama Kristian yang telah ‘memiliki’ negeri Johor.

Inilah yang boleh difahami daripada slogan ‘Johor for Jesus’.

Jika diselidiki lagi perkara ini, slogan yang hampir sama telah pun ada, antaranya ‘Subang for Jesus’ dan ‘Malaysia for Jesus’.

Apakah erti semua slogan ini?

Dengan mengambil semangat perpaduan dan semangat memahami agama lain, saya menghormati hak kebebasan beragama untuk penganut Kristian.

Saya tidak menghalang mereka mengadakan acara keagamaan, festival dan apa jua acara agama selagi tidak bercanggah dengan undang-undang dan penganjurannya mematuhi peraturan.

Akan tetapi, saya rasa terganggu dengan slogan yang diangkat dalam acara agama berkenaan, seperti yang ditonton menerusi video itu.

Adakah mereka mahu merampas tanah ini?

KATA PEDANG: Ya benar, dakwah dan tarbiyah kita teruskan dan perkasakan. ISMA aktif dengan pelbagai biro dan agensi membangunkan segenap lapisan masyarakat umat Islam. Soalan saya, kemungkaran seperti ini perlu dibiarkan sahaja? Orang nak rampas tanah kita…

Rohingya: Lemahnya Najib berdepan Myanmar


SEHINGGA kini masih belum ada langkah penyelesaian yang boleh melegakan hati umat Islam dalam isu melibatkan saudara seakidah mereka, etnik Rohingya yang berasal dari Myanmar.

Semenjak isu pelarian Rohingya menjadi isu utama di dada akhbar tempatan dan antarabangsa, pelbagai negara menghulur bantuan.

Turki umpamanya, telah berikrar akan menubuhkan pusat perlindungan. Turki juga bersedia menyumbang satu juta kepada Pertubuhan Migran Antarabangsa (IOM) dan UNHCR bagi menyelamatkan mereka yang hanyut di lautan. Selain itu, Turki juga membuat keputusan untuk menghantar kapal ke perairan Malaysia dan Thailand.

Dalam kenyataan terkini semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata: “Kita mahu selamatkan nyawa dan tidak fikir selepas itu. Kita selamatkan mereka supaya mereka terus hidup sebagai manusia bermaruah dan ada masa depan.”

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pendatang Rohingya dan Bangladesh yang diselamatkan daripada bot-bot di perairan negara akan ditempatkan di kem-kem Latihan Khidmat Negara di Sik dan Baling, Kedah.

Setakat ini, terdapat lebih 1,000 pendatang Rohingya dan Bangladesh yang diselamatkan daripada bot yang mendarat di Langkawi ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik.

Di peringkat ASEAN pula, Malaysia bercadang untuk menganjurkan sidang kemuncak mini ASEAN bagi membincangkan isu pemerdagangan manusia bagi mencari penyelesaian dalam kalangan negara-negara anggota.

Membaca berita-berita ini membuat saya terfikir, hanya sekadar itu sahajakah yang mampu dilakukan oleh Malaysia?

Malaysia sepatutnya lebih tegas dalam isu ini. Panggil sahaja ketua-ketua negara ASEAN ke Kuala Lumpur. Tekan Myanmar agar menerima kerakyatan etnik Rohingya. Ugut jika Myanmar menolak.

Akan tetapi, hanya negara yang berani dan kuat sahaja mampu berbuat begitu, kuat dari semua sudut terutama ekonomi dan ketenteraan.

Pada 22 September 2014, Bernama melaporkan jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Myanmar dari Januari hingga Julai 2014 sebanyak RM2.03 bilion berbanding RM1.34 bilion bagi tempoh sama pada 2013.

Jumlah eksport Malaysia ke Myanmar bagi tujuh bulan pertama 2014 meningkat 72.4 peratus kepada RM1.67 bilion.

Apakah makna di sebalik fakta ini?

Adakah Najib terikat dengan angka-angka di atas sehingga mempengaruhi langkah dan tindakannya dalam isu ini?

KATA PEDANG: Umat Islam ibarat satu tubuh. Bantulah mereka sedaya upaya.

DAP di belakang acara Joshua Wong


DILAPORKAN pihak penganjur program yang menjemput Joshua Wong telah berjaya menggantikannya dengan seorang lagi figura kumpulan Scholarism iaitu Wong Ji-yuet.

Mungkin kerana namanya tidak sepopular Joshua, ‘gadis Revolusi Payung’ itu tidak ditahan dan dihantar balik ke Hong Kong oleh pihak imegresen seperti yang dilakukan terhadap Joshua.

Menurut sumber, pada malam tadi, program ulang tahun memperingati tragedi Tiananmen ke-26 telah berjaya dijalankan di Skudai, Johor dengan kehadiran lebih 70 orang.


Wong Ji-yuet telah menyampaikan ucapannya, begitu juga dengan Joshua Wong yang berucap melalui internet.

Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), sebuah pertubuhan belia yang tergolong di kalangan puak DAP, adalah pihak yang bertanggungjawab mengimport ‘belia sosialis’ ini.

Timbul persoalan, mengapakah belia antiregim China ini dibawa masuk oleh puak rasis DAP?

Ketika Revolusi Payung berlangsung pada tahun lalu, pemimpin DAP Hew Kuan Yau telah pergi ke Hong Kong dan menyertainya.

Dua perkara ini menunjukkan satu ‘langkah besar’ telah diambil oleh puak DAP selain memperkukuhkan jaringan hubungan sesama puak mereka.

Barangkali inilah ancaman yang dimaksudkan oleh Menteri Dalam Negeri apabila mengulas kes Joshua Wong.

Berkenaan acara Sarapan Pagi Bersama Joshua Wong yang dikelolakan oleh Dubook Press dan Thukul Cetak yang sepatutnya berjalan esok, saya bersyukur di atas pembatalan program itu.

Meskipun penganjur menggunakan alasan demokrasi dan keterbukaan ilmu, hakikat bahawa Revolusi Payung adalah ciptaan Barat tidak boleh dinafikan.

Mungkin pasaran pengundi muda kaum Cina telah dipegang kuat hampir keseluruhannya, puak cauvinis DAP cuba memperkuatkan pengaruhnya di kalangan pemuda Melayu Islam pula.

Memang tepat kenyataan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bahawa membawa masuk Joshua Wong menjadi petanda yang generasi muda kita tiada visi untuk membangunkan negara.

Kata Pedang: Semakin lama semakin jelas strategi puak DAP mengancam negara. Mohon perlindungan Allah agar orang Melayu Islam selamat daripada pengaruh puak-puak mereka.

Wednesday, May 27, 2015

Mengenali Sayyid Qutb

Sayyid Qutb merupakan seorang tokoh yang hebat. Banrangkali mereka yang mengutuk beliau adalah mereka yang tidak memahami apa yang ditulis oleh beliau, mungkin disebabkan oleh perasaan hasad dengki atau sebab-sebab lain yang tidak boleh diterima akal.

Jika kita membaca sedikit pengenalan tentang buku agung karangan beliau iaitu Fi Zilal Quran, ternyata ia bukanlah kitab tafsir seperti mana yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Memang benar jika ada sebilangan ilmuan yang mengkategorikan buku tersebut dalam kategori buku tafsir moden/kontemporer yang menggunakan method tafsir bil ra'yi.

Namun hakikatnya Sayyid Qutb di dalam buku itu mengajak umat Islam untuk hidup di bawah naungan Al-Quran sebagimana yang dirasai oleh beliau.

Kehidupan indah di bawah naungan Al-Quran diungkapkan oleh beliau di dalam buku tersebut. Ayat-ayat Al-Quran digunakan sebagai dalil untuk menjelaskan bagaimanakah rasa kehidupan tersebut.

Kehidupan di bawah naungan Al-Quran dijelaskan dengan pelbagai isi kandungan Al-Quran yang berulang-ulang yang menceritakan perihal hakikat yang sama.

Ia menceritakan soal hakikat kejadian, soal Pencipta, tugasan manusia dicipta, kemuliaan manusia sebagai khalifah, ketundukan alam Allah, sunnah alam dan sebagainya.

Amat hebat tulisan beliau.

Saya pernah bertanya kepada seorang tokoh Ikhwan, mengapa ada pihak yang menulis pelbagai tohmahan kepada Sayyid Qutb dan menuduh dengan pelbagai dakwaan?

Jawabnya, Firdaus, tanyakan semula kepada orang itu, adakah dia mampu menulis seperti apa yang ditulis oleh Sayyid Qutb?

Terdapat banyak tulisan yang menceritakan kehebatan Sayyid Qutb.

Jika benar kita mahukan kebenaran, baca dan kaji sendiri latar belakang beliau dan nilailah buku karangan beliau.

Kempen Say No to 929 oleh DAP, tolak Negara Islam



SAYA tidak mahu masuk campur dalam perbalahan antara parti PAS dan parti cauvinis dan rasis DAP yang kian hangat menjelang muktamar dua minggu lagi.

Kekal atau keluar daripada pakatan pembangkang, terpulang kepada PAS.

Cuma, saya ingin ingatkan di sini beberapa perkara menarik berkaitan DAP. Mungkin ada yang terlupa siapa dan apa agenda DAP sebenar.

DAP, parti sosialis demokratik yang didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac 1966, merupakan serpihan parti PAP Singapura.

Semasa kongres nasional pertamanya di Setapak, Kuala Lumpur pada 29 Julai 1967, DAP mengisytiharkan ia komited mempromosi idea kebebasan, demokratik dan sosialisme, berdasarkan prinsip kesamarataan bangsa dan agama, sosial dan keadilan ekonomi.

Pada Oktober 1967, DAP menyertai 55 parti sosialis yang lain bergabung di bawah gerakan sosialis antarabangsa (SI) semasa Persidangan Antarabangsa Sosialis di Zurich, Switzerland.

Pada 1989, DAP meluluskan 12 resolusi semasa konvensyen tahunannya. Antaranya ialah parti itu tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam atau menjayakan apa-apa usaha Islamisasi di Malaysia, dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Dalam perhimpunan DAP Selangor pada 20 Ogos 1989, DAP meluluskan 30 resolusi antaranya menolak sebarang bentuk ektremisme agama dan menolak penubuhan negara Islam Malaysia.

DAP juga membantah penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran.

DAP juga telah melancarkan kempen “No to 929″ sebagai menolak pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun Mahathir membuat pengisytiharan itu semasa persidangan kebangsaan ke-39 parti Gerakan pada 29 September 2001.

Sebaliknya, DAP mendakwa Malaysia sebagai negara sekular.

Inilah serba sedikit fakta berkaitan DAP yang mungkin dipejamkan oleh sesetengah pihak dalam PAS.

KATA PEDANG: DAP semakin selesa semenjak ada PASMA. Sebab itu isu PAS keluar pakatan bukan lagi satu kerisauan.

ISMA asyik sebut pasal ancaman, suka bermusuh betul!



PADA 16 November 2013, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan Islam sederhana, telah melancarkan Kempen Selamatkan Ummah.

Ia bertujuan memberikan kesedaran berterusan kepada umat Islam mengenai bahaya serangan pemikiran dan budaya yang mengancam jati diri dan survival mereka di bumi bertuah ini.

Antara ancaman yang diangkat pada sidang media pelancaran kempen itu ialah tuntutan Comango.

Kempen Selamatkan Ummah dijalankan di seluruh negara melalui aktiviti seperti ceramah, forum, pameran dan karnival, edaran risalah dan buku, penulisan rencana akhbar, majalah dan laman web, penerangan ringkas video dan audio di pelbagai media massa dan maya, serta penganjuran pelbagai acara menarik, informatif dan menginsafkan.

Mengapakah ISMA bersungguh-sungguh melancarkan kempen ini? Bukankah Islam itu agama rahmah, menyebarkan kebaikan kepada semua?

Mengapakah perlu disebarkan kebencian terhadap pihak lain seperti Comango melalui siri-siri ceramah di seluruh negara? Mengapa perlu bermusuh?

Soalan-soalan ini muncul sebagai tindak balas segelintir pihak yang cemburu,terutamanya puak kafir dalam parti DAP, dengan apa yang diusahakan oleh ISMA selaku gerakan dakwah Islam yang telah disambut baik oleh masyarakat.

Sebenarnya, tiada apa yang baharu pun dibuat oleh ISMA, sekadar memberi nafas baru kepada kempen ini supaya lebih mudah difahami dan mendapat perhatian kumpulan sasaran.

Allah telah menjelaskan secara umum akan bahaya kelompok Yahudi dan Nasrani yang sentiasa mahu menghancurkan umat Islam seperti yang disebut di dalam Surat Al-Baqarah, ayat ke-120.

Ulama dan tokoh Islam sentiasa mengingatkan umat berkenaan ancaman yang sebenarnya ini. Selagi mana ada umat Islam yang berpegang kuat dengan ajarannya, selagi itulah puak kafir akan mengugut dan mengancam kita sehingga kita mengikut mereka meskipun ke lubang biawak.

Akan tetapi, berdasarkan kefahaman yang ada, ISMA menterjemahkan ancaman ‘Yahudi dan Nasrani’ ini tidaklah dalam bentuk yang jelas-jelas dicipta oleh Yahudi dan Nasrani seperti yang berlaku di Palestin.

Jika di Gaza, umat Islam yang dipimpin oleh Hamas berdepan secara langsung dengan ancaman Yahudi Laknatullah Alaihim, di Malaysia pula, ancaman ini datang dalam pelbagai bentuk.

Pemimpin ISMA menggunakan ungkapan pemikiran liberalisme, sekularisme, feminisme, ideologi diceduk dari Barat, Syiah, hak asasi manusia celupan Barat dan sebagainya, untuk mengingatkan bentuk ancaman ‘Yahudi dan Nasrani’ ini.

Namun, tidak dinafikan ada fakta yang membuktikan Yahudi dan Nasrani jugalah yang menjadi tulang belakang kepada ancaman ini.

Seorang sahabat, Huzaifah RA berkata:

“Ramai manusia bertanya kepada Rasulullah berkenaan perkara baik-baik, manakala aku pula bertanya berkenaan perkara-perkara kejahatan, kerana aku takut aku akan melakukan kejahatan itu.”

Seorang penyair Arab pula berkata:

“Aku belajar mengenali kejahatan bukan untuk melakukannya, tetapi untuk mengelakkan diriku daripadanya. Sesiapa yang tidak mengenali kejahatan di celah-celah kebaikan, dia akan terjatuh ke dalamnya (kejahatan itu).”

Tokoh Islam Hasan Al-Basri pula berkata,

“Apabila fitnah (kejahatan) itu datang, ia disedari oleh ulama. Apabila fitnah itu telah berlalu, barulah ia disedari oleh masyarakat awam.”

Oleh itu, saya ingin bertanya pula, butakah mata kepala dan mati hati anda, terutamanya puak-puak yang pro parti kafir DAP, apabila melihat ancaman-ancaman ini berlaku jelas dalam kehidupan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia hari ini?

Kata Pedang: Bacalah mengenai ISMA melalui sumber yang betul. ISMA anjur Kempen Pembangunan Jati Diri, begitu juga Kempen Selamatkan Ummah. Jati diri umat Islam mesti diangkat dan dipupuk dengan nilai-nilai positif dan Islamik, begitu juga umat Islam wajib disedarkan akan bahaya di sekeliling mereka agar tidak terjatuh ke dalamnya.

Thursday, May 21, 2015

Empat takbir untuk demokrasi di Mesir

LEBIH 13 juta rakyat Mesir telah memilih Muhammad Morsi dalam pusingan kedua pilihan raya presiden negara itu pada Jun 2012.
Angka itu bersamaan 51.73% daripada 26 juta rakyat yang keluar mengundi dalam pilihan raya itu.
Ketua Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) itu berjaya mengalahkan calon bebas Ahmed Shafik yang mendapat 48.27% undi.
Inilah demokrasi. Seseorang itu naik dan turun melalui peti undi hasil pilihan majoriti.
Pada 3 Julai 2013, beberapa hari selepas genap setahun bergelar Presiden di negara ‘abang’ di rantau Arab, Morsi digulingkan oleh tentera.
Sejak itu, beliau dikurung dan dibicarakan dengan pelbagai pertuduhan palsu.
Terkini, Morsi dan lebih 100 penyokong Ikhwan Muslimin dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan terlibat dalam rusuhan di Penjara Natroun dan jenayah risikan untuk Hamas.
Apa yang berlaku di Mesir adalah satu hakikat yang telah pun berlaku di Gaza apabila Hamas memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan pada tahun 2006.
Kerajaan Hamas tidak digulingkan namun rakyat Gaza keseluruhannya dihukum dengan sekatan ekonomi antarabangsa dan kehidupan mereka diseksa dengan pembinaan dinding ‘penjara terbesar’ di dunia.
Hanya kerana Ikhwan Muslimin dan Hamas mengisytiharkan dasar perjuangan mereka adalah Islam, tiada demokrasi bagi mereka.
Hanya kerana Ikhwan Muslimin dan Hamas menentang kewujudan (negara) Israel dan dilihat berpotensi mengancam kedudukan Israel, tiada demokrasi bagi mereka.
Hanya kerana Ikhwan Muslimin dan Hamas meletakkan syariat Islam sebagai dasar negara, tiada demokrasi bagi mereka.
Oleh itu, demokrasi di dua negara ini layak dihadiahkan empat kali takbir (solat jenazah).
Demokrasi telah mati untuk pejuang Islam.
Demokrasi hanya alat untuk menaikkan pejuang selain Islam. Jika ada pejuang Islam yang naik melalui demokrasi secara sah, nasib mereka tidak akan bertahan lama.
Inilah satu pengajaran berharga untuk pejuang Islam di negara lain khususnya Malaysia.
Demokrasi hanyalah alat ciptaan kafir yang digunapakai ketika ini bagi memenuhi aspirasi mereka. Apabila alat itu memakan tuan, ia dengan mudah dimatikan.
Usah tertipu dengan slogan demokrasi yang dilaungkan. Cukuplah kisah Morsi dan Hamas menjadi pengajaran.

Ambil pedoman derita umat Islam di Myanmar, China dan Palestin

UMAT Islam di Malaysia boleh dikatakan beruntung jika dibandingkan dengan umat Islam di negara lain seperti Myanmar, China dan Palestin.

Keperluan hidup yang asasi adalah lebih daripada mencukupi bagi sesetengah keluarga.

Walaupun begitu, tidak dinafikan masih ada lagi segelintir saudara seakidah kita yang tidak bernasib baik.

Jika dibandingkan dalam sudut kebebasan beragama, kita boleh menunaikan ibadah dengan sempurna. Termasuk juga penganut agama lain, keamanan dan keadilan yang ada menjamin hak semua dalam beragama.

Lain pula kisahnya bagi bangsa Uighur yang beragama Islam di China.

Tidak dapat dibayangkan betapa teruk penindasan yang mereka hadapi. Bertudung pun tidak boleh.

Begitu juga bagi saudara seakidah kita Rohingya. Sudahlah tidak diiktiraf sebagai warganegara, mereka terpaksa menggadai nyawa merantau ke negara lain bagi meneruskan kehidupan.

Rakyat Palestin pula, yang merupakan contoh hidup perjuangan umat Islam hari ini, hidup mereka semakin ditekan. Pada bila-bila masa Israel boleh menyerang. Kehidupan di kem pelarian, tidak ubah seperti penjara yang serba kekurangan.

Orang Melayu di Malaysia perlu mengambil iktibar di atas apa yang menimpa saudara seakidah kita di negara lain.

Selain berusaha membantu mereka melalui kutipan tabung kecemasan dan ceramah-ceramah kesedaran, kita perlu sedar bahawa tanah ini perlu dikekalkan di bawah hak milik umat Islam.

Jangan sesekali membiarkan pihak lain menguasai setiap inci tanah kita.

Biarlah masa depan kita dicorak oleh kita sendiri dengan acuan Melayu Islam. Bukannya dengan acuan pemikiran jahiliyah yang diimport dari Barat.

Jika kita terlepas tanah ini, tiada lagi tanah untuk kita berdaulat. Saat itu, barulah kita sedar betapa peritnya penderitaan yang dilalui oleh saudara seakidah kita di Myanmar, China dan Palestin.

Saat itu, tangisan darah pun sudah tidak berguna lagi!

Masa depan kita bagaimana?

SAMBIL saya duduk di tangga surau, saya ditegur oleh seorang pakcik yang sedang melangkah keluar sejurus selesai menunaikan solat Maghrib.

“Macam mana awak rasa, masa depan kita? Banyak isu sekarang ni. 1MDB, Tabung Haji…” sapa beliau.

Perkenalan saya dengan pakcik ini sudah agak lama. Sebelum ini kami pernah bertegur sapa ketika saya sedang khusyuk menulis sesuatu menggunakan laptop di surau yang sama.

Jawapan saya mudah.

“Selagi umat Islam jelas apa yang dia mahukan, ke arah mana yang dia ingin tuju, bolehlah kita kata masa depan kita akan baik.

“Dalam berpolitik, dia tahu apa yang dia hendak. Dalam berekonomi, dia tahu kedai mana dia nak singgah, barang apa dia nak beli. Tengok anak muda buang masa tepi jalan petang-petang, dia tahu macam mana nak salurkan tenaga anak muda tu…” jawab saya sambil tersenyum.

Pakcik terdiam seketika. Kemudian dia mengangguk seraya berkata,

“Awak sebut pasal anak muda. Mereka ni yang bakal memimpin negara. Pakcik tengok anak muda sekarang ni, risau pakcik.

“Risaulah. Dia nak bawa negara ni ke mana? Kalau ramai faham Islam, amal Islam dan berjuang untuk Islam, untunglah. Kalau sebaliknya?” syarah pakcik.

Saya hanya menyambut kata-kata pakcik itu dengan senyuman.

Tidak lama kemudian, pakcik meminta izin untuk beredar.

Saya turut melangkah keluar menuju kereta. Saya mengulangi kata-kata pakcik tadi.

“Orang Islam yang faham Islam, mengamalkan Islam dan berjuang untuk Islam.”

Buku bertajuk ‘Masa depan untuk Islam’ telah ditulis oleh tokoh ilmuan Islam antaranya Sayyid Qutb dan Dr Yusuf Al-Qardawi.

Antara isi utama yang disebut dalam buku itu adalah keperluan bagi seorang muslim untuk memahami Islam sebagai manhaj kehidupan. Islam adalah jalan keluar kepada permasalahan dunia hari ini.

Disebabkan rosaknya kehidupan yang bersistemkan hawa nafsu dan ideologi jahiliyah Barat, dunia hari ini memerlukan solusi. Tidak lain dan tidak bukan ia adalah Islam.

Dalam erti kata lain, ruang vakum yang ada pada masa akan datang (telah pun wujud hari ini), bakal diisi oleh Islam.

Sistem rekaan manusia tidak mampu menandingi manhaj kehidupan yang ditunjukkan oleh Islam.

Tinggal lagi, berapa ramaikah umat Islam hari ini yang memahami, mengamalkan dan menjadikan hidup dan matinya hanya untuk Islam?

Thursday, April 23, 2015

Tadabbur Surah Syu'araa' - Kisah Ahli Sihir Firaun

"Musa melemparkan tongkatnya lalu tongkat itu menelan apa yang dilempar oleh ahli sihir Firaun itu. Maka ahli-ahli sihir itu sujud (kerana telah kalah dengan Musa). Mereka berkata Kami beriman dengan Tuhan sekalian alam."

Ayat 45, 46 dan 47.

Lintasan hati:

1. Allah dah janji Islam akan menang di akhir zaman.
2. Bagaimana? Dengan menuruti segala syarat-syarat kemenangan, dengan izin Allah Islam akan menang.
3. Nabi Musa dikurniakan mukjizat dalam dakwahnya menghadapi ahli-ahli sihir, bagi melawan sihir mereka.
4. Apakah 'mukjizat' atau kuasa yang umat Islam hari ini ada untuk menjalankan amal dakwah? Jawabnya ialah Al-Quran. Al-Quran adalah kunci kejayaan umat Islam.
5. Mukjizat tongkat Musa membuktikan kuasa Allah yang mengatasi kuasa sihir.
6. Mukjizat Al-Quran bagaimana pula? Jika diamalkan betul-betul apa yang diajar oleh Al-Quran, umat Islam akan menjadi umat hebat, dengan itu umat Islam boleh mencapai kejayaan.
7. Sebagai contoh, penguasaan ilmu. Al-Quran menyeru umat Islam membaca dan menulis (rujuk Surah Al-Alaq dan Surah Al-Qalam). Berapa ramai umat Islam yang membaca dan menulis, menguasai ilmu untuk membangunkan Islam?
8. Hati ahli-ahli sihir tunduk kepada mukjizat Musa.
9. Tak mustahil orang kafir pada hari ini akan tunduk dengan mukjizat Al-Quran, tunduk kepada kehebatan Islam yang diamalkan oleh umatnya.
10. Inilah sedikit lintasan hati dan akal apabila meneliti ayat Al-Quran di atas.

Sekian terima kasih.